Layakkah Aku Terus Menjadi Perdana Menteri? - Pak Lah

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/28/2008 07:53:00 AM | 0 Pandangan »

Pada malam Khamis baru-baru ini saya telah meluangkan masa untuk bersama teman-teman untuk mengeluarkan peluh di sebuah pusat permainan Badminton di Kluang. Malam tersebut kesemua gelanggang penuh dan saya rasa gembira apabila masih ramai yang menyapa dan mengangkat tangan apabila saya berada di sana.

Hanya beberapa ketika sahaja saya dapat berada dalam gelanggang kerana banyak masa diluangkan untuk berbual dan berbincang dengan mereka yang inginkan maklumat terkini perkembangan terbaru politik negara.

Seorang perempuan Cina adalah merupakan salah seorang yang telah sempat saya temui dan pelbagai isu yang kami telah bincangkan. Beliau mengulas tentang bagaimana YAB Lim Guan Eng memerintah Pulau Pinang ketika ini, kerajaan barisan rakyat di Perak, Menteri Besar Perak yang 'luar biasa', harga minyak tidak naik dan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor.

Cuma, dalam ruangan tulisan pada hari ini saya cuma ingin menulis tentang betapa dia cukup melahirkan simpati terhadap Pak Lah yang semakin tidak dihormati oleh rakyat tetapi juga di kalangan pimpinan UMNO/BN sendiri.

"Saya kesian tengok Pak Lah sekarang, semua orang macam sudah tidak hormat dia. Awak tengoklah, bila dia suruh Hishamudin (Ketua Pemuda UMNO) ambil tindakan pada Mukhriz, Hishamudin pulak suruh Pak Lah buat sendiri" katanya.

"Bila nak lantik MB pun susah, dulu orang tak kisah Pak Lah nak lantik siapapun, semua sokong tapi sekarang Sultan pun tak sokong, lantik orang lain jadi MB. Pak Lah pun dah kurang cakap macam dulu" tambahnya lagi.

Walaupun dia adalah merupakan pengundi PAS & DAP di Kluang tetapi dia tetap mahu melahirkan rasa simpati terhadap Pak Lah yang semakin hilang taringnya terhadap UMNO/BN. Ketika inipun Pak Lah teruk diserang daripada pelbagai sudut dan paling ketara pemimpin UMNO sendiri dah mula hilang hormat padanya.

Mana tidaknya, lihatlah sendiri senario politik sekarang ini. Media arus perdana semacam sudah tidak mahu lagi memuji dan memuja Pak Lah seperti sebelum menghadapi pilihanraya umum yang lalu.

Paling ketara, cuba kita imbau kembali bagaimana slogan “Selamat, Aman dan Makmur (SAM)” tidak lagi meniti dari bibir ke bibir pemimpin UMNO/BN termasuklah Pak Lah sendiri. Sangat berbeza dengan slogan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang (CGT)”.

Slogan CGT cukup popular sehingga kanak-kanak di peringkat pra-sekolah pun tahu untuk menyebut dan menyanyikannya. Agensi kerajaan dan swasta berebut-rebut untuk menaikkan slogan ini sebagai tanda sokongan kepada Pak Lah yang kononnya telah berjaya membawa kecemerlangan luar biasa kepada UMNO/BN dalam sejarah politik negara. Sokongan terhadap Pak Lah ini telah menyebabkan populariti Tun Dr Mahathir semakin hilang walaupun sebelum itu TDM digelar Adi Jagat Dunia, Tokoh Islam dan pelbagai gelaran yang mampu menyebabkan TDM terawang-awang diapung oleh pujian terlampau.

Slogan CGT terus digunakan dalam pentadbiran Pak Lah sehinggalah slogan BN untuk berhadapan dengan pilihanraya umum ke 12 dilancarkan. Maka penuh sesaklah dalam media elektronik dan media cetak arus perdana mempromosikan slogan SAM ini kerana ia diyakini dapat menarik perhatian pengundi untuk terus memberikan kepercayaan kepada BN memandangkan slogan ini juga dilancarkan oleh Pak Lah.

Namun, realitinya ia tidak berlaku sebaliknya menyebabkan Pak Lah yang sesak nafas. Cuba anda selak jendela atau pandang keluar, adakah anda akan dapat melihat slogan SAM di mana-mana? Ataupun anda buka televisyen ataupun radio pastinya anda tidak akan mendengar slogan SAM diulang-ulang sebutannya oleh para DJ dan pembaca berita.

Bermakna, slogan SAM sememangnya tidak realistik dengan keadaan semasa (rujuk risalah KEMPEN 5, slogan SAM telah dijawab dengan tepat sekali!). Bukan sahaja slogan SAM tidak kedengaran malah slogan CGT pun telah mula sayup-sayup kedengaran yang pastiya akan hilang tidak lama lagi.

Berita yang dipaparkan dalam media cetak juga tidak banyak menyebelahi Pak Lah. Berita tentang MT UMNO bersetuju menerima Datuk Ahmad Said sebagai
MB Trengganu, pemilihan UMNO diteruskan, lebih 10 Ketua Bahagian UMNO bertemu dengan Ku Li dan pelbagai berita lagi dilihat sebagai gambaran bertapa Pak Lah semakin terpinggir daripada arus perdana politik UMNO/BN.

Percayalah, sekiranya Pak Lah mengumumkan bahawa dia akan meletakkan jawatan pada pagi ini dengan linangan air mata sekalipunpun seperti yang pernah dpersembahkan oleh TDM pada suatu masa dahulu tidak akan menyebabkan pimpinan UMNO memujuk Pak Lah untuk menarik balik hasratnya. Silap perkiraan mereka telahpun bersedia untuk mengambil-alih tampok pemerintahan UMNO/BN yang sudah berada dipenghujung usia ini.

Pak Lah perlu bertanya pada diri sendiri, adakah aku layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, layakkah?

Walaupun Pak Lah kata dia
tidak akan lari untuk menghadapi pemilihan UMNO pada bulan Disember yang akan datang tetapi adalah lebih baik dia berkira-kira daripada awal. Jangan lupa, TDM telah berudur daripada UMNO dengan secara terhormat tanpa perlu dijatuhkan.

Amacam Pak Lah, ada harapan?


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Lebuhraya Utara Selatan
28 Mac 2008, 8.47 pagi

0 Pandangan