Sidang Media Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/30/2008 12:19:00 PM | 2 Pandangan »



Sidang Media Dewan Pemuda PAS Negeri Johor berkaitan dengan isu penglibatan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor yang dikatakan terlibat mengiringi seorang pelajar kolej ke balai polis Johor Bahru kelmarin telah dibuat sebentar tadi di sebuah restoran di Kempas.


Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah sdr Suhaizan Bin Kaiat (Ketua Penerangan DPP Pusat, Naib Ketua DPPNJ), Ust Ruhaizam Abd Hamid (Bendahari DPPNJ), sdr Za'aba Bin Haji Ibrahim (Exco DPPNJ) dan beberapa orang lagi pimpinan pemuda PAS Johor.


Wasalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

-------------------------------------

KENYATAAN MEDIA
(30 April 2008, 23 Rabiul Akhir 1429)
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(01/08)

TAJUK :

BERNAMA PERLU MOHON MAAF DI ATAS SALAH LAPOR BERITA/MAKLUMAT

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) memulakan sidang media pada hari ini dengan berita bertajuk “Ugut Karpal : Pelajar Kolej Serah Diri” yang disiarkan dilaman web www.malaysiakini.com pada 28 April 2008 pukul 10.37 malam.

Saya telah dimaklumkan bahawa berita berkaitan dengan seorang pelajar kolej telah menyerahkan diri ke balai polis kerana telah membuat mesej ugutan terhadap Pengerusi DAP Kebangsaan, YB Encik Karpal Singh.

Saya amat terkejut dengan berita ini apabila saya dikatakan telah mengiringi pelajar tersebut ke balai polis bersama empat ahli Pemuda PAS Johor sedangkan pada ketika penyerahan diri dilakukan oleh pelajar tersebut pada pukul 1 tengahari, saya sudahpun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur daripada Kluang.

Bagi mendapatkan kepastian bagaimana perkara ini boleh terjadi, saya telah menghubungi beberapa exco DPPNJ untuk mengesahkan sama ada terdapat beberapa exco DPPNJ yang telah bersama dengan pelajar tersebut namun saya telah dimaklumkan bahawa tidak ada seorang pun exco DPPNJ yang terlibat.

Saya telah menghantar e-mail kepada pihak pengurusan Malaysiakini (29 April 2008, 12.53 malam) bagi mendapatkan kepastian bagaimana berita ini diperolehi dan disiarkan dalam keadaan saya tidak terlibat langsung seperti mana yang telah disiarkan dalam berita tersebut.

Pada hari yang sama pukul 12.20 tengahari, saya telah dihubungi oleh sdr Fathi Aris Omar, Pengarang berita Malaysiakini Bahasa Melayu memaklumkan bahawa beliau telah menjawab kekeliruan tersebut melalui email kepada saya.

Dalam email tersebut, Malaysiakini telah memaklumkan bahawa sumber maklumat sehingga berita tersebut disiarkan di dalam laman web Malaysiakini telah diperolehi daripada laman web Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang bertajuk “Pelajar Kolej Serah Diri Kepada Polis Berhubung Dakwaan Hasut Bunuh Karpal”. Malaysiakini juga telah menyiarkan berita bertajuk “Pemuda PAS nafi terlibat kes ugut Karpal” pada 29 April 2008 pukul 11.37 pagi (kemaskini 2.34 petang)

Saya telah menghubungi Encik Mohd Fisol Jaafar, Editor Bernama untuk mendapatkan maklumat tentang perkara ini. Beliau telah meminta ruang masa untuk mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum memberikan penjelasan terhadap isu tersebut.

Encik Mohd Fisol telah menghubungi saya kembali dan memaklumkan bahawa berita tersebut telah dibuat oleh wakil Bernama di Johor dan maklumat tersebut telah diperolehi oleh wartawan Bernama Johor daripada Encik Norman Fernandez, Timbalan Pengerusi parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Johor dan meminta saya menghubungi Encik Norman untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

Sidang media ini diadakan adalah untuk menjelaskan beberapa perkara :-

1. Saya cukup terkilan kerana saya dan DPPNJ telah dikaitkan secara langsung sehinggakan nama saya telah disiarkan tanpa mendapatkan maklumat terus daripada saya oleh wartawan Bernama.

2. Saya cukup terkilan apabila Editor Bernama, Encik Mohd Fisol Jaafar langsung tidak memohon maaf di atas kesilapan penyiaran maklumat tentang penglibatan saya dalam perkara ini, malah meminta saya sendiri berhubung dengan Encik Norman bagi mendapatkan penjelasan.

3. Berita ini bukan sahaja tersebar di dalam internet tetapi juga telah disiarkan dalam media cetak seperti di dalam Berita Harian bertarikh 29 April 2008.

4. Setelah berita ini disiarkan, saya telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak terhadap tindakan saya kerana telah mengiringi pelajar tersebut ke balai polis sedangkan perkara tersebut tidak ada kaitannya secara langsung dengan saya dan DPPNJ.

Maka, saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor menuntut beberapa perkara tersebut:-

1. Bernama membuat permohonan maaf secara terbuka kepada saya dan kepimpinan DPPNJ kerana menyiarkan berita mengaitkan saya terlibat mengiringi pelajar kolej tersebut.

2. Bernama perlu menjelaskan secara bertulis bagaimana maklumat tersebut telah diperolehi.


3. Bernama dan media arus perdana perlu memastikan bahawa maklumat dan sumber maklumat tersebut adalah benar kerana ia sudah pasti akan menimbulkan pelbagai persepsi dan reaksi yang buruk sekiranya berita tersebut.

4. Sekiranya permohonan maaf dan penjelasan secara terbuka tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari bermula daripada tarikh sidang media ini diadakan, maka saya dan DPPNJ tidak akan teragak-agak untuk menfailkan saman terhadap Bernama.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://minda-kembara.blogspot.com/

2 Pandangan

  1. Unknown // May 1, 2008 at 9:34 AM  

    Molek sangatlah tindakan saudara itu tanpa menghubungi wartawan terbabit.

  2. Syazli Tahir // May 1, 2008 at 12:55 PM  

    isu ini tak sepatutnya diperbesarkan oelh Media. Karpal sepatutnya tahu menghormati sensitiviti agama Islam. Islam bukan pada Negara atau agama rasmi...tepai islam adalah pada faith, keimanan dn amalan seseorang