Sebelum menutup laptop tadi, saya terjumpa tulisan ini di dalam MSTAR Online bertajuk "Farah: Bertudung adalah ketentuanNya".
Saya ambil masa untuk membaca tulisan ini yang menceritakan bagaimana Farah Diana Anuar mula memakai tudung walaupun pada peringkat awalnya dia memakai tudung untuk mengendalikan program yang berbentuk agama sahaja.
Pertamanya, saya memang tidak tahu apa-apa langsung tentang Farah Diana ini. Walaupun saya memang mengikuti perkembangan muzik khususnya muzik tanahair tetapi artis produk daripada AF, OIAM ataupun MI memang sangat kurang saya tahu mungkin kerana saya tersangat kurang berminat dengan program realiti seperti ini.
Lagilah artis yang bernama Farah Diana, memang saya tidak tahu langsung. Namun, apa yang saya sangat tertarik adalah perubahan penampilan Diana ketika ini. Bukan mudah sebenarnya dalam arus glamour hiburan seseorang artis nak berubah seperti Farah Diana.
Mengikut tulisan ini, Farah Diana masih ada rasa keraguan untuk memakai tudung walaupun ramai yang mencadangkan beliau terus memakai tudung selama-lamanya. Alasannya, memakai tudung adalah ketentuan daripadaNya.
Cik Farah Diana, sememangnya memakai tudung/menutup aurat adalah merupakan satu kewajipan yang perlu kita tunaikan. Kalau Cik Farah bersedia memakai tudung untuk menghormati orang muslim di Xian, China kenapa tidak lakukan di Malaysia?
Sebelum ini, Datuk Siti Norhaliza selalu sebut untuk bertudung selepas berkahwin dan selepas pulang menunaikan haji. Walaupun beliau telah tampil dengan imej bertudung tetapi saya rasa ianya masih 'belum cukup sempurna' untuk dikatakan bertudung.
Mungkin saya boleh cadangkan agar artis wanita bertudung ini dapat menubuhkan kelab mereka sendiri. Bukannya nak mengasingkan diri dengan artis wanita yang lain tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikan sokongan terhadap artis-artis yang baru mencuba mengubah penampilan macam Cik Farah Diana. Bolehlah ahli kelab yang lain seperti Wardina, Waheeda, Kak Norkumalasari dan yang lain-lain berorganisasi sambil membantu artis-artis yang lain yang baru mencuba penampilan baru dengan bertudung.
.Semoga Farah Diana akan terus istiqamah dengan tudungnya, amieen...
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
1 April 2008, 2.17 pagi
---------------------------------------------
Farah: Bertudung adalah ketentuanNya
Farah: Bertudung adalah ketentuanNya
31-03-2008 02:37:00 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
SELEPAS mengacara program berbentuk game show "Fulus Mania", Farah Diana Anuar diberi peluang untuk mengacarakan program baru 13 episod di saluran 106 Astro Oasis iaitu "Rasa Halal Orient" yang bakal menemui penonton bermula 18 April ini.
Peluang mengacarakan program berbentuk Travelog Islamik terbitan E-Style Sdn. Bhd. tersebut memberikan banyak kenangan manis kepada penyanyi yang mendapat gelaran Farah 'Breep-breep' ini.
Farah kelihatan lebih ayu dan cantik apabila mengenakan tudung.
Katanya, banyak perkara yang ditimba oleh Farah sewaktu beliau menjalankan pengambaran selama 15 hari di Xian, China bermula 26 Januari lalu bersama lima orang kru Rasa Halal Orient termasuk adiknya, Wawa.
"Apabila mula-mula sampai di sana, Farah dah rasa lain. Sebelum ini Farah pernah ke Shanghai tetapi suasana di Xian agak berbeza dengan suhu cuacanya mencecah -10 darjah selsius. Memang sangat sejuk.
"Bayangkan, kami keluar pagi kemudian balik lewat dalam jam 10 malam. Dalam sehari, kami buat pengambaran untuk tiga hingga empat episod. Sebab terlalu sibuk, kadangkala Farah sampai lupa nak makan.
"Semasa melakukan pengambaran, Farah juga tak sangka bahawa ramai juga orang Islam yang tinggal di sana apabila melihat terdapat kawasan Cina Muslim.
"Kebetulan semasa kami sampai, mereka melakukan majlis sempena memperingati Rasulullah S.A.W. Farah sempat mendengar dan melihat cara mereka memberi ceramah dalam bahasa Cina, berdoa dan azan.
"Apa yang Farah perhatikan, lagu azan dan cara doa mereka sama dengan kita cuma bunyi slanganya yang berlainan sedikit.
"Mereka juga menghidangkan bubur lambuk seperti yang dilakukan oleh masyarakat di Malaysia. Jadi, Farah rasa yang mereka ini dekat dengan kita," ujar penyanyi berusia 23 tahun ini.
Pada mulanya, Farah ragu-ragu untuk mencuba makanan di sana namun tanggapan salah itu mula terhakis setelah melihat keadaan masyarakatnya yang majoriti beragama Islam.
"Farah mula yakin dan teruja untuk mencuba makanan di sana hingga bekalan serunding, mi segera dan roti yang dibawa langsung tidak dijamah.
"Farah makan nasi bersama lauk-pauk yang dijual di Muslim Street. Lauknya kalau manis, betul-betul rasa manis dan kalau masin pula ia akan betul-betul rasa masin.
"Farah jenis tak kisah, Farah makan apa sahaja yang boleh makan. Namun Farah bukanlah penggemar makanan Cina," beritahu Farah yang bakal ke Jepun pula untuk pengambaran Rasa Halal Orient musim kedua pada Mei depan.
Pada musim kedua nanti, Farah akan digandingkan dengan seorang pengacara dari Indonesia kerana program ini turut disiarkan di saluran Astro Oasis di sana bermula 18 April ini juga.
Bercerita tentang kenangan terindah yang tersemat dalam ingatan penyanyi lagu Antara Dua ini, "Pada hari pertama kami sampai di sana, kami dapat melihat dan merasakan salji yang turun. Menurut penduduk di Xian, mereka hanya merasa salji pada hari tersebut selepas salji turun kira-kira 50 tahun lalu. Jadi, Farah rasa itulah saat-saat manis sebab Farah rasa sangat bersyukur dan bertuah."
Menyentuh tentang konsep program yang dikendalikan oleh Farah, beliau berkata program tersebut bukan sahaja menceritakan tentang makanan halal yang terdapat di Xian, China malah turut memaparkan tentang kewujudan masjid-masjid yang besar seperti Great Mosque.
"Farah mempelajari 40 resepi yang terdapat di sana. Antaranya adalah Terong Goreng Masak Cili, Kebab Kambing, Sup Teratai, Tauhu Pedas, dan Mi Bebola Daging.
"Uniknya, Kebab Daging di sana dicocok dengan lidi-lidi bersaiz kecil di mana kebab tersebut dimasak menggunakan serbuk cili dan lada hitam.
"Farah ada juga belajar memasak dari mereka sambil menolong mereka memasak. Itupun bergantung kepada ruang dapur rumah penduduk di sana.
"Rasa Halal Orient turut menjelajah ke Great Mosque dan dua buah masjid di Xian.
"Di dalam program ini, kami turut menggunakan khidmat seorang penterjemah dari Xian iaitu Stella. Jadi beliau akan membantu Farah menyelesaikan masalah komunikasi di sana," ujar pemenang ke empat Akademi Fantasia 2 ini.
Farah belajar 40 resepi masakan di Xian, China
Tambah Farah, beliau mencuba untuk tidak terlalu mengikut intipati yang terkandung di dalam skrip bagi memastikan program tersebut berjalan dengan lancar.
"Skrip memang diberikan dari awal tetapi saya tetap perlu bertindak spontan dan bercakap apa yang terlintas di kepala. Farah kena cepat berfikir apabila berinteraksi dengan masyarakat di sana.
"Namun, saya terlebih dahulu membuat rujukan di internet sebelum bertolak ke sana lagi. Jadi tugasan saya lebih mudah apabila membuat kajian tentang kawasan Xian, ramai atau tidak masyarakatnya, makanan, masjid, dan budaya. Apabila sampai, apa yang dibaca adalah sama dengan apa yang ada di sana," ulas Farah yang tidak kekok memakai tudung sepanjang mengendalikan program tersebut.
Bertudung adalah ketentuanNya
Sukar untuk penyanyi berasal dari Putrajaya ini menduga bilakah beliau akan betul-betul menyarungkan tudung di kepala.
Ramai yang memuji Farah kelihatan menarik dan cantik sekali apabila mengenakan tudung.
"Alhamdulillah, saya mendapat respon yang baik dan ada juga yang mencadangkan saya memakai tudung untuk selama-lamanya. Tetapi bila fikir balik, susah juga kerana semua ini adalah ketentuan dari Allah S.W.T.
"Farah tiada masalah untuk bertudung dalam program ini kerana Farah sudah biasa memakainya ketika pulang ke kampung dan menghadiri majlis-majlis tertentu.
"Farah tertarik untuk menjadi pengacara program ini juga disebabkan ia mendekatkan diri saya dengan agama Islam, meneroka dengan makanan halal, tempat-tempat dan berjumpa dengan masyarakat muslim di Xian.
"Jadi Farah perlu bertudung sebagai menghormati masyarakat muslim di sana," terang Farah.
Album kedua April ini
Album kedua Farah berjudul "9 Langkah" dijangka keluar bermula bulan ini.
Melihat kepada tajuk album tersebut, Farah berkata, "Tajuk album tersebut mengambil nama sempena salah satu lagu yang dihasilkan oleh Razman dan liriknya oleh Arwah Loloq bertajuk "9 Langkah".
"Lagu tersebut berkisarkan tentang satu cerita yang unik mengenai kehidupan kita dan cinta yang universal. Lagu itu juga mempunyai sedikit kaitan dengan diri saya sendiri."
Menurut Farah, 10 buah lagu yang dimuatkan dalam album tersebut menampilkan komposer hebat seperti Ajai, Aidit Alfian, Alim (The Times) dan Razman.
Antara lagu yang digemari olehnya adalah "Tak Pernah Ada" ciptaan Alim, "Fantasia" oleh Aidit dan "Kau Bernama Cinta" ciptaan Ajai.
"Album ini menggunakan konsep yang sama dengan album pertama iaitu pop rock tetapi kelainan yang ditonjolkan adalah dari segi vokal saya yang kurang menyanyikan lagu bernada tinggi," mesra Farah berbicara tentang album keduanya.
Lepas bertudung, sokong pas pula ya cik farah :)