Akademi Fantasia Perlu Direhatkan

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/16/2008 09:48:00 AM | 0 Pandangan »

Akademi Fantasia perlu direhatkan - Utusan Online
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFAsaharudin.musthafa@utusan.com.my
fenomena YANG DICIPTA OLEH MAWI (TIGA DARI KIRI)
MENGUBAH IKLIM INDUSTRI HIBURAN TANAH AIR.

HAKIKAT yang wajar diakui oleh semua peminat seni ialah program realiti Akademi Fantasia (AF) terbitan Astro merupakan antara program realiti yang mendapat perhatian luas daripada penonton televisyen.
Sumbangan besar AF kepada Astro sudah tentulah pertambahan jumlah pelanggan-pelanggan stesen televisyen satelit berkenaan.
Selain itu, ia turut menjana pendapatan yang bukan kecil bagi syarikat pembekal telekomunikasi di negara ini.
Sebilangan besar daripada rakyat pula berlumba-lumba menghantar undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) memilih bintang pilihan mereka.
Apabila ‘kuasa’ memilih bintang diberikan kepada penonton, maka ‘lahirlah’ bintang-bintang yang memenuhi kehendak orang ramai.
Memadaikah melahirkan penyanyi generasi baru yang hanya bertaraf ‘mee segera’ berbanding meramaikan jumlah penyanyi berkualiti seperti yang sering dilaung-laungkan oleh artis-artis senior tanah air.
“Saya tidak salahkan masyarakat memilih bintang pilihan mereka. Cuma, yang saya persoalkan ialah, kenapa tiada kawalan terhadap usaha melahirkan artis-artis di negara ini.
“Kawalan sangat penting kerana kita tidak mahu masyarakat melihat industri hiburan boleh disertai oleh sesiapa saja walaupun tiada bakat yang luar biasa,” ujar seorang penyanyi lelaki senior tanah air yang enggan namanya disebutkan.
Membicarakan soal melahirkan bintang ‘mee segera’ juga, tiada siapa yang boleh menyalahkan masyarakat, kerana teknologi mereka membenarkan mereka berbuat demikian.
Namun begitu, pada masa yang sama, kematangan audiens dalam membuat pemilihan artis yang mereka inginkan juga wajar diberi perhatian.
Elemen ini juga seharusnya diperkukuhkan lagi oleh bantuan sistem sokongan khususnya yang datangnya dari stesen televisyen yang menerbitkan program realiti itu, barisan juri profesional yang membuat pemilihan bintang dan paling terakhir, tenaga pengajar.
Mengambil contoh penerbitan AF6, Astro sebagai stesen penyiar wajar memberikan penekanan yang tegas dalam membuat post mortem terhadap segala kritikan keras yang diterima oleh program realiti itu sepanjang musim ini.
Apa alasan bakat pelajar-pelajar kali ini tidak membanggakan? Itu merupakan persoalan yang paling besar perlu dijawab biarpun pada hakikatnya, kita menyedari bahawa bakat seni merupakan sesuatu yang sangat subjektif untuk diperdebatkan.
Namun pada masa yang sama, renungan juga harus dibuat dengan mengambil kira apakah Malaysia sudah ketandusan bakat-bakat yang jauh lebih baik daripada apa yang ada dalam AF6?
Atau mungkinkah juga kerana terlalu banyak program realiti yang diterbitkan di negara ini menyebabkan dunia hiburan sudah ketandusan bakat untuk diketengahkan?
Nah, kalau itu punca kecelaruan dalam AF musim ini, maka wajarlah program ini direhatkan seketika sehinggalah satu formula atau mekanisme baru terhadap usaha melahirkan bakat-bakat baru ditemui.
Sangat malang kalau pada masa depan, program ini akan terus dikritik.
Sayang sekali, sebuah platform yang baik telah dicalar oleh kehadiran bintang-bintang yang kurang membanggakan.
Namun, ini hanya sekadar pandangan dan Astro barangkali mempunyai pandangan tersendiri terhadap usaha mereka menerbitkan program yang telah mencetus fenomena tersendiri sehingga memasuki tahun keenam penerbitannya.
Usaha memulihkan imej AF harus segera dilaksanakan kerana jenama AF begitu kukuh sekali di persada hiburan tanah air.
Biarpun, AF hanya sekadar sebuah program hiburan realiti, hakikatnya, ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira status.
Kalau bukan AF, Mawi yang berasal dari sebuah perkampungan Felda barangkali tidak mencapai status jutawan muda, Zahid pula sudah tentu tidak berpeluang ‘bergelek’ dengan Datuk M. Daud Kilau dan Mila pula mungkin akan terus menghiburkan audiens di hotel-hotel.
Itulah penangan AF menepati slogannya mengubah impian menjadi realiti.
Dan kita tunggu saja apa reaksi Astro selepas ini!

0 Pandangan