Akta Anti Pemerdagangan Orang, Dakwaan Pertama Berlaku Di Johor

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/12/2008 07:40:00 PM | 0 Pandangan »

Akta Anti Pemerdagangan Orang yang telah diluluskan di Parlimen pada bulan Mei 2007 akhirnya dapat dilaksanakan untuk pertama kalinya. Sudah tentu tangkapan pertama ini merupakan langkah awal yang cukup penting kepada gerakan untuk mengurangkan pelacuran dan salah guna manusia di negara ini.

Seringkali kita dapat melihat bagaimana berita penangkapan pelacur, GRO dan penyalahgunaan terhadap warga asing berlaku dengan meluas di Malaysia. Tangkapan demi tangkapan dibuat tetapi pelacuran terus berleluasa.

Kenyataan Media rasmi DPPNJ akan menyusul.
--------------------------------------------

Lelaki pertama didakwa di bawah Akta Anti Memperdagangkan Orang

12/05/2008 2:48pm

JOHOR BAHRU 12 Mei – Seorang lelaki di sini hari ini menjadi orang pertama di negara ini didakwa di bawah Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007 kerana melacurkan dua wanita asing.

Ee Chin Kaipe, 33, menghadapi dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen di sini kerana telah memperdaya dua wanita Thailand, kedua-duanya berusia 27 tahun, dengan mengeksploitasi mereka untuk kerja-kerja pelacuran di sebuah rumah di Taman Pelangi pada 3.10 petang, 25 Mac lalu.

Ee, berasal dari Gelang Patah, dikatakan telah menjanjikan pekerjaan sebagai pelayan pusat hiburan di bandar raya ini kepada dua wanita itu tetapi mengeksploitasi mereka bagi kerja maksiat.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 akta tersebut yang diluluskan tahun lalu, yang membawa hukuman penjara mandatori tidak lebih daripada 15 tahun atau denda, jika sabit kesalahan. Ee memohon untuk dibicarakan.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan Ee diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan tersebut dan menetapkan 17 Sept bagi mendengar kes itu.

- Bernama

0 Pandangan