Lagi Berita Tentang WPI Tukar Nama

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/14/2008 04:01:00 PM | 0 Pandangan »

Sebelum ini saya telahpun membuat ulasan tentang pertukaran nama Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) kepada Iskandar Malaysia (IM). Saya telah membuat ulasan dalam blog saya pada 11 April 2008. Nampaknya belum ada respon positif daripada mana-mana pihak terhadap pertukaran nama WPI ini

Hari ini tersiar lagi berita tentang penukaran nama WPI yang diulas oleh Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agong Parti Tindakan Demokratik (DAP) Encik Tony Pua.

Sebenarnya, saya ingin sangat mendengar ulasan daripada pimpinan kerajaan termasuklah Menteri Besar Johor terhadap pertukaran nama WPI ini namun setakat ini keputusan penukaran nama ini tidak mendapat komentar.

Saya ulangi lagi, apakah sebab Pak Lah ingin menukarkan nama WPI kepada IM, adakah dengan penukaran ini akan menyebabkan pelaburan meningkat atau sebenarnya Pak Lah sendiri tidak begitu jelas kenapa WPI perlu ditukar kepada IM.

Saya juga menyokong kenyataan daripada Encik Tony Pua agar Pak Lah mengumumkan pelaburan sebenar di WPI ini agar ianya tidaklah pelaburan yang sengaja diada-adakan.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kami
14 April 2008, 4.13 petang

------------------------------------
PM digesa umum pelaburan sebenar di WPI - Malaysiakini
Apr 14, 08 3:37pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa supaya mengumumkan jumlah pelaburan sebenar di Iskandar Malaysia bagi membuktikan kredibiliti kerajaan dalam membangunkan projek tersebut.

Iskandar Malaysia sebelum ini dikenali sebagai 'Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)'.Penasihat ekonomi kepada setiausaha agung DAP, Tony Pua berkata, Abdullah telah mengumumkan bahawa Iskandar Malaysia menuju sasarannya untuk menarik pelaburan RM47 juta dalam tempoh dua tahun akan datang dan sehingga ini ia telah "mencapai" 70 peratus sasaran pelaburannya, atau sekurang-kurangnya RM33 bilion.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli parlimen PJ Utara, menggesa Abdullah yang juga menteri kewangan, supaya mengumumkan butiran berikut:

i. Daripada jumlah pelaburan yang telah 'diperolehi" itu, apakah pecahannya antara perjanjian pelaburan yang sudah disahkan, contoh, ada klaus penalti jika ditamatkan; dan yang hanya berdasarkan kepada 'memorandum persefahaman' (MOU) yang tidak terikat dengan sebarang kontrak.

ii. Daripada pelaburan yang 'diperolehi" itu, apakah pecahan antara (pelaburan) kerajaan Malaysia, pelabur swasta tempatan dan pelabur terus asing?
iii. Daripada jumlah pelaburan yang diperolehi itu, berapa banyak dana yang telahpun dilaburkan di Iskandar Malaysia?

"Rakyat Malaysia mengharapkan supaya Iskandar Malaysia mencatatkan kejayaan, terutama dalam menarik pelaburan terus asing ke negara ini.

Kerap tukar nama

"Bagaimanapun, untuk berbuat demikian, menteri kewangan mesti menyediakan maklumat yang kita perlukan untuk menilai status projek tersebut dan menyarankan rancangan-rancangan perlu untuk memastikan kejayaannya," katanya Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pada 11 Mac lalu, Abdullah telah mengumumkan pertukaran nama Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) kepada 'Iskandar Malaysia'.

"Harus diperhatikan bahawa ini adalah kali kedua projek tersebut bertukar nama sejak dilancarkan pada awal 2007, yang pada mulanya dinamakan sebagai 'Koridor Pembangunan Johor Selatan'."

Kekerapan pertukaran nama projek tersebut memberi imej buruk terhadap kerajaan dan pihak pentadbiran kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pelabur.

"Tambahan pula, ia juga mencerminkan sebuah kepimpinan yang tidak mampu berpegang kepada satu keputusan, sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang munasabah, selepas ia dibuat," kata Pua.

Menurutnya, perkembangan seumpama itu tentunya tidak baik "dalam memupuk keyakinan pelabur terhadap projek kita".

0 Pandangan