Adakah ini kereta perisai yang akan digunakan untuk menangani rusuhan? - Gambar hiasan sahaja.
Nak tergelak pun ada, rasa takut pun ada, macam-macam ada...nampaknya FRU semakin 'advance' apabila mencadangkan untuk menggunakan kereta perisai untuk menangani rusuhan. Sebelum ini, balantan, sepak terajang, gas pemedih mata dan semburan air kimia yang menjadi senjata untuk menakut-nakutkan rakyat, namun kesemuanya itu tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka.
Kini, satu pertemuan baru bahawa mengunakan unit berkuda dan kereta perisai. Bagi saya, unit berkuda yang dicadangkan tidaklah memberikan satu masalah yang besar kerana kosnya tidaklah terlalu tinggi tetapi kereta perisai bukannya boleh dibeli dengan harga yang murah. Tentu proses untuk membelinya memerlukan perundingan dengan beberapa pihak dan komisyen membeli kereta perisai tersebut kena diambil kira.
Cuba bayangkan, sekiranya kereta perisai digunakan semasa menyuraikan ceramah yang tidak diberikan permit.
Biasanya ketua operasi yang bertugas pada ketika itu akan mengulangi arahan supaya ceramah dihentikan. Dialognya lebih kurang begini :-
"Bersurai, atau kami akan suraikan dengan kekerasan!" Ayat ini akan diulang sebanyak tiga kali. Apabila tetamu dan pendengar ceramah tidak juga mahu beredar maka kekerasan perlu dilakukan untuk menyuraikan keadaan.
Jika sebelum ini, gas pemedih mata ditembak, air kimia dipancutkan ataupun setidak-tidaknya belantan akan ditalu kepada hadirin, maka apa agaknya yang akan dibuat oleh kereta perisai untuk menyuraikan keadaan. Adakah kereta perisai ini akan digunakan untuk melanggar dan melenyek para tetamu atau mudah cara tembak sahaja tetamu dan hadirin dengan kereta perisai tersebut.
Kesimpulannya, sekiranya kereta perisai tersebut di beli untuk menyuraikan himpunan rakyat, saya fikir lebih baik kewangan tersebut digunakan untuk membantu rakyat miskin di Malaysia, tidaklah duit tersebut dibazirkan.
Saya pasti, kehadiran kereta perisai dalam himpunan rakyat (jika dibeli juga) tidak akan menakutkan rakyat tetapi secara tidak langsung ia menggambarkan ketakutan pemerintah dengan kuasa rakyat!
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
17 Mei 2008, 1.36 pagi
--------------------------------------------------
FRU: Kereta perisai, unit berkuda surai rusuhan
May 16, 08 3:18pm
May 16, 08 3:18pm
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia bercadang menubuhkan unit berkuda di seluruh negara selain menggunakan kereta perisai bagi meningkatkan kemampuannya menangani rusuhan.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Jamaluddin Khalid berkata usaha-usaha itu perlu diperkenalkan bagi penambahbaikan FRU menghadapi keadaan serta rusuhan yang agresif.
"Pihak kami akan membuat permohonan untuk kelulusan menubuhkan unit berkenaan daripada ketua polis negara," katanya kepada pemberita selepas menutup kursus FRU PDRM Siri 1/2008 di Ipoh hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, unit berkuda FRU yang sebelum ini ditubuhkan di Kuala Lumpur bagi tujuan latihan, jika diluluskan akan dilaksanakan di setiap unit FRU seluruh negara.
Beliau berkata selain penubuhan unit berkuda, kereta perisai juga akan digunakan oleh FRU dalam usaha menangani rusuhan.
Tindakan agresif
Jamaluddin berkata unit berkuda akan beroperasi di belakang anggota FRU yang dikerahkan menyuraikan rusuhan.Katanya, perusuh sekarang didapati semakin agresif apabila bertindak melontar bom petrol serta objek berbahaya terhadap anggota FRU yang menyuraikan rusuhan, dan penggunaan kereta perisai adalah sesuai bagi menangani situasi seperti itu.
Dalam perkembangan lain, Jamaluddin berkata FRUakan menubuhkan unit di Sabah dan Sarawak tidak lama lagi dengan keanggotaan setiap unit seramai 325 orang.
"Kita akan mengambil anggota baru iaitu sebahagian daripada 60,000 anggota polis baru yang akan diambil dalam tahun ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini," katanya.
Seramai 54 pelatih menamatkan latihan berkenaan yang berlangsung selama tujuh minggu bermula 13 Mac lalu.
0 Pandangan
Post a Comment