Krisis Di Trengganu Berlarutan

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/24/2008 02:04:00 AM | 0 Pandangan »

Nampaknya, krisis perlantikan Menteri Besar Trengganu masih terus berlaku pertikaian yang berpanjangan. Malam tadi, ketika menyampaikan ceramah di kawasan Parit Sulong, saya memberikan beberapa maklumat tentang perkara terkini yang berlaku di Trengganu kerana isu ini memang sedang meniti dibibir rakyat.

Bersama ini saya lampirkan kronologi krisis perlantikan MB Trengganu yang di petik daripada Malaysiakini.com


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil


----------------------------------------------
Kronologi krisis MB Terengganu
Mar 23, 08 11:03pm

Bermula dengan penangguhan majlis angkat sumpah dua hari selepas pilihanraya umum 8 Mac, krisis pelantikan menteri besar Terengganu terus berlarutan hingga saat ini.Rentetan peristiwa krisis menteri besar Terengganu


10 Mac - majlis angkat sumpah menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh di Istana Maziah, Kuala Terengganu ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan.


11 Mac - Idris, wakil Jertih dan juga pengerusi BN negeri, kelihatan sugul dan tegang apabila media bertanya persoalan beliau tidak mendapat perkenan istana sebagai menteri besar bagi penggal kedua.


12 Mac - nama Datuk Ahmad Said, wakil rakyat Ajil, antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Idris. Setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid, wakil Ajil, dan Datuk Mohamad Awang Tera, wakil Chukai, turut dinamakan.Mohamad menafikannya kepada Malaysiakini dan menyebut beliau dan wakil-wakil BN akan berdiri di belakang Idris.


14 Mac - Idris mengesahkan tidak hadir dalam pertemuan semua 24 wakil BN dengan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang dijadual diadakan di sebuah hotel di Putrajaya.


15 Mac - pertemuan wakil-wakil BN dengan MPPR dibatalkan dua jam sebelum dijadual berlangsung 11 pagi.


Seramai 20 wakil BN bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pelantikan menteri besar Terengganu, selain menyatakan sokongan mereka kepada Idris.Istana Terengganu dilaporkan menafikan pembabitannya dengan isu pelantikan jawatan itu.


18 Mac - Idris menyeru penduduk Terengganu bertenang sewaktu negeri itu ketiadaan menteri besar dan berkata beliau masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai upacara mengangkat sumpah jawatan tersebut dari pihak istana.


19 Mac - Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam pemilihan calon menteri besar. Menurut perlembagaan, kata beliau, Baginda dilarang menjalankan fungsi sebagai Sultan Terengganu kecuali fungsi sebagai ketua agama Islam.


Tan Sri Abdul Gani Patail menambah, dengan itu Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon baginda sendiri bagi jawatan tersebut dan menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan sepenuhnya pada MPPR.


20 Mac - Polis menahan empat lelaki berusia 23 hingga 27 tahun kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang kira-kira 1.45 pagi mengenai pelantikan menteri besar di Jalan Sultan Mahmud, sebatang jalan utama di Kuala Terengganu.


21 Mac - Empat lelaki tersebut, yang disiasat antaranya menurut Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dibebaskan. Polis memberi amaran kepada penyebar SMS, yang dilaporkan semakin meluas sejak beberapa hari lepas, tentang isu pelantikan menteri besar.


22 Mac - Pejabat Sultan Terengganu melantik Ahmad sebagai menteri besar dan majlis angkat sumpah diumumkan pagi esoknya. Seramai 22 wakil BN, yang diketuai Rosol, mengumumkan untuk memulaukan majlis tersebut.


Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu (yang tidak dinamakan) kini sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek di Kijal.Setiausaha agung Umno Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada Ahmad agar tidak menerima pelantikan tersebut atau sedia menerima tindakan disiplin.


23 Mac - Majlis angkat sumpah ditangguhkan dan Ahmad hanya menerima watikah pelantikan daripada MPPR. Rosol, bagi pihak kumpulan wakil rakyat BN yang memboikot majlis tersebut, menyerahkan memorandum sokongan untuk Idris dipilih sebagai menteri besar kepada MPPR. Rosol juga menyatakan Umno negeri telah melucutkan keahlian Ahmad. Idris bertolak ke Kuala Lumpur untuk bertemu Perdana Menteri selepas sidang akhbar di kediaman rasminya.Perdana Menteri menyifatkan pelantikan Ahmad tidak mengikut Perlembagaan kerana Ahmad tidak mendapat sokongan majoriti wakil BN.



24 Mac, 2008 01:13 AM
23 ADUN Terengganu Tidak Tolak Kemungkinan Lepas Jawatan Jika Ahmad Said Jadi MB

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kesemua 23 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan jawatan masing-masing sekiranya ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said tetap memegang jawatan Menteri Besar negeri itu.


Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Rosol Wahid dalam satu sidang akhbar di ibu negara Ahad malam, berkata tidak mustahil perkara seumpama itu berlaku memandangkan pelantikan tersebut tidak mendapat sokongan kesemua ADUN berkenaan.


Katanya kesemua mereka telah berikrar untuk berdiri teguh di belakang bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bagi memberikan sokongan padu terhadap beliau.


"Kami menyatakan sokongan penuh semua wakil rakyat kecuali Kijal (Ahmad Said) atas keputusan presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu. Maksudnya tidak ada calon lain yang dicadangkan untuk jawatan tersebut," katanya.


Menurut beliau, tidak ada sebab untuk Idris tidak dipilih berdasarkan kepada reputasi dan pencapaian cemerlang beliau dalam mentadbir negeri berkenaan sejak empat tahun lepas.


"Apa yang berlaku pagi tadi di Istana Tetamu sebenarnya tidak mendapat persetujuan kami semua dan ini berbeza dengan apa yang berlaku di Perlis. Ertinya ADUN Kijal berseorangan dalam perkara ini," katanya.


Terdahulu, Ahmad menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.


Mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang bahawa semua Ketua Umno bahagian di Terengganu menyokong pelantikan Ahmad, Rosol berkata ada di antara ketua bahagian yang dinamakan itu menafikan perkara tersebut.


"Saya ada berjumpa dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tadi, ada dua tiga ketua bahagian menafikan apa yang dikatakan oleh Tengku Putera itu.


"Yang bersama-sama kita ialah Ketua Umno Kuala Terengganu Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh, Ketua Umno Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ketua Umno Setiu Datuk Mohd Jidin Shafiee," katanya.


Ditanya sama ada tindakan mereka boleh dianggap sebagai mencabar institusi beraja negeri, Rosol menegaskan bahawa perkara itu tidak perlu ditimbulkan kerana mereka hanya patuh kepada perlembagaan parti, perlembagaan persekutuan dan menuruti kehendak presiden parti, selain selari dengan undang-undang tubuh negeri.


Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan diadakan Khamis ini bagi membincangkan dengan terperinci perkara berkenaan selain memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil ke atas Ahmad.


"Sehingga tempoh tersebut, kita akan berusaha mengadakan beberapa rundingan bagi mencapai kata sepakat. Kita tidak mahu parti berpecah belah dan masih berusaha untuk mencapai kesepakatan dan kestabilan," katanya. -- BERNAMA

0 Pandangan