KM Pemuda PAS Pusat

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/22/2008 08:46:00 PM | 0 Pandangan »

Kenyataan Media (22 Januari 2008)

NEGARA KEBAJIKAN PAS: ANUAR MUSA DAN IDRIS JUSOH TERTEKAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan ulasan negatif yang diberikan oleh dua pemimpin Umno, Datuk Seri Anuar Musa dan datuk Seri Idris Jusoh berkenaan manifesto PAS yang menjanjikan kebajikan yang lebih selesa untuk rakyat. DPP Pusat tidak hairan apabila kedua-dua Pengerusi Umno Kelantan dan Terengganu ini memandang sinis terhadap manifesto PAS kerana mereka sangat tertekan dengan cadangan PAS untuk membela kepentingan rakyat.

Anuar Musa walaupun diwar-warkan tidak bertanding di DUN dan Idris Jusoh pula akan di bawa ke Pusat, yang kedua-duanya melepaskan peluang mereka menjadi Menteri Besar, tetapi bimbang jika PAS menguasai Kelantan dan Terengganu pilihan raya akan datang. Pergolakan politik di Terengganu sudah diketahui umum sehingga Idris terpaksa menyatakan kesediaannya berpindah ke Pusat, manakala di Kelantan ketinggalan 1 kerusi belum memberikan kedudukan selesa kepada Umno. Kerana itu, apabila PAS mengemukakan sesuatu yang bermakna untuk rakyat, mereka menjadi amat tertekan.

Pemerintahan 17 PAS di Kelantan telah membuktikan bahawa PAS berupaya memerintah dan membela kebajikan rakyat. Dasar-dasar PAS bukan sahaja dinikmati oleh rakyat Kelantan, bahkan ditiru oleh Kerajaan BN. Yang terbaru, apabila PAS memperkenalkan Takaful Kifalah dan Takaful Armalah untuk membela warga emas dan ibu tunggal, Umno Kelantan cuba meniru sama. Isu yang ditimbulkan oleh Anuar Musa tentang bayaran tempat letak kereta adalah tidak relevan kerana di seluruh negara kerajaan tempatan mengenakan bayaran. Di Selangor, kebanyakan PBT mengenakan RM0.50 untuk sejam, manakala tempat letak kereta swasta mencecah hingga RM3.00 sejam. Apakah Anuar Musa cuba menafikan tentang bayaran yang dikenakan oleh PBT di negeri yang dikuasai oleh BN?

Di negeri-negeri lain selain Kelantan, penggunakan kenderaan bukan sahaja terpaksa membayar tempat letak kereta, tetapi terpaksa membayar tol yang tinggi dan juga petrol yang mahal kerana penindasan Kerajaan BN. Cukai-cukai yang dikenakan di Kelantan jauh lebih murah berbanding negeri yang diperintah oleh BN. Rakyat Kelantan telah melihat dan merasai bagaimana kebajikan mereka terjaga di Kelantan. Bahkan, kakitangan kerajaan negeri tidak dikenakan caj untuk pinjaman, di samping pengharaman riba dalam sistem kewangan melalui perbankan Islam dan ar-rahn. Bukankah bank-bank konvensional terpaksa mewujudkan sistem perbankan tanpa faedah apabila Kelantan tidak membenarkan mereka menyewa premis di negeri itu.

Di Terengganu, telah terbukti bahawa PAS telah menunaikan janjinya untuk menghapuskan tol, cukai pintu dan cukai bakul pada 1999. Dan PAS juga telah mewujudkan bantuan pendidikan kepada anak-anak Terengganu, selain menubuhkan pusat-pusat pengajian dan mengagihkan tanah kepada rakyat. Malangnya, usaha-usaha PAS untuk membela hak rakyat telah diselewengkan oleh Umno dengan mengarahkan Petronas menarik balik bayaran royalti yang berjumlah RM1 bilion ketika itu. Siapa yang merompak wang rakyat, PAS atau Umno? Di Kelantan, hal seperti ini diakui sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed bahawa Umno yang mendesak Kerajaan Pusat supaya menyekat bantuan kepada Kelantan.

Dalam keadaan yang disekat dan di halang oleh Kerajaan Pusat, Kelantan dan Terengganu yang terkenal miskin itu masih boleh menjaga kepentingan rakyat. Jika PAS menguasai Malaysia, sudah tentu kekayaan negara dapat dinikmati oleh rakyat dengan lebih meluas lagi. Tidak pelik bagi PAS/BA untuk menurunkan harga petrol, memberikan pendidikan dan kesihatan percuma serta menghapuskan ISA kerana wang negara tidak dibazirkan untuk kroni. Umno cepat-cepat melahirkan rasa bimbang negara akan bangkrap jika membail out rakyat, sedangkan mereka telah membazirkan begitu banyak wang rakyat untuk kroni-kroni mereka.

Anuar Musa tentu masih ingat bagaimana wang PPRT yang disediakan untuk rakyat termiskin telah hilang sebanyak RM40 juta. Jika wang rakyat termiskin pun boleh dicuri ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar, maka tidak mustahil wang orang kaya juga dicuri jika Umno memerintah Kelantan. Ini tidak termasuk wang yang diselewengkan di RISDA dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Di Terengganu, keadaan yang serupa juga berlaku apabila projek-projek kerajaan dikuasai oleh Jusoh Enterprise, sedangkan Kerajaan BN sendiri menghabiskan berpuluh juta wang rakyat untuk Monsoon Cup. Rakyat termiskin tidak terbela, masjid diruntuhkan, budaya hedonisme semakin menular. Apakah ini kebajikan yang disediakan oleh Umno?

DPP Pusat mengajak rakyat negara ini berfikir panjang apabila mendengar ‘dengusan’ bimbang pemimpin Umno di Kelantan dan Terengganu ini. Mereka tersepit antara sejarah penyelewengan yang Kerajaan BN lakukan dengan tawaran kebajikan yang dibuat oleh PAS. Mereka membangkitkan isu-isu kecil yang tidak relevan untuk menakutkan rakyat, sedangkan rakyat sudah cukup tertekan dan terseksa di bawah pentadbiran BN. Rakyat perlu berubah jika mahu kebajikan mereka terbela. PAS membuka peluang ini kepada rakyat. Jika rakyat tidak berubah, siri-siri kenaikan harga petrol, minyak masak, tepung, yuran sekolah, tambang bas, tol dan lain-lain akan terus berlaku.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

0 Pandangan