Agenda Di Sebalik Perletakan Jawatan Ketua Kampung di Perak

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/27/2008 12:22:00 AM | 2 Pandangan »

Menjadi lumrah kerajaan yang baru dibentuk oleh PAS atau mana-mana parti selain UMNO/BN akan melalui proses cabaran yang pelbagai wajah. Terbaru, Kerajaan Negeri Perak diuji dengan perletakkan jawatan beramai-ramai Ketua Kampung di seluruh negeri Perak.

Saya merujuk kepada berita terkini yang disiarkan dalam
Malaysiakini dan UtusanOnline. Bermula dengan arahan pemboikotan pertemuan YAB Menteri Besar Perak dengan Ketua-Ketua Kampung ini sehinggalah perletakkan jawatan Ketua-Ketua Kampung, gambaran buruk cuba dipalitkan kepada kerajaan yang baru ini supaya dibenci oleh rakyat. Kenapa perletakkan jawatan Ketua Kampung ini perlu dibuat sedangkan tiada apa-apa tekanan diberikan ke atas mereka?

Ketua-Ketua kampung biasanya dilantik daripada kalangan pimpinan UMNO diperingkat cawangan sama ada Ketua UMNO cawangan ataupun sesiapa sahaja yang dilihat mampu menjalankan amanah sebagai Ketua Kampung dan secara tidak langsung melaksanakan tugas UMNO diperingkat Kampung/cawangan.

Anda boleh melayari sendiri laman web Persatuan Ketua Kampung Negeri Johor (
http://pkknj.com/v1/index.html) yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Johor pada 10 Ogos 2007. Walaupun telah 7 bulan dilancarkan, hits laman web ini baru mencecah 37 kali sehingga saya layari sebentar tadi, mungkin Ketua Kampung yang ada pun tidak pernah sampai ke laman web ini. Saya galakkan anda melayarinya kerana di sana anda akan melihat wajah ketua-ketua kampung di seluruh negeri Johor yang ‘segak dan kacak.’

Laman web ini hanya mempunyai dua pautan sahaja iaitu laman web rasmi UMNO Malaysia
http://www.umno-online.com/ dan laman web rasmi kerajaan negeri Johor http://www.johordt.gov.my/. Mudah bicara, Ketua Kampung dan UMNO tidak dapat dipisahkan.

Maka berlakulah perlantikan Ketua Kampung di atas sifat wakil parti politik dan sudah pastinya akan timbul perasaan bertindak berat sebelah dalam menjalankan tugas sebagai seorang ketua kampung.

Pernah terjadi di Kluang ketika kempen pilihanraya di Kampung Tengah dalam DUN Mahkota, ceramah PAS telah diganggu oleh Ketua Kampung sehingga pihak keselamatan terpaksa campur tangan sedangkan ketika UMNO menggunakan sebuah dewan orang ramai di kampung yang sama untuk taklimat PACA, Ketua Kampung tersebut memberikan laluan yang seluas-luasnya kepada UMNO.

Berbalik kepada isu perletakkan jawatan 876 Ketua Kampung di seluruh Perak atas alasan tidak sehaluan dengan kerajaan campuran pimpinan PAS, DAP dan PKR, Presiden Persatuan Ketua Kampung Negeri Perak (setakat ini tidak dijumpai laman web PKKNP dalam internet!) Zukiman Jalil berkata
semua Ketua Kampung tersebut akan meletakkan jawatan pada 1 Apri 2008 dan berkuatkuasa pada 1 Mei 2008.

Kerajaan Negeri Perak pimpinan YAB Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dalam pertemuan dengan lebih kurang 300 orang ketua kampung semalam telah menjelaskan bahawa kesemua Ketua Kampung masih boleh meneruskan tugas mereka sehinggalah tempohnya akan tamat pada 31 Disember 2008. Selepas itu pemilihan Ketua Kampung akan dilakukan melalui sistem pengundian oleh penduduk kampung yang terlibat.

Gambaran yang saya berikan di Kluang tadi sebenarnya adalah contoh betapa Ketua Kampung yang dilantik oleh parti politik UMNO telah menimbulkan banyak masalah ketidakadilan. Penduduk yang tidak menyokong UMNO akan diberikan tekanan. Sebab itulah Zukiman memberikan alasan perletakkan jawatan beramai-ramai kerana ‘tidak sehaluan’ dengan kerajaan negeri yang baru.

Mungkin pada peringkat awalnya, UMNO berharap sangat agar kerajaan rakyat pimpinan baru di Perak ini akan memecat semua Ketua Kampung yang ada kerana ia sudah tentu akan menjadi senjata UMNO/BN bahawa YAB Ir Mohamad Nizar bertindak zalim namun ianya tidak terjadi. Maka, sesuatu perlu dilakukan agar kerajaan baru ini akan dicemuh oleh rakyat Perak.

Namun percayalah bahawa sekiranya kesemua Ketua Kampung ini meletakkan jawatan ia tidak akan merencatkan perjalanan kerajaan yang baru ini. Keputusan YAB Ir Mohamad Nizar menyerahkan kembali tugas melantik Ketua Kampung kepada penduduk kampung sendiri adalah keputusan yang tepat pada masanya. Mudah-mudahan Ketua Kampung yang dipilih sendiri oleh penduduk kampung akan lebih adil dalam melaksanakan tugasnya tanpa memilih bulu.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
27 Mac 2008, 1.56 pagi

2 Pandangan

  1. Teruna Pingitan // March 27, 2008 at 8:27 AM  

    saya setuju dengan pandangan saudara dan dasar yang dijalankan oleh kerajaan baru perak. soal perletakan jawatan kk itu adalah hak mereka. marilah berdoa agar tidak akan ada masalah yang timbul dalam menangani perkara ini.

    kk yang taksub selalunya hanya mengikut arahan (siapa?). bukan semua yang bersetuju dengan resolusi itu, saya pasti ramai yang jadi pak turut. inilah yang dinamakan sindrom takut yang telah dipupuk oleh kerajaan terdahulu.

    sepatutnya semua kk perlu bermuhasabah dalam menjalankan tugas selanjutnya. kita boleh tanya kepada mereka sama ada bertugas untuk dirikah atau untuk masyarakat. jika kita telah mendapat kepercayaan, teruskanlah tugas kita.

    masalah ini pasti hanya sementara dan jangka pendek. yang penting kita ada usaha kearah menyelesaikannya.

  2. HAMBA ALLAH // March 27, 2008 at 4:19 PM  

    Salam buat semua yg melewati page ni…

    Adakah kalian tahu perkara sebenar yg berlaku di pihak atasan? Kite sendiri tidak tahu dan mengapa dan kenapa itu terjadi.

    Mungkin juga lambat laun mereka akan dibuang dan akan timbul spekulasi lain selepas itu.

    Inilah jln dan masa yang sesuai sebelum mereka dihambat dan dilucutkan jwtn.

    Memang gaji ketua kampung dibayar oleh kerajaan negeri dan rata-rata Ketua Kampung in adalah dr Parti BN. Itu kenyataannya.Dan mereka bukan takut pada kerajan terdahulu.

    Dan tempoh perlantikan mereka sebelum ini memang sepatutnya berakhir pada 31 DIS 2008.

    Dan atas dasar pemikiran yang matang dan juga atas dasar semangat Parti yang ada dalam diri masing-masing mereka bertindak demikian.

    Secara jujurnya saya rasa mereka melakukan perbuatan yang bijak. Ini kerana mereka akan berbakti untuk kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional sahaja.

    Begitu juga jika kerajaan perak yg ada sekarang adalah BN dan Ketua Kampung yg dilantik adalah dari Parti BA saya yakin mereka juga akan melakukan perkara yg sama jika berlaku perubahan tampok kepimpinan.

    Fikirlah dan renungkanlah.

    Bukan semua ketua kampong yang dilantik itu tidak menjalankan tanggungjawab. Mungkin segelintir Ketua Kampong sahaja.

    “Pesanan kerajaan terpahat di jiwa,
    Pesanan Rasulullah sentiasa terpelihara,
    Jangan kerana mulut badan binasa,
    Dosa dapat kuranglah pahala”


    "Pastikan ape yang di janji di kota,
    Jangan sekadar melepaskan batuk ditangga
    Semua kemudahan dah tersedia
    Cuma tinggal nak tadbir sahaja"