Malaysia Terlalu Bersangka Baik

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/22/2008 07:38:00 AM | 0 Pandangan »


Sungguh ikhlas pandangan yang diberikan oleh Dr Rais Yatim terhadap sikap Malaysia sekiranya keputusan akan memihak kepada Malaysia. Singapura sudah tentunya bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama terhadap pulau tersebut kerana sememangnya mereka telah 'menguasai' pulau tersebut sejak sekian lama.

Beberapa tahun yang lalu, Pemuda PAS Johor telah mengadakan lawatan ke lokasi berhampiran dengan Pulau Batu Putih untuk melihat sendiri bagaimana keadaannya pulau tersebut yang telah dikuasai oleh Singapura. Pulau tersebut telah dibuat dengan beberapa struktur bangunan dan diawasi dengan begitu ketat oleh Singapura.

Pulau tersebut telahpun ditawan oleh mereka dan rakyat Malaysia sememangnya tidak dibenarkan untuk menghampiri pulau tersebut.

Saya melihat bahawa bukanlah menjadi satu kesepakatan untuk sama-sama menubuhkan jawatankuasa bersama sekiranya keputusan tersebut berpihak kepada Singapura. Maksud saya, sekiranya ICJ memutuskan bahawa pulau tersebut adalah kepunyaan Singapura maka adakah jawatankuasa tersebut akan dilaksanakan untuk sama-sama mengawasi perairan dan keselamtan disekitar pulau tersebut? Sedangkan, ketika ini pun Singapura tidak membenarkan kita menghampiri pulau tersebut sedangkan ICJ masih lagi belum memutuskannya.

Bila melihat kenyataan Rais Yatim bahawa Malaysia-Singapura akan menubuhkan jawatankuasa bersama, saya teringat kepada kenyataan yang hampir serupa apabila Pak Lah mengumumkan bahawa jawatankuasa bersama dengan Singapura diwujudkan untuk membangunkan WPI ataupun sekarang ini dikenali sebagai Iskandar Malaysia.

Namun, Singapura tidak pernah pula ingin mengadakan atau mewujudkan jawatankuasa bersama apabila berlaku isu-isu yang melibatkan Malaysia-Singapura. Apakah Singapura pernah berbincang dengan kerajaan Malaysia untuk menambak laut sehingga menyempitkan laluan terutamanya di kawasan perairan berdekatan Kota Tinggi?

Malaysia sememangnya terlalu baik dengan negara jiran walaupun seringkali negara jiran 'besar kepala' dengan Malaysia. Saya bukan menyatakan bahawa kita perlu bersikap seperti mereka apabila berhadap dengan apa jua isu tetapi apa ertinya kita menang dalam kes Pulau Batu Putih sekiranya selepas daripada ini, pulau tersebut terus 'ditadbir' oleh Singapura kerana faktor-faktor rumah api atapun struktur bangunan lain yang telah dibina oleh Singapura?

Kenapa ia tidak diambil alih oleh Malaysia dan kita menguruskannya sendiri kerana ia adalah milik Malaysia? Perayalah, pergabungan jawatankuasa bersama hanya akan berlaku sekiranya Malaysia diistiharkan sebagai pemilik kepada Pulau Batu Putih tetapi ia akan berlaku sebaliknya sekiranya Singapura yang berjaya dalam kes ini. Congaknya mudah, sejak awal lagi sekiranya Singapura ikhlas untuk berkerjasama maka kes ini tidak perlu sampai ke peringkat perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, KL
22 Mei 2008, 8.05 pagi


Batu Putih: Malaysia-Singapura tubuh jawatankuasa bersama - Utusan Online

KUALA LUMPUR 21 Mei – Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknikal bersama bagi menangani apa sahaja isu yang berbangkit ekoran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tuntutan bertindih Pulau Batu Putih.


Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, jawatankuasa itu akan memastikan kepentingan bersama Malaysia dan Singapura seperti rumah api dan kawasan penangkapan ikan akan dirumus, diurus dan ditadbir mengikut lunas-lunas pentadbiran antarabangsa tanpa mengira pihak mana yang menang.

‘‘Sebagai contoh, sekiranya Malaysia menang, rumah api di pulau itu perlu ditentukan statusnya tentang siapa yang berhak menjaganya atau apakah kita akan benarkan Singapura uruskannya.

‘‘Begitu juga dengan kawasan penangkapan di pulau-pulau itu, siapa yang akan mengawasinya. Ini adalah antara yang kita lihat penting untuk ditangani.

‘‘Jadi jawatankuasa ini mustahak peranannya dan Perdana Menteri bersetuju supaya Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu Rais menyampaikan taklimat mengenai kes Pulau Batu Putih yang akan diumumkan keputusannya Jumaat ini kepada anggota-anggota Parlimen termasuk daripada parti pembangkang di bangunan Parlimen sewaktu sesi rehat tengah hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut hadir.

Jumaat ini, ICJ akan menentukan keputusan tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge antara Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Rais berkata, Perdana Menteri sendiri merasakan bahawa moral untuk mendapat keputusan yang baik ada di sisi Malaysia.

Menurut Rais, ada kemungkinan ketiga-tiga pulau berkenaan diputuskan oleh ICJ bukan secara mutlak milik mana-mana negara.

‘‘Maksudnya, boleh jadi juga daripada tiga pulau yang dituntut itu dua milik Malaysia, satu milik Singapura atau sebaliknya dengan ketiga-tiganya bukan milik kita atau Singapura,” katanya.

0 Pandangan