Ahmad Said dilantik MB Terengganu -Bernama
22-03-2008 07:27:45 PM
KUALA TERENGGANU: Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu selesai hari ini apabila pejabat Sultan Terengganu mengumumkan Datuk Ahmad Said untuk memegang jawatan itu.
Menurut kenyataan pejabat Sultan Terengganu hari ini, Ahmad, 51, anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Tamu di sini pagi esok.
"Mengikut peruntukan Fasal 14 Perenggan (2) (a) Undangundang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab 2), Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam melaksanakan fungsi bagi pihak Pemangku Raja.
"Dengan ini telah memilih untuk melantik Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu," kata kenyataan itu kepada Bernama pada hari Sabtu.
Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu telah berlarutan selama 14 hari selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.
Pelantikan Ahmad ialah bagi menggantikan Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan wakil rakyat Jertih yang menjadi Menteri Besar Terengganu selama satu penggal sejak 2004.
----------------------------------------------------
Hubungan BN-istana kian tegang
Fathi Aris Omar Mar 22, 08 9:09pm
Fathi Aris Omar Mar 22, 08 9:09pm
Analisis Jika majlis angkat sumpah menteri besar Terengganu dipulaukan oleh semua wakil rakyat BN esok, parti itu kini berdepan dengan tanggapan umum bahawa ia sengaja mencipta masalah dengan istana - sekali gus melanjutkan krisis sejak tamatnya pilihanraya umum 8 Mac.
Hari ini, selepas keadaan tidak pasti selama 14 hari tanpa calon menteri besar, istana melantik wakil rakyat Kijal Datuk Ahmad Said (foto) menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.
Majlis angkat sumpah dijadual pagi esok di Istana Tamu, Kuala Terengganu. Namun 23 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dengan diketuai oleh setiausaha badan perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid mengisytiharkan secara terbuka untuk memulaukan majlis tersebut.
Usaha ini kelihatan sudah dirancang lebih awal apabila sumber-sumber Umno negeri memberitahu Malaysiakini kelmarin, Idris yang juga pengerusi BN negeri meminta semua Adun - kecuali Ahmad - menurunkan tandatangan sokongan kepadanya.
Sumber itu juga tidak senang apabila Idris membuat kenyataan menyeru rakyat Terengganu agar bertenang sementara menunggu menteri besar baru dilantik. Idris seolah-olah memberi gambaran rakyat masih bersamanya, kata sumber itu lagi.
Sumber-sumber Umno itu bimbang penduduk akan memandang serong kepada Umno dan membawa kesan politik yang negatif apabila parti itu dilihat cuba menentang istana.
Hari ini, sebelum sidang media Rosol, wakil-wakil rakyat BN bertemu Idris di kediaman rasmi menteri besar dan kemudian masing-masing menurunkan tandatangan sekali lagi bagi menyokong Idris untuk diserahkan kepada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) jam 9 pagi esok.
Tandatangan sokongan tadi kali ketiga dikeluarkan sejak krisis ini - satu kempen tandatangan sokongan wakil-wakil BN kepada Idris pernah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pertemuan mereka Sabtu lepas.
Selain boikot, beberapa wakil BN bercadang meletakkan jawatan, kata Rosol lagi.Menurutnya, mereka juga akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap menteri besar baru itu di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dua langkah ini satu ancaman keras kepada Ahmad dan boleh menggugat kestabilan politik negeri, khususnya hubungan antara BN dengan istana.
Kenyataan Rosol, yang dikatakan penyokong setia Idris, petang tadi mengulangi ugutan DAP memulaukan majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin minggu lepas atas alasan parti itu menolak wakil rakyat PAS sebagai calon jawatan tersebut.
Kenyataan pemulauan tokoh utama DAP Lim Kit Siang itu telah menyebabkan istana Perak menangguhkan majlis itu dan mengesyorkan semua 31 wakil DAP, PKR dan PAS menandatangani persetujuan dengan calon menteri besar itu.
Suasana berkonflik di negeri pakatan tiga pembangkang utama itu kini telah selesai, seperti juga krisis pelantikan menteri besar Perlis - perebutan antara Datuk Seri Shahidan Kassim dengan penggantinya Datuk Dr Mat Isa Sabu.
Shahidan, yang terus-menerus mendakwa hingga saat akhir mendapat sokongan Perdana Menteri, tidak hadir di majlis angkat sumpah.
Kedua-dua kebingungan ini selesai dengan Shahidan dilaporkan menerima Isa demi kebaikan Umno dan BN di negeri itu, dan Lim pula memohon maaf kepada istana dan menghadap sendiri Pemangku Raja Perak selepas majlis angkat sumpah Mohamad Nizar.
Walaupun berita pelantikan Ahmad tidak begitu mengejutkan tetapi pemulauan majlis angkat sumpah esok benar-benar satu tamparan kepadanya dan sekali gus MPPR.
MPPR minggu lalu gagal mengadakan pertemuan di Putrajaya dengan wakil-wakil BN apabila majlis yang dijadual pada 11 pagi dibatalkan di saat-saat akhir. Dua puluh wakil parti itu kemudian mengadakan perjumpaan dengan Abdullah.
Di Terengganu pula, naik beberapa puluh sepanduk menyatakan sokongan kepada istana. Sepanduk yang memuatkan antaranya perkataan "Daulat Tunku" dan kesediaan rakyat bersama istana itu bagaimanapun diturunkan selepas dua jam kemudian.
Dalam satu kes kelmarin, polis berjaya menahan empat lelaki berusia 23 hingga 27 tahun kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu berhubung pelantikan menteri besar.Kain rentang itu yang dirampas awal pagi itu antaranya bertulis "Daulat Tuanku Selamatkan Terengganu Darul Iman" serta "Daulat Tuanku, Rakyat Berdiri di Belakang DYMM Tuanku.
Semalam ketua polis negeri Datuk Ayub Yaakob pula memberi amaran agar penduduk tidak menyebarkan SMS mengaitkan isu itu dengan pihak istana kerana bimbang ia menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, selain mencemarkan institusi diraja itu sendiri.
Dalam keadaan tidak pasti itu, Peguam Negara turut mengeluarkan kenyataan bahawa DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam isu tersebut.
Tan Sri Abdul Gani Patail menyatakan, Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong dilarang terlibat dalam hal-ehwal pentadbiran negeri kecuali menyentuh kepentingan Islam. Calon menteri besar bukanlah pilihan baginda, kata Abdul Gani lagi.
Malam ini, selepas melaporkan perkembangan istana telah melantik Ahmad sebagai menteri besar, tiba-tiba sebuah stesen televisyen swasta melaporkan, seorang ahli politik Terengganu kini sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek di Kijal.
Siapakah ahli politik Terengganu yang tidak disebutkan namanya dalam laporan TV3 itu tetapi disiasat BPR kerana projek-projek di Kijal?
Terkini: Setiausaha agung BN dan Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor lewat malam ini dilaporkan memberi amaran keras kepada Adun Kijal. Datuk Ahmad Said akan dikenakan tindakan disiplin Umno dan "menanggung akibat" jika beliau tetap bersedia menerima pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan menteri besar esok, lapor Bernama.
Bagaimanapun, Tengku Adnan enggan mendedahkan apakah bentuk tindakan disiplin yang bakal dikenakan terhadap Ahmad.
Beliau menambah, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga presiden Umno, telah mengeluarkan surat sokongan kepada Datuk Seri Idris Jusoh sebagai menteri besar dan tidak wajar Ahmad menerima jawatan itu.
Sementara itu, Malaysiakini difahamkan ada pihak-pihak tertentu yang dekat dengan Umno bercadang mengadakan perhimpunan di sebuah hotel tidak jauh dari Istana Tamu.
---------------------------------------------------------
Tindakan jika Ahmad jadi MB T'ganu - Malaysiakini
Mar 22, 08 11:26pm
Kemelut isu pelantikan menteri besar Terengganu berlarutan apabila setiausaha agung BN dan Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Datuk Ahmad Said akan dikenakan tindakan disiplin Umno dan "menanggung akibat" jika beliau menerima pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan menteri besar esok.
Sambil mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal supaya mematuhi peraturan parti, Tengku Adnan berkata Ahmad sepatutnya meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu dan bukan dirinya.
Tengku Adnan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga presiden Umno, telah mengeluarkan suratcara pelantikan kepada Datuk Seri Idris Jusoh sebagai menteri besar dan tidak betul bagi Ahmad untuk mengangkat sumpah jawatan itu.
Pejabat Sultan Terengganu hari ini mengumumkan Ahmad, 51, dilantik menteri besar besar dan majlis mengangkat sumpah di Istana Tamu pagi esok.
Menjelang keputusan istana itu, kesemua 23 Adun BN Terengganu dalam satu sidang akhbar memberi amaran untuk memboikot majlis esok atas alasan tidak menyokong calon lain selain Idris.Bernama memetik Tengku Adnan sebagai berkata:
"Kami semua adalah anggota komponen BN dan Umno. Oleh itu, adalah perlu bagi semua anggota untuk mematuhi keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan. Tidak kiralah apa hasilnya tetapi sekali keputusan telah dibuat, ia mesti dipatuhi semua anggota."
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan apakah bentuk tindakan disiplin yang akan diambil terhadap Ahmad, jika beliau terus menerima pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan esok.
Sementara itu, Malaysiakini difahamkan ada pihak-pihak tertentu yang dekat dengan Umno bercadang mengadakan perhimpunan di sebuah hotel tidak jauh dari Istana Tamu.
Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno negeri-negeri di Seri Perdana mulai semalam untuk mendengar sendiri daripada mereka punca BN kalah di lima negeri pada pilihanraya umum 8 Mac.
Semalam, Perdana Menteri menemui pemimpin dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka manakala hari ini, giliran pemimpin dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu. "Ia adalah suatu bentuk sesi penjelasan. Terdapat juga sesi soal jawab.
"Selepas ini, kami akan mengadakan pertemuan antara mereka dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan diikuti pertemuan dengan naib-naib presiden Umno," kata Tengku Adnan.
----------------------------------------------------------------
MB T'ganu: 23 wakil BN pulau Ahmad - Malaysiakini
Mar 22, 08 6:09pm
kemaskini 11:05pm Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, dilantik menteri besar baru Terengganu bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh - mengesahkan spekulasi awal bahawa pengerusi BN itu tidak diperkenan pihak Istana.
Menurut kenyataan pejabat Sultan Terengganu, majlis angkat sumpah Ahmad dijadual diadakan di Istana Tamu, Kuala Terengganu pagi esok - tetapi ia kemungkinan besar menghadapi risiko dipulaukan.
Pengesahan Ahmad ini menamatkan suasana bingung dan tidak pasti akibat krisis pelantikan ketua kerajaan di negeri itu sejak dua minggu lalu selepas berakhir pilihanraya umum 8 Mac.Semua 23 Adun BN, termasuk Idris, dilaporkan berhasrat memulaukan majlis angkat sumpah itu kerana bantahan tidak melantik semula Idris.
Pemulauan majlis itu, jika menjadi kenyataan, bagaimanapun akan menimbulkan krisis parah dalam Umno dan pentadbiran negeri.
Ahmad dikatakan satu-satunya wakil rakyat BN yang tidak menandatangani sokongan kepada Idris sewaktu 22 Adun parti itu bertemu Perdana Menteri hujung minggu lalu.
BN mengekalkan 24 daripada 32 kerusi DUN Terengganu pada 8 Mac lalu.
Nama Ahmad, yang juga ketua bahagian Umno Kemaman dan seorang exco paling berpengalaman, muncul selepas khabar bertiup kencang Idris mungkin ditamatkan perkhidmatannya akibat tidak mendapat perkenan pihak istana.
Selain Ahmad, Adun Ajil Datuk Rosol Wahid dan Adun Chukai, Datuk Mohd Awang Tera - kedua-duanya exco pada penggal lalu - sering disebut-sebut pengganti Idris.
Desas-desus tentang Idris, yang memegang jawatan itu pada 2004 susulan kejayaan BN merampas Terengganu daripada PAS, akan digantikan mulai berkembang selepas istiadat melafaz surat pengisytiharan pelantikannya di Istana Maziah pada 10 Mac ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan kemudian. Pada penggal lalu, Ahmad memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Terkini: Setiausaha perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid, berkata semua 23 Adun BN akan memulaukan majlis angkat sumpah esok.
"Kami sebulat suara tidak akan menghadiri majlis tersebut (angkat sumpah) jika Datuk Seri Idris tidak dilantik sebagai Menteri Besar," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasmi menteri besar Seri Iman sebelum pejabat Sultan Terengganu mengumumkan pelantikan wakil Kijal, Datuk Ahmad Said.
Beberapa wakil BN bercadang meletakkan jawatan jika Datuk Seri Idris Jusoh tidak disambung semula perkhidmatannya sebagai menteri besar, lapor Bernama lagi.Mereka juga akan mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Rosol, juga wakil rakyat Ajil.
------------------------------------------------------------
Alahai Mat Said, bakal MB Terengganu
Abdul Halim Mohd Rashid Sat Mar 22, 08 10:40:54 pm MYT
Abdul Halim Mohd Rashid Sat Mar 22, 08 10:40:54 pm MYT
Dari segi undang-undang negara, tidak baik kalau dibuat apa-apa spekulasi mengenai istana. Tetapi saya yakin tindakan Sultan Terengganu memperkenankan perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar (MB) negeri itu adalah tindakan yang sangat bijaksana. Ini bukan sinis atau sarcasm.
Kebaikan pertama yang dilihat ialah laporan Malaysiakini bertajuk "MB T'ganu: 23 wakil BN pulau Ahmad". Tidak kiralah sama ada apa yang mereka hendak buat itu jadi atau tidak jadi.
Sebaik sahaja diumumkan bahawa orang itu telah diperkenankan menjadi MB, Tranugkite melaporkan, Adun-Adun yang memboikot Mat Said telah menyerahkan kepada BPR untuk menyiasat salah laku beliau semasa membuat projek di Kijal. Bukan satu tetapi dua kes yang akan disiasat oleh BPR terhadap Mat Said. Tranungkite juga menyiarkan memo kepada Mat Said.
Hebat rupa-rupanya Mat Said ni. Amdang81 (amdang81.blogspot.com) telahpun menyiarkan posting bertajuk "MB Baru Terengganu Pencabul dan Perogol?"
Kalaupun Adun-Adun Umno Terengganu berjaya menghalang Mat Said dari menjadi MB, sekurang tindakan Istana Terengganu memasyhurkan namanya itu berjaya mendedahkan siapa Mat Said dan Umno.
0 Pandangan
Post a Comment