1. Pendahuluan

Keputusan pilihanraya Scotland pada 4 Mei 2007 adalah merupakan satu kejutan besar kepada politik di negara tersebut dan politik dunia kerana buat pertama kalinya Parti Kebangsaan Scotland (SNP) telah memenangi dan membentuk kerajaan yang memerintah Scotland ketika ini.

Ia juga merupakan kekalahan pertama Parti Buruh yang sebelum ini telah mendominasi kesemua Pilihanraya Parlimen Scotland selama 50 tahun. Dalam pilihanraya tersebut, SNP telah memperolehi 47 kerusi, Parti Buruh Scotland (SLP) telah memperolehi 46 kerusi, Parti Konservatif Scotland (SCP) memperolehi 17 kerusi manakala Parti Liberal Demokrat (DLP) memenangi 16 kerusi, Parti Hijau Scotland (SGP) memenangi satu kerusi dan satu kerusi dimenangi oleh calon bebas.

Bermakna, SNP adalah merupakan parti yang memerintah Scotland bermula 4 Mei 2007 sehinggalah pilihanraya Parlimen Scotland akan diadakan semula pada 4 Mei 2011. Hasil kemenangan SNP ini telah memberikan peluang kepada Presiden SNP, Alex Salmond dilantik sebagai Perdana Menteri Scotland yang baru. Alex Salmond dan SNP telah mendapat sokongan daripada SGP yang memperolehi 2 kerusi Parlimen. Sebanyak 49 Ahli Parlimen menyokong dan 46 ahli Parlimen menentang cadangan untuk melantik Alex Salmond. Ini juga merupakan kali pertama pimpinan SNP dipilih menjadi Perdana Menteri Scotland sejak ditubuhkan 73 tahun dahulu.

Kekalahan Parti Buruh di Scotland telah memberikan satu tamparan yang hebat kepada Tony Blair yang sebelum itu dikritik hebat oleh penduduk di Britain kerana menyokong Amerika Syarikat menyerang Iraq.

Dalam perbincangan ini, beberapa perkara akan dihuraikan seperti sejarah politik dan pilihanraya Scotland, sejarah parti-parti politik di Scotland, punca utama SNP dipilih oleh rakyat Scotland, kesan kekalahan SNP di Scotland dan masa depan politik Scotland.

2. Sejarah Politik & Pilihanraya di Scotland

Jika dilihat kepada rekod penyertaan SNP dalam pilihanraya di Scotland, SNP boleh dikatakan sebagai sebuah parti yang agak kukuh pengaruhnya kepada rakyat. Walaupun SNP tidak pernah memerintah Scotland sebelum ini namun rakyat Scotland tetap memberikan sokongan yang besar kepada perjuangan SNP dalam pilihanraya terdahulu. Sebagai contohnya, pada pilihanraya Parlimen Scotland tahun 2003, SNP telah memperolehi undi secara keseluruhannya sebanyak 849, 135 undian yang mewakili 20.9 peratus pengundi di Scotland.

Dalam Pilihanraya umum UK pada tahun 2005, SNP telah memperolehi undian sebanyak 412,267 yang mewakili 17.7 peratus keseluruhnya undian dan pada tahun 2001 pula SNP telah mendapat 464,314 undi iaitu 20.1 peratus perolehan undi secara keseluruhannya.

Namun, kita juga perlu melihat kepada sejarah perkembangan Scotland sehingga dapat mempengaruhi keputusan pilihanraya Parlimen Scotland pada 4 Mei 2007. Ini perlu kerana kita akan dapat memahami apakah sebabnya rakyat Scotland memberikan kemenangan kepada SNP dan menolak SLP dalam pilihanraya Parlimen Scotland..

United Kingdom (UK) sebenarnya secara rasmi telah terbentuk pada tahun 1801 di mana UK terdiri daripada negara Wales, England, Ireland Utara dan Scotland. Wales menyertai UK ataupun Britain pada tahun 1539 diikuti oleh Scotland melalui perjanjian Act of Union 1707 seterusnya England dan akhirnya Ireland Utara pada tahun 1801
2.1 Wales bergabung dengan England

Sejarah kemasukkan Wales bermula pada tahun 1282, Raja Edward I iaitu Raja England akhirnya berjaya menakluk utara dan selatan Wales. Undang-undang Rhuddlan secara rasminya dilaksanakan di Wales dua tahun kemudian. Bagi memujuk penduduk Wales, anak Edward (selepas itu Edward II) yang dilahirkan di Wales ditabalkan sebagai Prince of Wales pada 7 Februari 1301. Wales akhirnya menerima status negara yang diperintah oleh Putera Raja secara rasminya bermula tahun 1284 sehinggalah tahun 1536. Tradisi pengurniaan ini “Prince(ess) of Wales” yang ditabalkan oleh Raja British diteruskan sehingga ke hari ini

Undang-undang dalam Akta Wales 1535 menyambungkan Wales kepada sistem undang-undang England yang sah. Akta ini juga menyebabkan Undang-undang England digunakan di Wales dan menjadikan Bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi di Wales.

2.2 Ireland bergabung dengan England

Penaklukan Ireland bermula pada tahun 1169 dibawah Raja Henry ke II dan berjaya menawan Ireland pada tahun 1171. Pada tahun 1541 Parlimen Ireland telah mengarahkan supaya status Ireland ditukarkan kepada sistem kerajaan beraja dengan Raja Henry ke VIII sebagai Raja. Raja Henry seterusnya ditabalkan sebagai Raja Ireland pada tahun 1542.

Pergabungan Ireland di bawah Great Britain dilaksanakan secara sepenuhnya pada 1 Januari 1801 dalam kedua-dua Parlimen British dan Ireland di bawah Act of Union 1800 dan dikenali sebagai "United Kingdom of Great Britain and Ireland”. Perpecahan Ireland kepada Ireland Utara dan Ireland Selatan telah berlaku dan Ireland Utara melalui Government of Ireland Act 1920 dan digubal dalam Parlimen United Kingdom of Great Britain and Ireland pada tahun 1921.
2.3 Scotland bergabung dengan England

Kemampuan permaisuri Anne yang memimpin England pada tahun 1702 sehingga 1714 berjaya menggabungkan England dan Scotland. Dibawah naungannya dan penasihatnya Bill of Union telah membawa kepada perundingan di antara Scotland dan England pada tahun 1706.

Sebenarnya pergabungan Scotland di dalam Britain bukanlah satu langkah yang diingin oleh sebahagian besar rakyat Scoltand namun disebabkan pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh kerajaan Scotland pada ketika itu seperti Skim Darien yang telah gagal dan Parlimen Scoltand yang hampir bangkrup telah menyebabkan pergabungan ini berlaku.

Pada tahun 1707, The Act of Union mendapat restu daripada istana, maka dengan demikian menghapuskan Parlimen Kerajaan Beraja England dan Parlimen Kerajaan Beraja Scotland dan membentuk Kerajaan Beraja Great Britain dengan satu Parlimen Great Britain. Pemaisuri Anne secara rasminya menjadi rakyat pertama gabungan kerajaan British dan Scotland telah menghantar seramai 45 Ahli Parlimen ke Parlimen of Westminter.

Kebaikan daripada pergabungan ini kepada rakyat Scoltand adalah Scotland dapat menikmati perdagangan percuma dengan England dan mana-mana koloni England di luar negara.

Walau bagaimanapun, beberapa aspek masih lagi dilaksanakan berasingan. Sebagai contoh, institusi Scotland dan England tidak digabungkan dalam sisitem British adalah Undang-undang Scotland dan England masih berasingan, sistem perbankan, Presbyterian Church of Scotland dan Anglican Church of England. Begitu juga sistem pendidikan daripada peringkat rendah ke peringkat tinggi masih lagi diasingkan.

Melihat kepada sejarah pergabungan negara-negara ini ke dalam Britain, ianya adalah pergabungan yang tidak memerlukan pertumpahan darah atau pun paksaan. Persoalannya, kenapa rakyat Scotland bersungguh-sungguh ingin keluar daripada Britain?.

Sebenarnya, hasil pergabungan di dalam Britain tidaklah banyak memberikan kebaikan kepada negara-negara yang lain selain daripada England sendiri. Kerajaan dan pembangunan lebih banyak berpusat di London sedangkan negara yang lain seperti Wales, Ireland Utara dan Scotland tidak begitu mendapat limpahan pembangunan. Dari segi bahasa pula, Bahasa Inggeris lebih banyak di gunakan di England, bukannya di negara-negara Britain yang lain. Hanya di England merasakan mereka British dan bukan sebaliknya.

Rasa tidak puas hati ini telah disedari oleh kerajaan sehingga terpaksa membuat penambahbaikan terhadap polisi kerajaan dan tindakan politik untuk memenangi hati rakyat Wales, Scotland dan Ireland Utara termasuklah kerajaan Britain telah membina beberapa buah istana di Scotland. Begitu juga dengan perkahwinan Putera Charles dengan Puteri Diana yang lebih dilihat sebagai usaha untuk mengeratkan hubungan England dengan Wales. Dapat dilihat bahawa ketika Puteri Diana masih hidup dan menjalinkan hubungan sebagai isteri kepada Charles, Wales begitu rapat dengan Britain ataupun England tetapi agak renggang selepas kematian Diana.

3. Sejarah dan Penerangan Ringkas Parti-Parti Politik di Scotland

Bagi memperkukuhkan masa depan politik Scotland, beberapa buah parti politik telah ditubuhkan di Scotland. Menariknya, hampir kesemua parti politik di Scotland mempunyai parti yang sama diperingkat Britain. Sebagai contohnya, Parti Buruh juga terdapat di dalam kerajaan Britain iaitu Parti Buruh Britain.

3.1 Parti Buruh Scotland (SLP)

Parti Buruh Scotland (SLP) adalah merupakan sebahagian daripada Parti Buruh British dan merupakan sebuah parti politik yang paling besar dan mempunyai sejarah yang sangat baik dalam sejarah politik moden Scotland sama ada dalam Pilihanraya Umum Britain, Pilihanraya Umum Parlimen Scotland dan Pilihanraya Umum Parlimen Eropah melainkan pernah dikalahkan pada tahun 1979 dalam Pilihanraya Umum Parlimen Eropah dan mendapat tempat kedua di belakang SNP dalam pilihanraya Umum Parlimen Scotland pada tahun 2007.

SLP adalah merupakan parti kedua terbesar dalam Parlimen Scotland dengan 46 kerusi daripada 129 kerusi yang dipertandingkan, 39 daripada 59 kerusi penduduk Scotland dalam Parlimen UK dan 2 daripada 7 kerusi penduduk Scotland dalam Parlimen Eropah.. SLP membawa aliran fahaman Demokrasi Sosial dalam dasar perjuangannya.

3.2 Parti Kebangsaan Scotland (SNP)

SNP telah ditubuhkan pada tahun 1934 hasil gabungan daripada Parti Nasional Scotland dan Scottish Party. SNP membawa fahaman Demokrasi Sosial dalam perjuangannya.

SNP mula memenangi kerusi Parlimen dalam pilihanraya kecil Motherwell pada tahun 1945 tetapi Dr Robert McIntyre, bekas Presiden SNP daripada tahun 1947-1956 kehilangan kerusi parlimen dalam pilihanraya Umum Scotland tiga bulan kemudian

Pada tahun 1967 SNP memenangi satu kerusi dalam pilihanraya kecil Hamilton, kerusi selamat Parti Buruh yang membawa kepada kemasyhuran SNP kerana Hamilton adalah merupakan kubu kuat Parti Buruh selama ini.

Sebelum ini, SNP berjaya memainkan peranan yang cukup berkesan sebagai pembangkang yang kuat dalam Parlimen Scotland sehinggalah SNP diberi mandat untuk memimpin Scotland pada 4 Mei 2007 dengan majoriti yang kecil.

3.3 Parti Konservetif Scotland (SCP)

Parti Konservatif Scotland adalah sebuah parti politik berfahaman konservatif dan ditubuhkan pada tahun 1965 adalah merupakan sebahagian daripada Parti Konservatif British. SCP dan Parti Kesatuan Sekerja Scotland (SUP) adalah dua buah parti yang bergabung secara rasmi di England dan Wales membentuk asas Parti Conservatif UK. SCP dan SUP mempunyai 17 daripada 129 kerusi dalam Parlimen Scotland, satu daripada 59 kerusi Scotland dalam Parlimen UK dan dua daripada tujuh kerusi Scotland dalam Parlimen Eropah. Mempunyai keahlian seramai 16,500 orang pada bulan Mac 2006.

3.4 Parti Liberal Demokrat (DLP)

Parti Liberal Demokrat (DLP) mempunyai 16 kerusi dalam Parlimen Scotland, 12 kerusi Scotland dalam Parlimen UK dan satu daripada tujuh kerusi dalam Parlimen Eropah. Dalam penglibatan pertama DLP dalam Parlimen Scotland tahun 1999, mereka telah memenangi 17 kerusi. Hasil daripada kemenangan ini DLP telah membentuk kerajaan campuran dengan Parti Buruh dalam Scottish Executive. Ketua parti, Jim Wallace telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman (Minister of Justice).

Dalam pilihanraya Parlimen Scotland tahun 2007, DLP hanya memperolehi sebanyak 16 kerusi sahaja dan gagal membentuk kerajaan campuran bersama dengan Parti Buruh. DLP dan pimpinannya telah dikecam oleh para penyokong parti kerana tidak mahu bergabung dengan SNP serta SGP bagi membentuk kerajaan campuran kerana pimpinan DLP tidak dapat menerima referendum SNP yang mahukan Scotland keluar daripada British. Ketika ini DLP bertindak sebagai parti pembangkang dalam Parlimen Scotland.

Terdapat beberapa buah parti politik yang lain seperti Parti Hijau Scotland yang memenangi 2 kerusi Parlimen Scotland dan beberapa buah parti politik yang kurang berpengaruh dan tidak memenangi apa-apa kerusi dalam pilihanraya Scotland seperti Parti Warga Emas Scotland, Parti Nasional British dan UK Independence. Namun, kehadiran parti-parti politik ini telah berjaya mencorakkan senario politik di Scotland.

4. Kenapa rakyat memilih SNP sebagai kerajaan dan menolak SLP sebagai kerajaan di Scotland?

Kekalahan SLP dalam pilihanraya Parlimen Scotland telah membawa kepada satu era baru kepada politik Scotland. Bermakna, kerajaan yang baru telah dipilih bagi memenuhi hasrat dan harapan rakyat Scotland untuk memberikan satu kehidupan baru kepada mereka.

Namun, apakah sebenarnya yang mendorong rakyat Scotland untuk melakukan perubahan. Apakah faktor sejarah sahaja yang menjadi punca kekalahan SLP ataupun kerana SLP tidak berupaya menjalankan amanah sebagai pemerintah yang berkesan.

SLP telah mengemukakan manifesto yang cukup menarik bagi menghadapi pilihanraya Parlimen Scotland dengan tajuk “Building Scotland” dengan meletakkan pembinaan kekayaan (prosperity), pembinaan masa depan, pembinaan komuniti yang lebih selamat, membina Scotland yang lebih sihat, membina keluarga dan masyarakat yang lebih gagah dan membina kerajaan yang lebih baik pada masa akan datang.

Jika diperhatikan kepada manifesto ini, agak mustahil sebahagian besar rakyat Scotland menolak SLP. Manifesto ini memberikan banyak manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya tetapi ia masih lagi tidak dapat memberikan keyakinan kepada para pengundi.

Manifesto SNP bertajuk “It’s Time” yang menampilkan hasrat untuk membina masyarakat yang sihat, berharta dan berjaya, selamat, adil, mudah, bijak dan kehidupan yang penuh dengan kehijauan (alam sekitar) tidaklah ada sesuatu yang luar biasa yang mampu menarik perhatian pengundi. Namun SNP telah berjaya memberikan satu pengharapan baru terhadap masa depan Scotland yang merdeka.

Melihat kepada kemahuan dan keinginan rakyat Scotland untuk keluar daripada Britain, Alex Salmond telah mengistiharkan referendum sempena pilihanraya Parlimen Scotland dengan meletakkan keyakinan dan janji bahawa sekiranya SNP diberikan kemenangan maka beliau berjanji dalam tempoh tiga tahun merdekakan Scotland dari Britain.

Di antaranya, Alex Salmond menyatakan bahawa perjanjian pergabungan UK yang berusia 300 tahun tersebut adalah sudah ketinggalan kerana ianya tidak direka untuk kebaikan dalam abad ke 21. Alex menyatakan juga bahawa Scotland dan England seharusnya menjadi bangsa yang setaraf, kawan dan rakan yang mempunyai hak untuk membuat apa jua keputusan. Selain itu juga, SNP telah meletakkan kebajikan rakyat sebagai agenda utama dalam pentadbiran negara seperti penghapusan beberapa cukai, peningkatan perkhidmatan kesihatan dan penghapusan hutang yuran pelajar dan mahasiswa.

Referendum ini telah memberikan satu tamparan yang hebat kepada Parti Buruh kerana pada ketika itu, Perdana Menteri Britain, Tony Bliar telah dikecam hebat dalam dasar luar negara. Blair yang masih mempertahankan tindakannya menyokong Presiden Amerika, George Bush menyerang Iraq. Walaupun rakyat Scotland mahu Tony Blair selaku Perdana Menteri Britain menarik semula penghantaran tentera ke Iraq namun ia telah ditolak oleh Blair kerana beliau tetap yakin dengan dasar luar Amerika yang diketuai oleh George Bush. Kesempatan ini telah diambil dengan baik oleh SNP dengan memberikan keyakinan kepada rakyat Scotland bahawa sekiranya SNP diberikan peluang untuk memerintah Scotland maka kesemua tentera akan dibawa pulang.

Perbandingan keputusan pilihanraya Parlimen Scotland tahun 2007 dengan tahun 2003. Keputusan pilihanraya Parlimen Scotland tahun 2007 memperlihatkan peningkatan undian dan sokongan terhadap SNP meningkat mendadak berbanding Parti Buruh. Bagi undian dikawasan ‘Constituency’ SNP telah mendapat peningkatan sebanyak 9.1 peratus 449,476 kepada 664,227 manakala undian di kawasan ‘Region’, peningkatan undian lebih tinggi iaitu 10.2 peratus 399,659 kepada 633,401.

Parti Buruh pula kehilangan 2.5 peratus undi 659,879 kepada 648,374 di kawasan Constituency manakala undian dikawasan Region pula kehilangan 0.1 peratus undi 561,379 kepada 595,415.

Walaupun dilihat bahawa Parti Buruh tidaklah kehilangan banyak undi berbanding dengan tahun 2003 tetapi berbanding dengan SNP pula peningkatan undi adalah satu peningkatan yang amat luar biasa. Parti Buruh masih lagi mendapat sokongan daripada penyokong asalnya tetapi SNP dilihat mendapat sokongan yang rakyat Scotland yang mahukan perubahan seperti yang dinyatakan dalam referendum SNP.

Kawasan larangan merokok dan syarat yang lebih ketat untuk perokok seperti meletakkan syarat bahawa perokok mestilah berusia 18 tahun ke atas telah dilaksanakan di Scotland seperti mana yang terkandung dalam manifesto SNP.

5. Apakah kesan kemenangan SNP di Scotland?

Terdapat beberapa kesan terhadap kemenangan SNP dalam pilihanraya Parlimen Scotland.

5.1 Pecah dominasi SLP sejak 50 tahun.

Kemenangan SNP telah membuktikan bahawa SLP bukan satu-satunya parti yang mampu menjalankan pemerintahan di Scotland. Walaupun tidak dinafikan bahawa SLP telah berjaya melakukan banyak perubahan kepada pembangunan rakyat Scotland tetapi Scotland masih lagi tidak bebas sepenuhnya dalam menjalankan pemerintahan dan masih terikat dan terkongkong dengan Britian.

Ini juga memberikan satu kejutan kepada mana-mana pemerintahan di seluruh dunia bahawa tempoh pemerintahan yang lama bukan menjadi tanda aras bahawa pemerintahan tidak semestinya akan kekal selama-lamanya.

5.2 Beri ruang untuk Scotland menuntut kemerdekaan.

SNP telah mendapat satu mandat yang cukup besar untuk membawa kemerdekaan kepada Scotland seperti yang dijanjikan dalam referendum yang telah diedarkan kepada rakyat Scotland menjelang Pilihanraya Parlimen pada bulan Mei 2007.

SNP telah berjanji bahawa dalam tempoh 3 tahun daripada tarikh kemenangan SNP mendapat mandat memerintah, Scotland akan dibebaskan daripada Britain dan menjadi negara yang merdeka. Bermakna SNP perlu mengotakan janjinya sebelum 4 Mei 2010. Sudah pastinya, tugas untuk membawa Scotland keluar daripada Britain adalah satu tugas yang cukup sukar namun ia perlu direalisasikan bagi memberikan kepada rakyat untuk memilih SNP pada pilihanraya yang akan datang.

SNP perlu buktikan bahawa referendum yang diserahkan kepada rakyat dalam pilihanraya Parlimen Scotland sebelum ini bukanalah menjadi ‘umpan’ pilihanraya bagi mendapat sokongan daripada pengundi tetapi ia adalah sesuatu yang dibuat untuk kepentingan rakyat Scoltand semata-mata.

5.3 Isyarat kepada Tony blair bahawa kuasa politiknya semakin kecil.

Kemenangan SNP di Scotland secara tidak langsung adalah sebagai satu isyarat kepada Tony Blair bahawa dasar yang dibawa oleh beliau dalam memerintah Britain khususnya dalam dasar luar beliau menyokong George Bush menyerang Iraq tidak dapat diterima oleh sebahagian besar daripada rakyat Scotland dan Britain.

Blair yang pada awalnya tidak gusar dengan desakan untuk beliau berundur daripada tampok pemerintahannya telah tersentak dengan kemenangan SNP di Scotland lebih-lebih lagi ia telah berjaya mengalahkan Parti Buruh yang juga merupakan parti yang memerintah Britain. Sudah tentu keputusan ini akan memberikan kesan yang sama di dalam pilihanraya Parlimen UK yang dijadualkan akan diadakan pada tahun 2009 yang akan datang.

Ia sedikit sebanyak telah memberikan satu pentunjuk bahawa segala kebaikan yang telah dibuat oleh pemimpin akan hilang daripada ingatan rakyat seandainya gesaan daripada rakyat tidak diambil perhatian.

5.4 Melantik Golden Brown sebagai pengganti untuk menyekat arus kebangkitan rakyat di Scotland.

Golden Brown dilihat sebagai pengganti yang paling sesuai untuk menggantikan tempat Tony Blair kerana beliau adalah merupakan anak jati Scotland yang dilahirkan di Glasgow. Dengan perlantikan Brown sebagai pemimpin Parti Buruh dan Perdana Menteri Britain yang baru, kerajaan British berharap agar dengan cara ini rakyat Scotland akan memberikan keyakinan kepada Brown untuk memimpin mereka dan dengan itu hasrat untuk membawa Scotland keluar daripada UK akan dibatalkan.

Malahan, dengan perlantikan Brown mempimpin Parti Buruh UK ini akan memberikan harapan baru kepada Parti Buruh Scotland untuk mendapat mandat baru pada pilihanraya Parlimen yang akan berlangsung pada tahun 2011 nanti. Namun ia masih lagi tidak dapat dipastikan keberkesanan tindakan yang dilakukan oleh Parti Buruh UK ini.

5.5 Tony Blair meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Britain.

Tony Blair atau nama sebenarnya Anthony Charles Lynton Blair adalah merupakan Perdana Menteri yang paling lama di UK bermula pada 2 May 1997 sehinggalah beliau meletakkan jawatan pada 27 Jun 2007. Beliau telah dipilih sebagai Presiden Parti Buruh pada bulan Julai 1994 dan telah berjaya membawa kepada kemenangan parti tersebut menguasai Parlimen UK dengan mengalahkan Parti Konservatif yang sebelum itu telah memerintah selama 18 tahun.

Walaupun Tony Blair mempunyai rekod yang baik dalam perkhidmatannya namun dasar luar negara yang beliau pertahankan iaitu menyokong tindakan Amerika menyerang Iraq telah menyebabkan rakyat telah mula menolaknya. Apabila Parti Buruh telah mengalami kekalahan di Scotland, Tony Blair telah mengambil tindakan meletakkan jawatannya sebagai Presiden Parti Buruh dan menyerahkannya kepada Golden Brown pada 24 Jun 2007 dan sebagai Perdana Menteri pada 27 Jun 2007.

6. Masa depan politik Scotland

Kemenangan SNP di Scotland telah membawa satu persoalan yang cukup penting iaitu mampukah SNP membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Scotland seperti yang dijanjikan di dalam manifesto dan referendum SNP dalam Pilihanraya Parlimen yang lalu.

Mampukah SNP menunaikan janji semasa pilihanraya Parlimen Scotland khususnya yang berkaitan dengan memerdekakan Scotland? Terlalu banyak janji yang ditaburkan namun persoalannya apakah ianya akan dapat direalisasikan dalam tempoh empat tahun pemerintahan Alex Salmond. Setiap janji yang ditaburkan oleh SNP diperhati dan dipantau oleh pelbagai pihak termasuklah SLP yang telah berjaya ditewaskan dalam pilihanraya yang lalu.

Sebagai contohnya, SLP telah mewujudkan kabinet bayangan bagi memantau setiap pergerakan dan perjalanan SNP menjalankan pemerintahan kerajaan Scotland. Presiden SNP Wendy Alexander telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang dan ahli-ahli Parlimen yang lain telah dilantik sebagai Menteri Bayangan. Sebagai contohnya, Jackie Baillie telah dilantik sebagai Menteri Bayangan untuk Kementeriaan Perniagaan Parlimentari dan Isu Perlembangaan, Micheal McMahon sebagai Ketua Whip dan Penolong Pengurus Perniagaan (Deputy Business Manager) dan Malcolm Chisholm sebagai Menteri Bayangan untuk Kementerian Urusan Luar dan Kebudayaan.

Dalam beberapa kenyataan media yang disiarkan di dalam laman web rasmi, pemimpin-pemimpin SLP terutamanya yang bertindak sebagai Menteri Bayangan dalam Parlimen Scotland telah mengkritik tindakan-tindakan SNP dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah.

Diantaranya, SLP mendakwa Scotland telah bergerak ke belakang kerana gagal mewujudkan pekerja baru dikalangan generasi muda. John Park selaku jurucakap SLP telah menyatakan bahawa kerajaan Britain telah mengumumkan bahawa pembinaan untuk pusat latihan untuk melatih sebanyak tujuh juta rakyat telah dibuat dalam tempoh tiga tahun. Sebagai langkah awal, 120,000 pelatih baru dibawah umur 25 tahun dan 30,000 pelatih dewasa telah dibuka kepada seluruh warga Britain melalui agenda ‘British jobs for British workers’ namun ianya tidak melibatkan Scotland kerana Scotland diperintah oleh SNP.

Peluang ini digunakan oleh Parti Buruh di Scotland untuk mengkritik SNP dengan menyatakan bahawa manifesto SNP telah menjamin bahawa kerajaan dibawah pimpinan SNP akan melabur dalam pendidikan skil vokasional di Scotland tetapi masih belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

SNP juga didakwa terlalu berlembut dalam menangani jenayah yang berlaku di Scotland seperti mana dinyatakan oleh Menteri Bayangan SLP, Paul Martin. SNP juga dikritik kerana gagal mengeluarkan maklumat belanjawan genting (crucial budget information) selepas SNP gagal memberikan jawapan maklum balas kepada soalan menteri bayangan SLP dalam isu kewangan. Ini berikutan dokumen belanjawan kerajaan Scotland yang dibentang dalam parlimen tidak dapat menyediakan maklumat lengkap untuk membolehkan ahli Parlimen membuat pemeriksaan.

7. Mampukah Parti Buruh mengembalikan keyakinan rakyat kepada partinya?

Walaupun SLP telah kecundangan dalam pilihanraya Parlimen Scotland namun SLP terus bertindak sebagai pembangkang yang kuat dalam Parlimen Scotland. Selain daripada mewujudkan kabinet bayangan kepada kerajaan Scotland, SLP telah berjaya menegur pelbagai kelemahan yang telah dilakukan oleh kerajaan pimpinan SNP di Scotland.

Namun, terdapat beberapa isu yang berlaku di Scotland yang turut menjadi cabaran kepada SLP untuk mendapatkan semula keyakinan daripada rakyat. Walaupun sebelum ini SLP mendakwa bahawa tindakan untuk membawa Scotland keluar daripada Britain adalah tindakan yang tidak bijak namun pandangan ini telah mula mendapat perhatian daripada kalangan pemimpin SLP dan terpaksa mengakui bahawa perkara ini cukup penting kepada rakyat Scotland kerana rakyat Scotland telah memberikan harapan kepada referendum SNP.

Sebagai bukti, pada 3 November 2007 yang lalu, David Cairns, salah seorang pemimpin kanan SLP bertaraf menteri telah mengeluarkan pandangan bahawa SLP bukanlah parti yang kekal selamanya sebagai parti pemerintah. Beliau juga menyatakan bahawa SLP perlu lebih banyak membuat perubahan dalam untuk memastikan bahawa SLP akan dapat diterima oleh rakyat Scotland pada masa akan datang.

Ketika berucap dalam Persidangan Pekerja Belia di Glasgow, beliau menegaskan supaya Parti Buruh perlu membuat perubahan;

"renew ourselves, re-form our policy offer and re-establish a bond of trust with the people".

"must articulate policies that speak to people's hopes and ambitions, not just their fears and worries".

Terkini, SLP telah digegarkan dengan isu yang melibatkan Ketua SLP, Wendy Alexander dituduh telah melanggar undang-undang apabila menerima sumbangan kewangan daripada ahli perniagaan daripada Jersey, Paul Green dalam kempen Kepimpinan SLP pada bulan September 2007 selepas SLP tewas dalam pilihnaraya Scotland. Perkara ini didedahkan oleh pengurus kempen Wendy Alexander, Tom McCabe bahawa beliau telah menerima cek sebanyak £950 daripada Paul Green. Charles Gordon, ahli Parlimen yang terlibat dalam kempen pungutan derma ini telah meletakkan jawatan sebagai jurucakap SLP di Holyrood.

Kes ini bukan sahaja dikritik oleh pimpinan SNP tetapi juga oleh pimpinan SLP sendiri. Perdana Menteri Britain, Gordon Brown menjelaskan bahawa situasi ini sebagai melanggar undag-undang dan tidak dapat diterima sepenuhnya. Ahli Parlimen SLP, Charlie Gordon telah melahirkan rasa kekecewaan dengan perkembangan ini kerana Wendy Alexander telah terlibat dalam perkara ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. Menjadi satu kesalahan apabila seseorang yang tinggal di luar UK memberikan sumbangan kepada mana-mana kempen politik di Scotland.

8. Kesimpulan

Keputusan Pilihanraya Parlimen Scotland pada bulan Mei 2007 telah mengubah corak politik di Scotland. Kepimpinan Alex Salmond perlu melaksanakan setiap janjinya seperti yang terkandung dalam manifesto dan referendum SNP terutamanya yang berkaitan dengan Scotland yang bebas daripada cengkaman Britain. SNP perlu berwaspada bahawa isu Scotland mahu keluar daripada UK adalah isu berpanjangan tetapi isu yang melibatkan Tony Blair dan beberapa isu semasa lain memangkinkan isu ini dan menarik minat rakyat untuk menyokong SNP.

Sudah pastinya, rakyat akan menunggu janji SNP untuk memerdekakan Scotland daripada British dalam tempoh 3 tahun daripada tarikh kemenangan SNP dalam pilihanraya Parlimen Scotland kerana ia adalah jaminan awal Alex Salmond semasa berucap meraikan kemenangan SNP. Kegagalan SNP merealisasikan hasrat rakyat Scotland ini akan menyebabkan SNP tersungkur dalam pilihanraya Scotland pada tahun 2011.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
16 Disember 2007

0 Pandangan