Bermulanya Siasatan Klip Video!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/14/2008 01:37:00 PM | 1 Pandangan »

Siasatan suruhanjaya diraja bermula - Malaysiakini
AFP Jan 14, 08 12:09pm

Suruhanjaya diraja memulalakan siasatannya terhadap skandal klip video Lingam dengan memanggil beberapa ahli politik dan bekas hakim untuk memberi keterangan berhubung dakwaan berlaku rasuah dalam badan kehakiman.

Klip video tersebut didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim September lalu, yang telah menggegarkan bidang perundangan dan kehakiman negara. Klip tersebut menunjukkan perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam, didakwa dengan bekas Ketua Hakim Negeri, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mengenai pelantikan hakim-hakim.

Antara mereka yang dijangka dipanggil memberi keterangan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar dan Ahmad Fairuz.

Suruhanjaya tersebut, yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor, akan menyiasat ketulenan klip tersebut dan sama ada wujud sebarang bukti salahlaku.Mereka akan memanggil 16 orang saksi sepanjang siasatan itu dijalankan selama dua minggu, mulai hari ini.

Ahad lalu, seorang ahli perniagaan, Loh Mui Fah berkata, klip tersebut dirakamkan olen anak lelakinya pada bulan Disember 2001."Saya tidak tahu yang anak lelaki saya telah merakamkan perbualan (Lingam)," katanya kepada Malaysiakini.

Anwar adalah bekas timbalan menteri sebelum beliau dipecat dari kerajaan dan Umno pada tahun 1998.

Beliau kemudiannya dihadapkan di mahkamah atas tuduhan liwat dan salahgunakan kuasa di mana beliau dihukum penjara selama enam tahun.

Sabitan dan hukuman bagi tuduhan liwat telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan, tetapi sabitannya bagi tuduhan salahaguna kuasa dikekal, sekaligus menghalang beliau daripada memegang sebarang jawatan awam, termasuk bertanding dalam pilihanraya, sehingga April 2008.

Satu kenyataan dari pejabat PKR berkata Anwar akan menghadiri prosiding suruhanjaya itu hari ini.

“Saya telah melantik peguam yang akan membangkitkan beberapa isu kritikal kepada suruhanjaya tersebut, termasuk persoalan mengenai keanggotaan suruhanjaya berkenaan," kata Anwar dalam kenyataan tersebut.

Beliau juga memuji keberanian Loh untuk tampil mengesahkan identitinya sebagai orang yang dilihat dalam klip video Lingam tersebut.

--------------------------------------

Permohonan minta Haidar dan dua anggota, tarik diri - Malaysiakini
Soon Li Tsin Jan 14, 08 1:11pm

Siasatan suruhanjaya diraja terhadap klip video Lingam bermula pagi ini dengan permohonan peguam yang mewakili pemimpin PKR yang meminta supaya tiga anggota suruhanjaya itu menarik diri.

Peguam M Puravelan, yang mewakili pemimpin PKR - yang Datuk Seri Anwar Ibrahim, R Sivarasa dan Sim Tze Tzin - memohon supaya pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dua anggotanya - Datuk Shim Lip Kiong dan Datuk Zaitun Zawiyah Puteh - menarik diri daripada menganggotai suruhanjaya tersebut.

Haidar merupakan bekas Hakim Besar Malaya manakala Steve Shim adalah bekas Hakim Besar Sabah dan Zaitun pula merupakan bekas peguamcara negara.

Puravelan berkata, keanggotaan mereka dalam suruhanjaya tersebut boleh menimbulkan percanggahan kepentingan kerana jawatan yang mereka sandang sekarang serta perilaku mereka sebelum ini.

Menurutnya, Hadir merupakan anggota lembaga amanah Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dijangka dipanggil sebagai saksi.Puravelan menambah, Haidar dan Shim juga pernah menganggotai panel hakim yang mendengar kes kontroversi yang membabitkan Lingam.

Nama Shim juga turut disebut dalam klip video Lingam tersebut.Zaitun pula terbabit dalam pendakwaan kes salahguna kuasa terhadap Anwar. Klip video itu juga menyebut tentang perbicaraan kes tersebut.

Selepas berbalas hujah serta penjelasan dari ketiga-tiga anggota terbabit, Puravelan berkata, beliau menyerahkan kepada suruhanjaya tersebut untuk membuat keputusan berhubung permohonannya itu.

Siasatan hari ini sepatutnya bermula dengan keterangan tiga pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan seorang kakitangan syarikat keselamatan siber.

Anggota lain suruhanjaya diraja itu ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim.

---------------------------------------------------------

Pita Lingam : Gelanggang Abdullah balas dendam pada Mahathir? - Harakahdaily
Wan Nordin Wan Yaacob Mon Jan 14, 08 9:10:27 am MYT

Pendedahan skandal kehakiman dalam 'Pita Lingam' oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 19 September 2007 boleh diumpamakan sebagai 'peluru' yang bila-bila masa akan dihunjam ke dada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pita tersebut antara lain dikatakan mengandungi perbualan antara seorang peguam kanan, VK Lingam dengan seorang bekas hakim kanan yang didakwa sebagai, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Antara yang dibincangkan dalam perbualan itu ialah soal percaturan kedudukan hakim pada tahun 2002 (tahun Mahathir masih memegang jawatan Perdana Menteri) yang dikatakan turut dipengaruhi oleh tauke-tauke judi antaranya, Vincent Tan dan Tengku Adnan Mansor (Menteri Pelancongan).
Rimaskan PM

Isu ini turut merimaskan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana terpaksa berkira-kira dalam menubuhkan Suruhanjaya DiRaja menyiasat pita tersebut.
Namun ia juga 'mungkin' merupakan 'buah tangan' yang dihulur Anwar kepada Abdullah untuk menutup mulut Mahathir yang beberapa kali turut mengkritik kelemahan pentadbiran Abdullah.
Begitupun di awal pendedahan pita tersebut, Anwar beberapa kali mengecam tindak-tanduk Abdullah yang gagal menyelesaikan tuntutan NGO dan pembangkang serta Majlis Peguam Malaysia supaya pita tersebut disiasat oleh Suruhanjaya DiRaja.
Abdullah hanya menubuhkan Panel Bebas yang tiada kuasa untuk memanggil saksi dan hanya ditubuhkan untuk menilai kesasihan pita tersebut, sedangkan isu yang dihadapkan terlalu besar membabitkan institusi kehakiman negara.

Panel khas tersebut dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor selaku pengerusi, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Mahadev Shankar.
Abdullah lemah

Abdullah dihentam sebagai Perdana Menteri yang lemah dan lembap apabila Panel tersebut dikatakan bukan menyiasat pihak yang terbabit dengan pita itu sebaliknya menggunakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai 'orang tengah' bagi mendapatkan maklumat.
Tindakan BPR menggunakan media untuk beberapa kali menyerang Anwar dengan isu penyerahan salinan pita membuatkan Anwar berang dan terpaksa menggunakan lapangan ceramah untuk meneruskan penerangan isu pita tersebut.
Pengakuan berdolak-dalih peguam yang terbabit dalam klip video, VK Lingam mengenai isi perbualan itu membuatkan adiknya, Tirunama Karasu turut mendedahkan identiti sebenar abangnya yang dikatakan menggunakan kedudukan sebagai peguam kanan dan kroni untuk menyuap orang tertentu dengan nilai suapan yang besar.

Pengakuan Tirunama dan siasatan oleh BPR ke atas adik VK Lingam itu menyebabkan usaha Panel Bebas menutup kes Lingam dengan hanya menggunakan alasan bahawa klip itu tidak sahih sia-sia.

Anwar yang ketika itu mengulas pengakuan Tirunama dan isu kegagalan Panel Bebas menyiasat secara berkesan, sekali lagi mendesak pentadbiran Abdullah segera menubuhkan Suruhanjaya DiRaja.
Terpaksa tubuh Suruhanjaya DiRaja?

Terpanggil dengan desakan rakyat dan mungkin baru menghidu bahawa kes Pita Lingam merupakan peluru yang boleh menikam bekas bossnya (Mahathir), Abdullah menubuhkan Suruhanjaya DiRaja yang dikepalai Haidar (yang juga pengerusi Panel Bebas).

Suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mahadev Shankar; bekas Peguam Cara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh; ahli sejarah, Prof. Ameritus Dato' Dr. Khoo Kay Kim dan Dato' Abdullah Sani Abdul Hamid, sebagai setiausaha suruhanjaya.

Begitupun keanggotaan Haidar dan Steve Shim dalam suruhanjaya turut mendapat kritikan daripada Anwar dan beberapa pemimpin pembangkang kerana adanya dakwaan keterlibatan Haidar dalam perjalanan kes Anwar pada tahun 1998.

Namun Anwar tetap memberi kepercayaan dan keyakinan agar Haidar serta anggotanya sedia menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh keadilan dan saksama kerana isu ini membabitkan soal kehakiman negara.

Mahathir terheret akhirnya

Selepas penubuhan suruhanjaya, beberapa nama diumumkan sebagai saksi dan antaranya ialah Tun Dr Mahathir yang dikatakan antara yang disebut dalam pita tersebut selain perbualan itu dirakam pada tahun 2002 iaitu tahun semasa Mahathir masih memegang kuasa.

Mahathir yang baru sahaja keluar masuk dari Institut Jantung Negara (IJN) berikutan komplikasi jantungnya mungkin terkejut dengan pendirian Abdullah untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja.

Ini kerana pengalaman sebelum ini dalam penubuhan suruhanjaya menyiasat beberapa kes termasuk isu mata lebam Anwar menyebabkan beberapa tokoh yang disiasat sah melakukan dengan dakwaan yang disabitkan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor sendiri dikenakan tindakan berikutan pendedahan dalam suruhanjaya yang menyiasat kes mata lebam Anwar.

Balas dendam?

Pada penulis, tindakan Abdullah menubuhkan Suruhanjaya DiRaja Pita Lingam ini, mungkin dianggap Mahathir sebagai 'peluru' yang pada bila-bila masa sahaja boleh dipandu Abdullah untuk dihunjam ke dada bekas Perdana Menteri itu.

Peluru ini mungkin tidak terduga oleh Abdullah dalam menilai beberapa isu yang boleh diputarkan di dada akhbar bagi menutup mulut Mahathir. Selama ini Mahathir mengheret Abdullah dengan menantu Perdana Menteri itu, Khairy Jamaluddin berikutan beberapa isu pentadbiran negara yang merimaskan Mahathir terutamanya dalam isu pembatalan 'jambatan bengkok' menghubungkan Malaysia-Singapura.

Namun peluru yang dihadirkan Anwar ini mungkin sekali boleh dijadikan senjata kepada Abdullah dalam melunaskan dendam ke atas Mahathir sekali gus membungkus bekas Perdana Menteri itu dalam lipatan buku sejarah negara sahaja sebagai bekas Perdana Menteri yang terbabit dengan isu kehakiman.

Dalam masa sama jika Suruhanjaya DiRaja ini mampu melaksanakan tugas dengan keadilan dan menemui penderhaka kepada institusi kehakiman sebenar, Anwar mungkin mendapat 'durian runtuh' yang boleh melunaskan kesumatnya kepada Mahathir berikutan pemecatan pada tahun 1998.

Begitupun penulis masih berpegang kepada kata-kata Anwar bahawa kes Pita Lingam didedahkan adalah untuk membersihkan perjalanan institusi kehakiman di negara ini yang baginya amat buruk kerana adanya campur tangan luar biasa ke atas badan tersebut.

Terkini, pengakuan Loh Mui Fah di atas keputusannya untuk tampil ke hadapan dan mengesahkan identitinya sebagai individu kedua di dalam video VK Lingam turut memberi keyakinan kepada Anwar dalam menjalankan perang ke atas Mahathir dan Umno yang sebelum ini menganiayanya.

Dikesempatan itu juga mungkin Abdullah akan mendapat tempias 'serampang dua mata' dalam mengkapankan kritikan Mahathir. Sama-sama kita nantikan kesudahannya. Mungkin juga kini Abdullah sedang berkira-kira dengan menantu kesayangannya (Khairy) bilakah masanya yang paling sesuai untuk berbuat demikian.

Ketua Pengarah Bahagian Perundangan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menjadi setiausaha suruhanjaya tersebut.

1 Pandangan

  1. faizalzainol // January 14, 2008 at 4:46 PM  

    salam perjuangan.