Samy Vellu Nak Perjuang Nasib Pemimpin Hindraf Pula!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/30/2008 09:10:00 PM | 0 Pandangan »

Bila sudah tersepit, maka barulah timbul kesedaran. Inilah yang cuba diterjemahkan oleh Datuk Seri Samy Vellu apabila telahpun sedar bahawa kaum India di Malaysia menolak MIC/BN dalam pilihanraya Umum yang lalu.
Akhirnya, setelah tersedar daripada kesilapan lampau, maka Samy telah membuat gesaan supaya pimpinan Hindraf yang ditahan di bawah ISA dibebaskan.
Walaupun beliau memberikan beberapa alasan untuk mereka ini dibebaskan namun ia tetap dilihat bahawa Samy terpaksa tunduk kepada tekanan daripada kaum India sendiri.

Setidak-tidaknya Samy telah sedar cuma tidak mahu mengaku akan kesilapannya sebelum ini. Mungkin peluang untuk memperjuangkan nasib pimpinan Hindraf ini cukup terbatas kerana Samy sudah tentu tidak dapat bersuara lagi dalam Dewan Rakyat selepas ini.


--------------------------------
Samy: Bebaskan pemimpin Hindraf - Malaysiakini
Mar 30, 08 6:26pm
Mengulangi desakan pembangkang dan parti Gerakan, MIC hari ini turut menggesa lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menggesa dua daripada dibebaskan lebih awal atas alasan R. Kenghadaran mengalami sakit teruk dan M. Manoharan menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam pilihanraya 8 Mac.


Menurut laporan Bernama hari ini, Samy Vellu berkata dua lagi wajar dibebaskan - V. Ganabatirau dan K. Vasantha Kumar - kerana "pembabitan mereka tidak begitu mendalam" dalam demonstrasi besar di Kuala Lumpur 25 Nov lepas.


P. Uthayakumar, seorang peguam dan aktivis sosial masyarakat India, pemimpin Hindraf yang kini meringkuk di kem tahanan Kamunting di Taiping.


DAP, Gerakan dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) antara organisasi yang menggesa mereka dibebaskan, sementara ketua pembangkang baru, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menjadikan isu pembebasan mereka dalam lima agenda besar yang ingin dibawanya di Dewan Rakyat.


Bercakap selepas merasmikan bengkel "Penjenamaan Semula MIC", Samy Vellu dipetik sebagai berkata:


"Kami prihatin terhadap Kenghadaran dan Manoharan."Saya bercakap dengan isteri kedua-dua mereka dan dalam keadaan ini, saya memutuskan untuk membangkitkannya kepada kerajaan mengenai kedua-dua mereka ini kerana mereka telah mengambil pendekatan ini."


Beliau bercadang menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas lawatan Perdana Menteri dari Sabah.

0 Pandangan