Walaupun kerajaan Pakatan Rakyat baru sahaja dibentuk, pelbagai golongan rakyat telahpun menuntut supaya kesemua tawaran yang terkandung dalam manifesto ditunaikan segera. Bukan menidakkan hak rakyat untuk mengecapi kenikmatan yang sepatutnya dirasai oleh mereka tetapi biarlah tuntutan tersebut dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek, sebagai contohnya kerajaan tersebut memerlukan masa untuk membuat pelbagai peraturan baru dan struktur perjalanan kerajaan perlu di susun semula.
Media pula memainkan peranan yang cukup penting dengan memberikan ruangan yang cukup besar terhadap berita yang dilihat cuba memudarkan imej kerajaan PR sedangkan kerajaan BN yang telahpun memerintah lebih daripada 50 tahun cukup sukar untuk ditegur melalui media.
Sejak akhir-akhir ini, pelbagai pihak menuntut janji-janji yang telah ditawarkan oleh PR dalam pilihanraya umum yang lalu. Segala-galanya mesti ditunaikan segera dan sekiranya ia tidak ditunaikan maka media akan menjadi suara rakyat untuk mengecam kerajaan PR.
Saya terfikir sebentar tadi setelah membaca berita yang disirkan di dalam Utusan Online ini, kenapa tidak kita gunakan perkara yang sama terhadap BN yang memerintah Malaysia atau mana-mana negeri. Kita tuntut janji-janji yang terkandung dalam manifesto BN. Sudah tentu banyak janji-janji yang telah disusun atur dengan baik ketika disebarkan kepada pengundi pada masa kempen pilihanraya sedang berjalan.
Kita senaraikan kesemua janji-janji tersebut dan kita desak agar rakyat menuntut kerajaaan BN menunaikan segara. Mungkin rakyat 'terlepas pandang' dengan janji-janji BN ini maka peranan kita adalah untuk mengingatkannya kembali.
Manalah tahu, seorang anak muda yang telah dua kali membuat laporan polis terhadap kerajaan Selangor pun tidak sedar bahawa dia perlu juga membuat laporan polis terhadap kerajaan BN yang memerintah Malaysia kerana masih belum menunaikan janji-janjinya.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Jalan Raja laut, Kuala Lumpur
22 Mei 2008, 8.40 pagi
-----------------------------------------------
Elaun: 20,000 ibu tunggal mahu Selangor tunai janji - Utusan Online
Oleh zabry mohamad
Oleh zabry mohamad
SHAH ALAM 21 Mei - Lebih 20,000 ibu tunggal di Selangor mahu kerajaan negeri mengotakan segera janji untuk memberi elaun kepada golongan itu seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum, 8 Mac lalu.
Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mas Merah Wilayah Persekutuan dan Selangor, Sharifah Kamariah Syed Ibrahim berkata, kos hidup yang semakin tinggi berikutan kenaikan harga barang menyebabkan golongan tersebut amat memerlukan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka yang terpaksa menyara keluarga.
Beliau berkata, perkara itu sudah diuar-uarkan sejak pilihan raya umum lalu dan sudah tentu para ibu tunggal tertunggu-tunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan negeri mengenai pelaksanaannya.
"Kami harap perkara ini dapat dilaksana secepat mungkin memandangkan keadaan hidup sekarang yang semakin mendesak.
"Saya sendiri mahu berjumpa orang dari pejabat kerajaan negeri yang bertanggungjawab mengenai perkara ini untuk mengetahui prosedur permohonan bagi lebih 20,000 ibu tunggal yang berdaftar di Selangor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selain elaun ibu tunggal, antara tawaran lain yang dibuat oleh pakatan pembangkang negeri Selangor dalam manifesto pilihan raya umum lalu adalah elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak kecil; membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak yang baru lahir; RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak; RM50 sebulan seorang bagi anak yang mengikuti pendidikan prapersekolahan dan RM1,000 bagi setiap anak yang memulakan pengajian peringkat diploma dan ijazah pada tahun ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan; Hal Ehwal Wanita; Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismail mengumumkan hanya keluarga berpendapatan di bawah RM1,500 layak untuk menerima insentif kebajikan seperti terkandung dalam manifesto berkenaan.
Ditanya mengenai syarat tersebut, Sharifah Kamariah berpendapat jumlah itu adalah wajar.
Ini kerana katanya, agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor menyediakan bantuan kepada ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM1,000 atau berada di bawah paras kemiskinan sahaja.
0 Pandangan
Post a Comment