Mampukah Dr Wan Azizah Menjadi PM?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/24/2008 07:25:00 PM | 0 Pandangan »

Saya bukan mempertikai kemampuan Dr Wan Azizah untuk memimpin kita semua sebagai Perdana Menteri tetapi agak terkejut juga bila Kak Wan menyahut seruan untuk menjadi PM sekiranya Pakatan Rakyat mendapat majoriti dua pertiga apabila berlakunya peralihan sokongan wakil BN dalam Parlimen.

Secara umumnya, penyokong Pakatan Rakyat memberikan kepercayaan kepada DS Anwar Ibrahim untuk memimpin negara sebagai PM kerana kewibawaan dan pengalamannya yang pernah diamanahkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Pemangku Perdana Menteri sebelum ini.

Namun, dengan halangan DSAI menyertai pilihanraya umum ke 12 yang lalu, DSAI tidak dapat menyertai pilihanraya tersebut namun ia tidak menghalang rakyat untuk menafikan majoriti dua pertiga BN di dalam parlimen.

Kesediaan Kak Wan untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang bersesuaian dengan jumlah kerusi PKR yang dimenangi diperingkat Parlimen. Sebelum ini, saya pernah membayangkan bahawa Kak Wan akan melepaskan kerusi Permatang Pauh untuk ditandingi oleh DSAI selepas daripada 14 April 2008 namun nampaknya belum menjadi kenyataan.

Walau bagaimanapun, rakyat tentunya masih lagi ingat kepada janji DSAI bahawa beliau akan menyertai Pakatan Rakyat dengan bertanding dalam kerusi Parlimen yang akan dikosongkan oleh mana-mana ahli Parlimen yang dimenangi oleh PKR. Itu janji DSAI ketika sebelum kita menghadapi pilihanraya umum ke 12 dahulu. Saya juga yakin bahawa pencinta keadilan dan kebenaran teringin benar untuk melihat DSAI berada dalam sidang Parlimen, setidak-tidaknya sebagai Ketua Pembangkang.

Saya percaya, dalam minda kita telah meletakkan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat diberikan amanah untuk memerintah Malaysia, calon yang dilihat bertepatan untuk dilantik sebagai PM adalah DSAI namun ia mungkin bukan satu perancangan sebelum ini untuk meletakkan Kak Wan sebagai PM.

Apapun, mari kita bincangkan perkara ini untuk kita perhalusi bersama. Saya juga menyediakan ruangan undian di dalam blog saya untuk mendapatkan maklum balas daripada para pembaca.

Wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
24 April 2008, 7.48pm
--------------------------------------------------------

Azizah: Saya sedia jadi PM - Malaysiakini
Muda Mohd Noor Apr 24, 08 4:52pm

Dr Wan Azizah Ismail berkata beliau bersedia menjadi perdana menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat berjaya mendapat majoriti dua pertiga susulan peralihan sokongan wakil-wakil Barisan Nasional."Saya bersedia, insya Allah. Ini kejutan baru kepada saya.

"Saya menyertai gelanggang politik (pun) secara mengejut, saya menjadi ketua pembangkang (pun) secara mengejut," kata presiden PKR kepada wartawan di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah beliau bersedia menjadi perdana menteri apabila Pakatan berjaya mempengaruhi lebih 30 wakil BN untuk beralih kepada gabungan pembangkang. Dr Wan Azizah, kini ketua pembangkang di Dewan Rakyat berkata, kerajaan Malaysia boleh "bertukar pada bila-bila masa".

Ketika ditanya mengapa tumpuan menarik ahli parlimen BN kepada Pakatan Rakyat ditumpukan di Sabah dan Sarawak, beliau berkata "itu urusan suami saya."

"Saya juga tidak pasti bila mereka akan menyertai Pakatan Rakyat tetapi kita tidak paksa mereka."Sesiapa yang nak masuk Pakatan hendaklah atas niat meninggalkan parti perkauman dan menegakkan keadilan," tambahnya.

Ahli parlimen Permatang Pauh berkata, bagaimanapun, Pakatan memberikan lebih keutamaan kepada usaha mengukuhkan barisan pembangkang dahulu.

Semalam ketua umum PKR Datuk Seri Anwar berkata, beberapa ahli parlimen BN di Sabah telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan sedang menunggu masa sesuai, selewat-lewatnya pertengahan September.

"Apa yang menahan mereka ialah pengaturan masa. Ahli-ahli parlimen ini belum pun mengangkat sumpah di parlimen (lagi). Kami bukanlah tergesa-gesa," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu dalam lawatan ke negeri itu, semalam.

Menurutnya, mereka dijangka menyertai bila-bila masa sama ada, termasuk bulan depan, hari kemerdekaan (31 Ogos) atau hari ulang tahun pembentukan Malaysia (16 September).

"Tetapi saya fikir kami tidak akan melewati tempoh itu," katanya.

Azizah mula diuar-uarkan sebagai calon perdana menteri sejak pertengahan bulan ini apabila suaminya, yang dianggap pemimpin de facto pembangkang, tidak menjelaskan bila akan bertanding dan menang kerusi parlimen dalam satu pilihanraya kecil.

Semalam, bagaimanapun, Anwar meramalkan beliau akan menjadi perdana menteri "dalam tempoh tiga tahun ini".


Katanya, tiada jangka masa jelas tentang tarikh beliau akan memegang jawatan itu tetapi meramalkan tempohnya "tidak sampai tiga tahun lagi"."(Tetapi) saya bukannya tergesa-gesa," katanya.

0 Pandangan