Saya Cabar Tajul Rosli Letak Jawatan

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/12/2008 10:48:00 AM | 0 Pandangan »

Bila saya terbaca berita bertajuk “Tajul Rosli sanggup letak jawatan ADUN Pengkalan Hulu” saya teringat kepada cakap-cakap YB Rosul Wahid yang membuat kenyataan yang sama untuk meletakkan jawatan bersama 21 ADUN di Trengganu sekiranya Idris Jusoh tidak dilantik menjadi MB.

Walaupun tujuannya tidak sama tetapi kedua-dua YB daripada UMNO ini sanggup untuk meletakan jawatan untuk membuktikan sesuatu. Rosul Wahid sanggup kehilangan jawatan ADUN untuk membuktikan kesetiaannya kepada Idris Jusoh manakala Tajol Rosli pula sanggup meletakkan jawatan kerana mahu membuktikan bahawa BN masih lagi berkuasa di Perak.

Satu ketika dahulu, terbayang di mata kita bahawa akan berlaku pilihanraya kecil secara besar-besaran di Trengganu kerana kesemua 22 ADUN BN akan meletakkan jawatan kerana kecewa dengan Mohd Said yang menerima perlantikan sebagai MB Trengganu yang baru. Bagaikan sudah tidak ada jalan lain melainkan dengan ugutan meletakkan jawatan beramai-ramai akan menyelesaikan kemelut dalam UMNO/BN Trengganu.

Keteguhan hati Mohd Said akhirnya telah membawa beliau sebagai MB yang baru dan MT UMNO serta Badan Perhubungan UMNO/BN Trengganu yang pada mulanya cukup bertegas untuk melantik Idris Jusoh sebagai MB tertunduk lesu dan akur dengan kehendah istana.

Sebab itu, apabila saya membaca berita mengenai kesanggupan Tajol Rosli untuk meletakkan jawatan, saya beranggapan ia hanya satu kenyataan kosong yang sangat sukar untuk ditunaikan oleh bekas MB Perak ini. Saya menyatakan demikian kerana, pertamanya, adakah kesemua pimpinan UMNO/BN Perak akan setia untuk bersama dengan Tajol Rosli setelah beliau dipalitkan juga dengan faktor kekalahan BN di Perak.

Keduanya, setelah Tajol Rosli meletakkan jawatan sebagai ADUN adakah BN Perak akan mencadangkan nama beliau lagi sebagai calon yang sama untuk kerusi DUN Pengkalan Hulu di saat hari ini UMNO sedang 'berperang' untuk menaikkan dan menjatuhkan pemimpin di semua peringkat? Sekiranya dicalonkan kembali tidaklah mengusarkan Tajol tetapi sekiranya calon lain yang disenaraikan untuk menggantikan tempat beliau, ia ia adalah petunjuk kepada jalan keluar Tajol daripada arus politik UMNO/BN di Perak.

Ketiga, sekiranya UMNO/BN menang di kerusi Pengkalan Hulu, ia sudah pasti akan melonjakkan semangat UMNO/BN di Perak dan diseluruh negara untuk merampas kembali kerusi dan negeri-negeri yang telah terlepas kepada Pakatan Rakyat. Namun, sekiranya keputusan yang diperolehi adalah sebaliknya, adakah UMNO/BN sanggup untuk berdepan dengan situasi ini?

Seandainya Tajol Rosli ‘anak jantan’ saya cabar untuk beliau meletakkan jawatan dalam masa terdekat ini. Tidak perlulah bermain wayang kerana apa yang beliau perlu takut kerana beliau telah menang dengan majoriti yang lebih besar daripada pilihanraya umum ke 11 dahulu. Tajol berjaya menewaskan calon PKR, Lee Sing Long dengan majoriti 4,645 undi, penambahan sebanyak 352 daripada tahun 2004.

Ayuh Tajol Rosli, jangan hanyak bermain kata-kata sahaja tetapi buktikan dengan tindakan meletakkan jawatan. Saya yakin dan percaya kerajaan Pakatan Rakyat mengalu-alukan kesediaan Tajol Rosli untuk meletakkan jawatan. Biarlah rakyat yang akan menetukan masa depan politik Tajul Rosli di persada politik negeri Perak.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
12 Mei 2008, 11.20 pagi
---------------------------------------------------------------------
.
Tajol Rosli sanggup letak jawatan ADUN Pengkalan Hulu - Utusan Online

KUALA KANGSAR 11 Mei - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sanggup meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Hulu untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan tersebut.

Tajol Rosli yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, beliau tidak takut meletak jawatan kerana yakin boleh memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut sekali gus membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) masih berkuasa di Perak.

''Saya sanggup letak jawatan sebagai ADUN Pengkalan Hulu dan bertanding semula.
''BN tidak pernah hilang kuasa dan yakin mampu memperoleh kemenangan besar sekiranya pilihan raya kecil diadakan di situ, malah, berupaya mendapat undi majoriti lebih banyak," katanya berucap pada majlis Kesyukuran BN Parlimen Kuala Kangsar di Arena Square di sini semalam.

Menurut Tajol Rosli, pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, BN hilang sokongan pengundi di beberapa tempat kerana rakyat berasa keliru setelah termakan helah pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, senario itu mungkin berbeza jika pilihan raya diadakan semula kerana yakin pengundi sudah sedar kesilapan mereka.

''Saya tahu dulu banyak pengundi keliru oleh janji manis pembangkang tetapi sampai bila? Sekali dua boleh tapi bukan boleh buat helah selama-lamanya.

''Saya yakin BN boleh ambil balik pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan pembangkang yang memerintah sekarang pada masa akan datang kerana pakatan yang ditubuhkan oleh pembangkang ini cukup rapuh dan boleh jatuh pada bila-bila masa," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli BN terutama MIC dan MCA supaya terus berusaha memperkukuhkan parti agar terus mendapat sokongan rakyat.
.

0 Pandangan