Ahli Umno Johor diajak sertai perjuangan Islam
Salman Hussin
Fri May 23, 08 12:16:09 pm MYT
KLUANG, 23 Mei (Hrkh) - Kalau Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, membuktikan sifat berlapang dada mempelawa Tun Mahathir Mohamad menyertai PAS, maka seruan yang sama juga ditujukan kepada pemimpin dan ahli Umno di negeri ini.
"PAS Johor sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pemimpin dan ahli Umno di negeri ini yang berhasrat menyertai PAS," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Haji Dzulkifly Ahmad.
"Kalau sebelum ini mereka berjuang atas dasar kebangsaan, maka sudah sampai masanya bagi pemimpin dan ahli Umno mengubah dasar perjuangan daripada kebangsaan kepada Islam.
"Selama inipun sudah terbukti fahaman kebangsaan yang mereka anuti hanya 'memporak-perandakan orang Melayu, jadi untuk apa lagi dasar yang merugikan orang Melayu ini perlu dipertahankan lagi," katanya pada majlis penubuhan Kelab Penyokong PAS (India) bagi Parlimen Kluang, yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Johor (India), Yogeswaran a/l Raman.
Katanya, tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed, meninggalkan Umno memberi gambaran bahawa riwayat Umno sudah sampai ke penghujungnya, Tun Mahathir tidak sanggup untuk 'terkubur' bersama Umno, sebab itu awal-awal lagi beliau menyelamatkan diri sebelum terkubur bersama Umno.
"Tun Mahathir adalah seorang negarawan yang dikenali di seluruh dunia, ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, persoalannya, kenapa beliau meninggalkan parti yang dipimpinnya selama 22 tahun.
"Apakah tindakan beliau ini masih tidak dapat membuka minda pemimpin dan ahli Umno untuk mengucapkan 'selamat tinggal kepada Umno," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Johor, seterusnya mendakwa, Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan begitu kerap akhir-akhir ini hanyalah 'wayang' Umno untuk mengaburi mata orang Melayu.
"Apa yang jelas, hala tuju kongres permuafakatan Melayu ini bertujuan memberi sokongan kepada Umno-Barisan Nasional untuk meneruskan kelangsungan politik mereka.
"Kongres Permuafakatan Melayu ini tidak akan sampai ke mana-mana pun selama mana ia tidak meletakkan Islam sebagai asas utama dalam usaha merungkai segala permasalahan yang timbul membabitkan kepentingan politik orang Melayu.
"Selain itu isu ketuanan Melayu juga seringkali menjadi 'talian hayat' Umno apabila terdesak, talian hayat ini akan digunakan apabila mereka melihat kepentingan politik mereka tergugat.
"Orang Melayu dan ahli-ahli Umno khususnya, sewajarnya menyedari sandiwara serta ketidakjujuran pemimpin Umno yang memperalatkan orang Melayu demi kepentingan politik mereka.
"Justeru, sudah sampai masanya pemimpin dan ahli Umno di negeri ini bertindak berani melakukan perubahan, tinggalkanlah perjuangan kebangsaan ini dan beralihlah kepada perjuangan Islam, Insya-Allah perjuangan yang berpaksikan kepada ajaran Islam ini akan menjamin keselamatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak," katanya lagi. - mns
0 Pandangan
Post a Comment