Perhimpunan di KLCC: Protes tidak pohon permit polis - malaysiakini
Muda Mohd Noor Jan 22, 08 2:34pm
Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes) tidak akan memohon permit polis untuk mengadakan perhimpunan aman bagi membantah sebarang kenaikan harga minyak di perkarangan KLCC di ibu negara Sabtu ini.
Bagaimanapun, Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli (kiri) berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perhimpunan tersebut.
"Protes dengan kerjasama unit amal Pemuda PAS, akan memastikan keadaan terkawal termasuk lalulintas," katanya yang juga bendahari PAS, dalam satu sidang akhbar hari ini.
Di samping itu, kata Dr Hatta, Protes juga akan memaklumkannya kepada Majlis Peguam dan Suruhan jaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya memantau perhimpunan aman itu.
Manakala penyelaras bersama Protes, S Arulselvam (kanan) yang hadir sama dalam sidang akhbar tersebut berkata, bantahan secara aman itu diadakan sebelum harga bahan minyak dinaikkan.
"Kalau harga sudah naik, tidak guna lagi perhimpunan tersebut diadakan," katanya.
Sementara itu, Dr Hatta berkata, isu kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan ekoran kenaikan minyak menjadi bahan perbincangan hangat di kalangan di seluruh rakyat.
Bendung kenaikan hargaKatanya, ini kerana ia menyebabkan kos sarahidup meningkat dan membebankan terutama golongan berpendapatan rendah.
Dr Hatta berkata, jika kerajaan tidak mengambil langkah membendung kenaikan harga minyak, rakyat akan menjadi lebih menderita."Tetapi sejak dua tahun lalu, kerajaan tidak menurunkan harga minyak sebaliknya menaikkannya beberapa kali.
"Kerajaan perlu memikirkan kesan inflasi yang akan berlaku selepas kenaikan harga minyak," katanya lagi.Dr Hatta berkata, kenaikan harga minyak bukan sahaja meningkatkan harga barangan makanan tetapi juga kos perkhidmatan.
"Protes memandang berat kenaikan harga minyak kerana ia memberi kesan yang besar kepada semua orang terutamanya yang berpendapat rendah," katanya.
0 Pandangan
Post a Comment