Maksud Najib, Pak Lah Kena Letak Jawatan

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/16/2008 10:05:00 AM | 0 Pandangan »

Bila membaca tajuk berita ini, seolah-olah Najib memberikan isyarat kepada Perdana Menteri Hadhari untuk berhenti daripada jawatannya. Najib menyebut bahawa PM tidak boleh disingkirkan sewenang-wenangnya.

Kenyataan Najib ini dibuat setelah berlakunya dia perkara, pertamanya selepas Najib bertemu dengan Tun Dr Mahathir dan yang keduanya selepas terdapat risalah yang diedarkan di dalam Parlimen tentang kedudukan PM.

Najib kata, Pak Lah tidak boleh disingkirkan dengan sewenang-wenangnya tetapi mengikut risalah tersebut hanya boleh berlaku sekiranya PM sendiri meletakkan jawatan ataupun jalan lain adalah membubarkan Parlimen.

Apa agaknya yang sedang Pak Lah fikirkan. Sejak keputusan pilihanraya yang lalu, Pak Lah kalau berucap semacam sudah tidak ada lagi tenaga, bercakap pun suara tidak berapa jelas, maksud ucapan pun semakin merawang-rawang. Sekejap nak umum pelan peralihan kuasa, sekejap nak bertanding Presiden UMNO. Pemimpin dan ahli UMNO pun jadi keliru dan celaru. Bila nak bicangkan dalam EGM Pak Lah pula tidak benarkan.

Semalam, baru lah nampak Pak Lah berucap bersemangat sikit sempena hari dan Minggu Belia Negara. Walaupun Pak Lah tetap mengekalkan ucapan yang kurang bermaklumat dan merapu-rapu tetapi sekurang-kurangnya nada bersemangat sikit. Mungkin Pak Lah terasa bahawa 'masih ada insan yang sayang' terhadapnya walaupun mereka yang hadir dalam program tersebut adalah golongan belia dan pelajar sekolah.

Berbalik kepada maksud tulisan ini disiarkan, saya masih tertanya-tanya apa agaknya yang Najib bincangkan bersama TDM. Sama ada Najib kena 'sembur' ataupun Najib telah dinasihatkan oleh TDM agar jangan bersikap lalang.

"Hang jangan lupa janji kita dulu, saya dah khabaq Dolah tu PM satu penggai saja, awat hang sokong dia jadi PM penggai kedua. Hang dah lupa ka?" mungkin itu yang TDM kata pada Najib sedangkan TDM pun dah mula jadi pelupa.

Sepatutnya Najib kena lebih berani untuk mendesak Pak Lah berundur, apa dia nak takut kerana dibelakang dia sudah bersusun pengikut yang taat setia sekiranya Pak Lah serahkan jawatan PM kepada Najib. Tapi Najib masih mengekalkan skrip lama yang takut untuk bercakap benar dan bertindak berani.

Pak Lah sebenarnya sudah pun berkira-kira untuk meletakkan jawatan sebagai PM, sebab itulah dia berani untuk mengumumkan Plan Peralihan Kuasa akan dibuat secepat mungkin untuk menyerahkan jawatan PM kepada Najib. Namun, di atas desakan dan nasihat orang tertentu termasuklah anakanda Khairy yang disayangi, Pak Lah menangguhkan plan peralihan tersebut.

Tidak kisah la Najib sebab sama ada anda berani untuk mendesak Pak Lah turun ataupun tidak, itu semua tidak menjadi persoalan lagi kerana Pakatan Rakatan Rakyat sedang menunggu masa untuk mengambil alih kerajaan yang tercinta ini.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
16 Mei 2008, 10.49 pagi

--------------------------------------------------

PM tidak boleh disingkir
Oleh aznan bakar dan s. anand kumar


KUALA LUMPUR 15 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kedudukan Perdana Menteri ditentukan oleh Perlembagaan dan beliau tidak boleh disingkirkan sewenang-wenangnya.

Oleh itu, kata Timbalan Perdana Menteri, apa juga tindakan berhubung kedudukan Perdana Menteri mesti mengikut lunas-lunas Perlembagaan negara.

"Perdana Menteri tidak boleh disingkirkan, ia tertakluk kepada Perlembagaan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas risalah yang diedarkan di Parlimen hari ini mengenai kedudukan Perdana Menteri serta cadangan untuk mewujudkan undang-undang antilompat dalam kalangan wakil rakyat.

Risalah itu antara lain menyebut, berdasarkan Artikel 43(5), Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa meminta Perdana Menteri melepaskan jawatannya.
Tetapi jika Perdana Menteri mendapat undi tidak percaya dari Dewan Rakyat, beliau mempunyai dua pilihan iaitu meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum.
Selain daripada dua cara itu, risalah tersebut menyebut, Perdana Menteri tidak boleh disingkirkan daripada kedudukannya walaupun kerajaan yang memerintah gagal memperoleh majoriti dua pertiga.
Ini kerana pada pilihan raya umum 1969, Perikatan gagal mendapat majoriti dua pertiga, namun Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussin memerintah negara dari Februari 1971 hingga 1974 hanya dengan majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Berhubung perkara itu kata Najib, apa pun tindakan mesti mengikut ketetapan Perlembagaan.

"Apa pun yang berlaku mesti mengikut Perlembagaan negara," tegasnya.
Ditanya sama ada mereka yang lompat parti boleh dihalang daripada hadir ke Dewan Rakyat, Najib berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

0 Pandangan