Titah Tuanku Mizan & Raja Nazrin Penuh Makna

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/20/2008 05:57:00 PM | 0 Pandangan »

Hilang pedoman punca empayar jatuh - Nazrin
20/03/2008 3:00pm


IPOH 20 Mac – Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, sikap pemimpin yang hilang pedoman ketika berkuasa adalah punca kejatuhan sesebuah empayar dan negara sebagaimana yang tercatat dalam sejarah.
Menurut baginda, sejarah turut mencatatkan ramai insan yang mendapat peluang menjadi pemimpin tetapi hanya sedikit di kalangan mereka yang berjaya mencipta sejarah dan membina tamadun bangsa.
``Ada di antaranya yang terleka, ada yang tersalah haluan, ada yang tersalah diberi nasihat, ada yang tersalah langkah dan ada yang tersalah perkiraan.
``Justeru, sejarah berkaitan kepimpinan dan pemimpin itu sewajibnya dijadikan asas rujukan oleh ummah hari ini bagi mempelajari daripada kesalahan dan menjauhi daripada mengulangi kesilapan yang sama,'' titah baginda semasa merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. – Utusan.


Contohi Rasulullah untuk capai keunggulan, Tuanku Mizan
20-03-2008 04:00:18 PM
KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu mencontohi keunggulan peribadi Rasulullah SAW dalam melaksanakan perintah Allah SWT ke arah melahirkan sebuah masyarakat Islam yang unggul serta menjadi contoh teladan kepada dunia, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Titah baginda, perjuangan Rasulullah telah berjaya membina kekuatan mental dan fizikal umat Islam sehingga mampu mencipta satu tamadun yang gemilang di mata dunia.
Seluruh umat Islam, titah baginda, perlu menyedari bahawa Allah SWT telah menganugerahkan potensi kecemerlangan dalam setiap diri insan.
"Umat Islam sebagai hambanya bertanggungjawab untuk mengembangkan potensi kecemerlangan ini melalui akal yang telah dikurniakan Allah. Hanya melalui akal yang cerdas, insan mampu menerokai ilmu dan seterusnya berupaya membimbing masyarakat ke arah kegemilangan.
"Tema MaulidurRasul tahun ini 'Menjana Ummah Gemilang' amat bertepatan dengan situasi kehidupan umat Islam hari ini yang mana ia sentiasa mengalami perubahan," titah Seri Paduka semasa merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Stadium Utama Bukit Jalil di sini pada hari Khamis.
Turut berangkat hadir ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta para menteri Kabinet juga hadir.
Titah Seri Paduka, konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah merupakan perkara asas yang perlu dihayati supaya impak terhadap keunggulan agama Islam dapat dirasai secara global tanpa menyisihkan nilainilai ukhrawi dan duniawi.
"Beta yakin dengan panduan kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah, seluruh umat Islam di Malaysia mampu meneroka bidang sains dan teknologi dengan lebih jauh lagi.
"Dengan ini, umat Islam akan mampu membina kekuatan dan pengaruh di kalangan seluruh masyarakat dunia," titah baginda.
Tuanku Mizan juga berharap umat Islam di negara ini memahami dan menzahirkan panduan dan pengajaran yang telah diturunkan oleh Allah melalui kitab suci al-Quran.

Titah baginda, panduan dan pengajaran ini perlu dijadikan tunggak bagi memupuk semangat persaudaraan sesama Islam dan bukan Islam.
"Beta juga menyeru seluruh umat Islam supaya sama-sama berusaha serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan - BERNAMA

0 Pandangan