Pemuda PAS Terus Memimpin Perpaduan

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 11/20/2007 10:05:00 PM | 0 Pandangan »

Saya merakamkan ucapan tahniah kepada Lajnah Perpaduan Nasional DPPNJ kerana sekali lagi berjaya membawa Pemuda PAS Johor melangkah satu tapak lagi kehadapan dalam soal perpaduan.

Saya tidak punya ruang masa yang banyak untuk mencoretkan pandangan saya di sini kerana masa perlu diperuntukkan kepada perkara yang lain, namun saya tetap akan terus menyokong tindakan JPN DPPNJ walaupun jauh di mata.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
20 November 2007, 10.15 malam
Pulau Mutiara.

---------------------------------------------------------------------

Pagi 20 November 2007, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi bersama-sama dengan kaum India di Johor ini. Kali ini, kami bersama-sama dengan rakyat khusus untuk memperjuangkan hak semua kaum dalam bidang pendidikan.

Seramai 300 orang rakan-rakan kaum India turun berdemonstrasi di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor untuk meminta kerajaan lebih prihatin kepada kebajikan sekolah-sekolah Tamil yang ada di negeri ini. Maklumat yang saya perolehi daripada Saudara Poopathy, penggerak kepada Semparuthi Thorlagal (Persahabatan Bunga Raya), bilangan sekolah Tamil yang 'hidup segan mati tidak mahu' di Johor ini ialah sekitar 70 buah sahaja.


Kesemuanya berada dalam keadaan yang amat dhaif. Kerajaan BN yang juga di dalamnya terdapat MIC sebagai parti komponen utama yang mewakili kaum India, kelihatan secara terang-terang melayan sekolah Tamil ini seakan-akan anak tiri di dalam pendidikan negara.

Saya hampir menitiskan air mata apabila seorang guru yang mengajar di salah sebuah sekolah Tamil di Kangkar Pulai menceritakan permasalahan mereka. Kata beliau, mereka tidak kecukupan kelas dan bangunan sehingga terpaksa 'menumpang' salah sebuah sekolah kebangsaan yang berdekatan.


Dan, tambah menyedihkan ialah diskriminasi yang dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah itu kepada pelajar dan guru mereka. Para pelajar sekolah mereka, yang 'menumpang' kelas di sekolah itu tidak dibenarkan untuk masuk ke sekolah menggunakan pintu pagar yang sama dengan pelajar sekolah kebangsaan tersebut. Malahan, guru-guru juga diminta untuk menggunakan pintu pagar belakang untuk memasuki sekolah itu!


Daripada segi kemudahan dan infrastruktur sekolah pula, mereka tidak dibenarkan untuk berkongsi makmal komputer dan yang lain-lainnya sehingga menyebabkan ramai anak-anak murid yang agak ketinggalan dalam teknologi terkini.

Sedih, memang sedih. Mengapa masih ada sikap pesimis antara kita di Malaysia ini walaupun sudah 50 tahun merdeka?


Sewaktu saya diminta berucap dalam himpunan ini bagi mewakili kaum Melayu, saya menyebut bahawa kerajaan sememangnya bersikap tidak adil dalam bidang pendidikan. Bukan sahaja sekolah Tamil dan Cina yang menjadi mangsa, malahan sekolah agama rakyat juga telah lama di'anak tiri'kan oleh kerajaan.

Saya juga menyebut bahawa Islam mengajar kita untuk saling hormat-menghormati dan menghargai semua manusia. Tuhan telah menjadikan kita semua dalam bentuk pelbagai bangsa dan memiliki bahasa yang cukup unik serta berlainan. Maka, menjadi tanggungjawab sesama kita untuk saling menghormati dan menghargai setiap insan. Kita juga perlu memelihara pendidikan dalam bahasa ibunda kita.


Islam adil kepada semua kaum tidak kira apa ras dan bangsa serta agama mereka. Saya menyebut Dato' Ng Yen Yen yang sekarang ini menjadi Timbalan Menteri Kewangan dan mewakili BN sebagai contoh terbaik akan keadilan pemerintahan Islam. Ng Yen Yen pernah menerima biasiswa daripada Kerajaan PAS Kelantan sewaktu era pemerintahan Dato' Asri dahulu. Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah milik semua mengikut pandangan pemerintahan Islam. Ucapan saya disambut dengan tepukan gemuruh mereka.

Akhirnya, saya meminta agar mereka semua meneruskan perjuangan sehingga hak dan tuntutan mereka didengari oleh pihak berwajib. Hidup hidup, hidup rakyat!
http://hanfeitsu.blogspot.com/2007/11/pemuda-pas-prihatin-masalah-sekolah.html

0 Pandangan