Orang Melayu, Jom Kembali ke UMNO!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/28/2008 08:58:00 AM | 0 Pandangan »

Nampaknya, UMNO semakin terasa bagaimana sekarang ini orang Melayu sudah semakin ramai yang meninggalkan UMNO. Langkah untuk mengambil hati orang Melayu untuk mengembalikan taat setia kepada UMNO disusun dengan pelbagai pendekatan agar UMNO akan terus menjadi parti yang terus relaven untuk orang Melayu.

Muhyiddin Yassin yang menyokong perhimpunan besar-besaran NGOs Melayu yang akan diadakan di Johor Bahru pada 2 Mei ini sudah tentu merasai sendiri bagaimana orang Melayu sudah mula hilang kepercayaan mereka terhadap UMNO.

Parlimen Pagoh sendiri telah memperlihatkan bagaimana pengaruh UMNO/BN telah menurun dengan mendadak jika dibandingkan dengan jumlah undi yang diterima pada pilihanraya umum ke 11 pada tahun 20004.

Kubu kuat UMNO di Johor yang biasa menyebabkan calon PAS hilang deposit atau hampir hilang deposit menang dengan majoriti 12,581 undi pada tahun 2008 sedangkan pada tahun 2004, Muhyiddin mengatasi calon PAS dalam kerusi yang sama dengan majoriti 18,747 undi.

Sudah tentu Muhyiddin cukup terasa kehilangan sokongan daripada pengundi terutamanya daripada kalangan pengundi Melayu di kawasannya sendiri. Bayangkan, apa akan terjadi kepada UMNO sekiranya orang Melayu yang selama ini ketaatannya kepada UMNO sudah pudar dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Untuk memastikan bahawa pengaruh UMNO akan kembali kukuh, Melayu Johor perlu diperbetulkan dahulu. Maka perhimpunan besar-besaran ini juga perlu dibuat di Johor juga.

Sudah menjadi lumrah kepimpinan UMNO, ketika kehilangan sokongan daripada orang Melayu, mereka akan bincang, kaji dan mengambil tindakan yang semaksimum mungkin untuk memastikan bahawa orang Melayu akan dibela tetapi apabila orang Melayu sudah memberikan sokongan mereka kepada kepimpinan UMNO kembali, orang Melayu akan diperkotak-katikkan dan diabaikan.

Apakah orang Melayu akan sanggup untuk terus diperbodohkan lagi?

Apakah orang Melayu akan sanggup untuk terus dipergunakan lagi?

Apakah orang Melayu akan sanggup untuk terus ditipu lagi?

Terpulanglah kepada orang Melayu untuk menentukannya tetapi PAS menawarkan kepada orang Melayu bukan sekadar untuk kepentingan Melayu tetapi PAS tetap istiqamah untuk memperjuangkan Islam. Politik berasaskan perkauman sudah tidak relaven lagi dengan senario politik semasa.

Biarkanlah UMNO terus merundung malang dan meratap kesedihannya, marilah kita perjuangan nasib kita bersama dengan parti Islam yang bersedia memperjuangkan nasib kita dunia dan akhirat!

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
28 April 2008, 9.27 pagi

------------------------------------------------
Muhyiddin: Cari formula kembalikan Melayu kepada Umno
27-04-2008 03:12:40 PM

MUAR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap perhimpunan besar-besaran badan bukan kerajaan (NGO) Melayu kebangsaan di Johor Baharu pada 2 Mei, turut mencadangkan formula untuk menarik kembali orang Melayu kepada Umno.

Ini kerana, katanya, Umno adalah sebuah parti yang masih relevan kepada orang Melayu kerana tidak ada badan lain yang dapat memperjuang dan mempertahankan hak bangsa Melayu, agama dan mempertahankan institusi Raja-raja Melayu seperti Umno.

Beliau menyifatkan inisiatif Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menganjurkan perhimpunan itu sebagai amat murni."Kalau mereka kata Umno tidak boleh kerana mereka tidak yakin dengan kepimpinannya atau dalam situasi sekarang tidak begitu ghairah memperjuangkan nasib orang Melayu, saya fikir mereka boleh jadikan perhimpunan itu sebagai langkah memperbaiki kelemahan Umno.

"Kalau mereka dapati terdapat kelemahan dalam perjuangan Umno atau parti itu sudah menyimpang daripada perjuangan asalnya, mereka boleh tegur dan kita (pemimpin) harus menerima teguran itu dengan hati terbuka," kata Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh selepas merasmikan satu majlis di kawasan Parlimen itu semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perhimpunan itu juga boleh mengemukakan cadangan kepada Umno terhadap perkara yang mereka tidak puas hati berkenaan dasar parti tentang Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pendidikan atau perjuangan Umno tentang ekonomi orang Melayu.

"Kalau semua pertubuhan Melayu berjuang atas landasan yang sama dengan Umno, eloklah cari satu titik pertemuan untuk menggabungkan usaha mereka dengan apa yang dilakukan oleh Umno," katanya.

Muhyiddin menarik perhatian bagaimana Perhimpunan Melayu Johor berjaya mengembalikan orang Melayu bersatu dalam parti ekoran perpecahan Umno pada tahun 1988 kerana resolusi badan bukan kerajaan yang mewakili orang Melayu Johor sepakat bahawa orang Melayu tiada pilihan kecuali kembali bernaung di bawah payung Umno. BERNAMA

0 Pandangan