Mesti Baca! - Siapa main sentimen perkauman

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 12/22/2007 08:41:00 PM | 0 Pandangan »

Pemuda Gerakan tuduh Umno api-apikan sentimen perkauman - Malaysiaikini
Dec 21, 07 6:18pm
Pemuda Gerakan hari ini menuduhkan pemimpin Umno gemar mensasarkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan menjadikan mereka alasan atau batu loncatan untuk mengekalkan populariti parti itu di kalangan masyarakat Melayu.

"Mereka mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan masyarakat mereka dalam usaha untuk meningkatkan karier politik mereka," kata Naib Ketua Pemuda Gerakan, S Paranjothy.

Dalam satu kenyataan setebal empat muka surat, beliau berkata, ahli-ahli politik harus dipersalahkan kerana memisahkan rakyat dengan memainkan politik perkauman."Saya ingin memetik Perdana Menteri yang berkata bahawa "kadang-kadang mereka fikir ia adalah satu cara yang mudah untuk mendapatkan undi.

Tetapi ia bukanlah cara yang betul kerana memainkan politik perkauman akan hanya membakar sentimen perkauman rakyat, jika tidak dikawal, boleh memudaratkan negara kita".

Paranjothy juga membangkitkan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam (kiri), yang dijemput sebagai tetamu kehormat untuk merasmikan perhimpunan agung PPP Melaka.

Katanya, dalam ucapannya, Naib Presiden Umno tu bukan sahaja menghina PPP tetapi juga menegaskan bahaw PPP boleh keluar dari BN jika mereka tidak gembira.

Menurutnya, Mohd Ali juga mensasarkan parti-parti komponen BN, dengan berkata bahawa mereka juga boleh meninggalkan BN "kerana Umno tidak perlukan parti-parti komponen (BN) untuk menubuhkan kerajaan".

Ucapan Khairy

"Tahun lalu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin - ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Jerlun, telah mengingatkan ahli-ahli parti itu bahawa kaum Cina di Malaysia akan mengambil kesempatan daripada perbalahan dalam Umno untuk kepentingan mereka," kata Paranjothy.

Khairy juga, tambahnya, telah berkata, perpecahan dalam Umno akan melemahkam parti tersebut dan ia akan membuka jalan kepada kaum Cina di Malaysia untuk membuat pelbagai tuntutan untuk faedah masyarakat mereka."

Juga tahun lalu, ahli-ahli Pemuda Umno bahagian Tanjung, telah membawa kain rentang mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang dituduh mengabaikan orang Melayu, di depan Perdana Menteri sendiri, dengan memberi kata dua, cuba menjatuhkan kerajaan negeri," tambahnya.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) pula, kata Paranjothy, telah menghunus keris dalam perhimpunan agung Umno 2004, dengan memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya jangan mengancam "hak orang Melayu" dan mempertikaikan kontrak sosial.

Baru-baru ini, katanya, Ahli Parlimen Parit Sulong, Syed Hood Syed Edros pula menggesa, antaranya, supaya dibuang tanda salib dan patung Kristian di sekolah-sekolah mubaligh.

Di samping itu, kata Paranjothy, Datuk Seri Hishammuddin dikatakan telah berkata, Umno tidak perlukan sokongan pengundi Cina dan India untuk menang dalam pilihanraya umum akan datang kerana jumlah orang Melayu sudah 60 peratus.

Khairy pula, katanya, sewaktu perbahasan dalam agung Umno baru-baru ini berkata"hari ini untuk pertamakalinya, ucapan Presiden Umno tidak dapat dibaca oleh orang ramai kerana kumpulan etnik tertentu menguasai pengedaran akhbar dan mereka sedang bercuti".

Keputusan berunsur diskriminasi

Perhimpunan agung Umno yang lalu berlangsung sewaktu sambutan perayaan Deepavali.

Menurut Paranjothy, Umno gemar memainkan isu-isu sensitif di kalangan masyarakat dan kenyataan serta keputusan yang dibuat ahli politik Umno berunsur diskriminasi dan banyak mengandungi unsur-unsur penghinaan perkauman."

Jadi, siapakah yang memainkan politik perkauman di Malaysia?

Mengapa kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Awang Selamat dalam Utusan Malaysia kerana kenyataan yang berbau perkauman dan menghasut dalam kolum Bisik-Bisik pada 20 November 2007."

Setahu saya, tidak ada keistimewaan khas diberikan kepada akhbar bahasa Melayu ini. Jadi siapakah yang menyebabkan perpecahan kaum?" soalnya.

Paranjothy turut menyentuh satu temubual dalam akhbar New Straits Times pada 12 Disember 2007, di mana Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia yang antara lain dilaporkan berkata "tidak ada orang yang boleh berkata bahawa tidak ada yang mendapat peluang yang sama rata. Saya dapat. Saya menjadi bukti bahawa kita boleh".

"Dalam kontak ini adalah mengecewakan kerana AirAsia telah mengadakan program latihan khas untuk anak-anak peneroka Felda yang layak untuk dilatih menjadi juruterbang. Mengapa tidak ada program seumpama itu bagi orang India dan Cina yang juga rakyat negara ini?" soalnya.

Beliau turut menyentuh tentang Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, ketika orang Melayu hanya memiliki 4 peratus ekonomi Malaysia dan keistimewaan orang Melayu diperluaskan meliputi bidang-bidang lain manakala kuota telah ditetapkan untuk Bumiputera mencapai sasaran 30 peratus dalam ekuiti korporat.

Artikel 153

DEB, menurut Paranjothy, sepatutnya memberi keutamaan untuk membasmikan kemiskinan tanpa mengira kaum.

Baru-baru ini, tambahnya, "Little Napoleons" dalam kerajaan telah mengarahkan syarikat-syarikat multinasional di negara itu supaya mengambil kakitangan peringkat kanan, berasaskan kepada bangsa."Jawatan kanan, dari jurutera ke atas, berasaskan kepada kuota 45% Melayu, 35% Cina, 17% India dan 3% lain-lain.

Saya percaya DEB hanya untuk orang miskin dan bukan untuk semua orang dari satu kaum sahaja," katanya.

Menurutnya lagi, Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan telah memberi hak-hak dan keistimewaan kepada orang Melayu yang mendiskriminasikan kaum lain, seperti:

* Sekolah berasrama penuh untuk bumiputera sahaja.

* Program matrikulasi untuk bumiputera bagi kemasukan ke universiti awam dengan pembelajaran yang mudah, sedangkan bukan bumiputera terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

* Dalam kemasukan ke institusi pengajian tinggi, kuota ditetapkan untuk kursus-kursus kritikal (profesional), yang kurang pelajar bumiputera.

* Biasiswa kerajaan tidak diberikan mengikut merit. Bukan bumiputera tiada peluang untuk menyertai perkhidmatan awam dan peluang kenaikan pangkat, yang didominasi oleh bumiputera.

* Bukan bumiputera tidak diberi peluang memegang jawatan tinggi dalam badan-badan kerajaan seperti tentera, polis dan perkhidmatan awam (jeneral dalam tentera, ketua polis negeri, ketua polis negara, naib canselor di universiti awam, gabenor bank pusat, ketua hakim, ketua pengarah, pengarah dalam perkhidmatan awam).

* Kontrak kerajaan diberikan kepada bumiputera tanpa melalui (proses) tender.

* Diskaun diberikan kepada bumiputera untuk membeli kenderaan dan hartanah.

Perhimpunan dan demonstrasi

Mengenai perhimpunan awam pula, Paranjothy berkata, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum ada berkata, permit dikeluarkan jika ia berfaedah kepada masyarakat dan 'bukan untuk keadaan yang menimbulkan masalah" di mana pihak berkuasa akan mengkaji permohonan permit secara terperinci sebelum membuat keputusan.

"Saya telah mengambil bahagian dalam demonstrasi dan perhimpunan anjuran Pemuda Barisan Nasional, yang diterajui oleh Pemuda Umno untuk menyerahkan memorandum mengenai ketidakpuasan kami terhadap isu-isu tertentu yang berlaku di luar negara yang saya percaya tidak memberi faedah kepada masyarakat Malaysia."Adalah Pemuda Barisan Nasional mendapat permit untuk mengadakan perhimpunan atau demonstrasi. Pernahkan permohonan mereka untuk mendapatkan permit telah ditolak oleh pihak berkuasa.

"Kerajaan nampaknya berat sebelah dalam pengeluaran permit untuk mengadakan perhimpunan awam. Barisan Nasional memulakan budaya demonstrasi dan orang lain telah mengikut jejak langkah mereka," katanya.

Menurutnya, ribuan masyarakat India Malaysia telah menyertai perhimpunan pada 25 November lalu di depan Suruhanjaya Tinggi British.

"Mereka menyertai demonstrasi itu kerana ia merupakan satu peluang untuk mereka menyuarakan kekecewaan dan kemarahan berhubung layanan terhadap mereka.

"Masyarakat India tertekan, terpinggir, tertindas dan tidak diperdulikan. Di segi ekonomi mereka merupakan kumpulan yang paling ketinggalan di Malaysia. petunjuk-petunjuk prestasi utama bagi masyarakat India telah merosot manakala bagi rakan-rakan mereka dari kaum lain meningkat," katanya.

Jangan guna statistik

Menurut Paranjothy lagi, mereka juga tidak medapatkan bahagian mereka dalam bidang pendidikan tinggi atau dalam profesyen-profesyen yang lain.

Beliau mendakwa bahawa masyarakat India Malaysia dilayan seperti rakyat kelas empat dan kelebihan mereka daripada kaum-kaum lain ialah dalam jenayah keganasan, di penjara, samseng, kes bunuh diri dan penyakit-penyakit masyarakat.

"Dasar-dasar kerajaan gagal menangani isu-isu dan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat India," tambahnya.

Memandangkan kerajaan telah mengakui bahawa kaum India perlu dibantu dan bersedia untuk membincangkan masalah sosial dan ekonomi yang dihadapi mereka, maka katanya, kerajaan tidak seharusnya menggunakan statistik untuk membuktikan bahawa masyarakat India lebih baik dari kaum lain.

"Sebabnya ialah kita tidak tahu metodologi dan kesahihan statistik tersebut. Kita jangan lupa bahawa kerajaan menolak laporan ASLI bahawa matlamat DEB telah lama dicapai oleh masyarakat Melayu," tambahnya.

Walaupun laporan itu dibuat oleh seorang bekas pakar ekonomi Bank Dunia, kata Paranjothy, seorang Naib Presiden kanan Umno menyifatkanya sebagai mengarut.

Paranjothy memetik kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam (kiri) dalam sebuah akhbar baru-baru ini yang menyebut bahawa masalah yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini adalah benar.

Menurut Musa lagi, kata Paranjothy, walaupun ada sebuah parti yang mendakwa mewakili kaum India, tetapi jelas sekali, mereka tidak puashati kerana menganggapnya sebagai tidak berkesan".

0 Pandangan