Lanjutan Isu ADUN MIC Dibunuh!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/15/2008 06:47:00 PM | 0 Pandangan »

Pengerusi MIC Johor sedia beri keterangan - Malaysiakini
Jan 15, 08 6:23pm

Pengerusi MIC Johor Datuk KS Balakrishnan berkata beliau sedia membantu polis sekiranya diminta memberi keterangan berhubung pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor kawasan Tenggaroh Datuk S. Krishnasamy Jumaat lalu.

Balakrishnan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, berkata beliau belum dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan selepas seorang pembantunya berusia lingkungan 60-an ditahan semalam sebelum dibebaskan kemudian.

"Kalau dipanggil saya memang sedia," katanya kepada pemberita pada majlis penerangan mengenai isu berkaitan harga barang dan isu kepenggunaan semasa oleh oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal di Johor Bahru, hari ini.

Krishnasamy, 61, yang juga Timbalan Pengerusi MIC Johor, mati ditembak dalam lif di bangunan MIC di Jalan Segget.Menurut laporan Bernama, Balakrishnan berkata beliau belum sempat menemui pembantunya selepas dia dibebaskan.

Polis juga dilaporkan menahan seorang pekerja kepada mendiang Krishnasamy bagi membantu siasatan kes pembunuhan ahli politik berusia 62 tahun itu.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Krishnasamy ditemui mati dalam lif Bangunan MIC di Jalan Segget dengan kesan satu das tembakan di bawah kening kirinya.

Tembakan itu menembusi belakang kepalanya.Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang melawat lokasi pembunuhan tersebut kelmarin memaklumkan, setakat ini pihak polis hanya mengenal pasti seorang suspek lelaki terlibat dalam kejadian itu.

Lelaki itu dilihat melarikan diri menggunakan motosikal Yamaha RXZ berwarna merah menghala ke Jalan Wong Ah Fook sejurus Krishnasamy ditembak pada jam 2.10 petang.
----------------------------------
Bunuh: Pembantu khas pengerusi MIC Johor ditahan - MStar Online
15-01-2008 10:37:32 AM

JOHOR BAHARU: Dua lelaki, termasuk pembantu khas kepada Pengerusi MIC Negeri Johor Datuk K.S Balakrishnan, ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tenggaroh Datuk S.Krishnasamy di Bangunan MIC Negeri Jumaat lepas.

Balakrishnan, ketika dihubungi mengesahkan penahanan pembantu khas beliau pagi Isnin di Menara Ansar yang menempatkan pejabatnya.

"Beliau (pembantu khas) ditahan untuk membantu siasatan polis berhubung kejadian tersebut," katanya yang juga Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Pembantu khas Balakrishnan itu dipercayai berumur dalam lingkungan awal 60an.Sementara itu difahamkan seorang pekerja kepada mendiang Krishnasamy turut ditahan bagi membantu siasatan.

Krishnasamy mati ditembak di dalam sebuah lif dari jarak dekat di bawah kening kiri dan peluru menembusi bahagian belakang kepalanya. BERNAMA

0 Pandangan