Rumah Tsunami Terbengkalai - Tugas Awal Kerajaan Baru Kedah

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/20/2008 08:10:00 AM | 0 Pandangan »

Rumah tsunami tidak siap selepas 4 tahun - Utusan
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN


KUALA MUDA 19 Mac – Lebih 500 penduduk Kuala Muda yang menjadi mangsa tsunami empat tahun lalu semakin kebingungan apabila projek rumah tersusun yang dijanjikan siap Disember tahun lalu masih belum dapat diduduki.

Menurut mereka, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebelum ini menyatakan kerja-kerja akhir projek yang juga dikenali sebagai ‘banglo tsunami’, sudah selesai dan penduduk boleh berpindah selewat-lewatnya Februari lalu.
Namun, kata mereka, sehingga kini tiada mana-mana pihak termasuk SPNB yang juga pelaksana projek berkenaan, datang dan berbincang mengenai perkara tersebut sehingga menyebabkan penduduk terus tertanya-tanya.

Seorang penduduk, Mohd. Noor Ibrahim, 50, berkata, penduduk semakin bingung apabila projek itu yang sudah tertangguh sejak lebih setahun lalu masih belum disiapkan oleh SPNB.

‘‘Kami tidak tahu hendak cakap apa lagi, dulu heboh di suratkhabar kata rumah sudah siap tapi sampai sekarang tidak ada apa-apa perkembangan pun,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Mohd. Amin Mohd. Salleh sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa projek rumah tersusun untuk penempatan semula mangsa tsunami di Kuala Muda yang tertangguh sejak setahun lalu dijangka siap Disember lalu.
Mohd. Amin menjelaskan, kelewatan tersebut disebabkan pemindahan rumah kedai dan setinggan yang terletak di tapak pembinaan projek itu selain masalah kesukaran kontraktor mendapatkan bahan mentah termasuk simen.
Sementara itu, seorang nelayan, Asmadi Che Soh, 44, pula berkata, dia sekeluarga tidak lagi menaruh harapan tinggi untuk berpindah kerana sudah bosan menunggu sejak setahun lalu.

‘‘Kami sekeluarga tidak hendak fikir sangat dah. Dapat pindah kami pindah, tidak pindah pun kami tidak kisah kerana sebelum ini tunggu-tunggu apa pun tidak jadi,’’ jelasnya yang tinggal di kampung itu sejak 30 tahun lalu.

Bagi Sharifah Rohizan, 38, penduduk di kawasan berkenaan hairan kerana pihak SPNB langsung tidak turun padang untuk memberi penjelasan berhubung perkembangan projek itu.

‘‘Banyak perkara yang belum dijelaskan, soal bayaran dan terma perjanjian serta pampasan untuk merobohkan rumah lama juga tidak diperincikan secara jelas,’’ ujarnya.

Pandangan itu disokong oleh Thee Yeng Peng, 48, yang mendakwa keadaan rumah baru di tapak projek tersebut juga dilaporkan bermasalah termasuk kebocoran siling dan keretakan dinding.

0 Pandangan