Lim: Betulkah PM mahu dengar kebenaran dari rakyat? - Malaysiakini
Nov 12, 07 4:26pm
Reaksi negatif kerajaan dan kepimpinannya terhadap perhimpunan raksasa anjuran Bersih Sabtu lalu dan penyerahan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, menuntut pilihanraya bersih dan adil, telah menjawab persoalan apakah Perdana Menteri benar-benar mahu mendengarkan kebenaran dari rakyat, sepertimana yang disuarakan berulangkali, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, reaksi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap perhimpunan anjuran Bersih dan penyerahan petisyen tersebut amat mengecewakan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin DAP itu menyifatkan dakwaan Abdullah bahawa perhimpunan dan penyerahan petisyen tersebut bertujuan untuk "memerangkap institusi raja-raja dan Yang di-Pertuan Agung dalam kancah politik pembangkang", sebagai tidak berasas sama sekali.
Menurut Lim lagi, Yang di Pertuan Agong melambangkan sumber keadilan di Malaysia dan adalah mengikut norma-norma dalam perlembagaan bagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai jalan lain untuk memperbetulkan keadaan keadilan, untuk merayu kepada Yang di Pertuan Agong supaya campurtangan.
Oleh itu, beliau menggesa Perdana Menteri dan kabinetnya supaya memberi pertimbangan serius terhadap petisyen yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya mengenepikannya secara yang tidak demokratik.
Sumber keadilan Katanya, ini ekoran keengganan kerajaan untuk melayan desakan-desakan pembaharuan dalam sistem pilihanraya bagi memastikan menyediakan 'padang permainan yang sama rata' bagi semua calon dan pilihanraya yang bersih dan adil dapat dilaksanakan di Malaysia.
"Kerana itulah, sewaktu sesi soaljawab (di Parlimen) saya berkata kerajaan harus mempertahankan simbol Seri Paduka sebagai sumber keadilan dengan memberi pertimbangan yang serius dan positif terhadap petisyen yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, yang disokong oleh perhimpunan raksasa anjuran Bersih Sabtu lalu.
Jika tidak kerajaan tidak bersikap adil kepada sistem beraja," katanya. Malah, katanya, mesyuarat kabinet Rabu ini harus memberi keutamaan kepada petisyen Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai desakan pembaharuan dalam sistem pilihanraya dan mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu mekanisme bagi memastikan pilihanraya umum akan datang, benar-benar bersih, bebas dan adil.
Malangnya, tambah Kit Siang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz tidak memberi jawapan secara rasional tetapi sebaliknya 'naik angin'. Lebih mengecewakan lagi, kata beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) enggan mengaku bahawa perhimpunan raksasa yang diadakan secara aman Sabtu lalu merupakan yang terbesar pernah diadakan sepanjang tempoh empat tahun Abdullah menjadi perdana menteri, yang juga membuktikan rakyat cintakan keamanan dan komited terhadap demokrasi.
Juga menyedihkan, katanya, angka rasmi perhimpunan Bersih itu pula - menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah 10,000 orang, sedangkan menurut para saksi, gambar dan rakaman video menunjukkan jumlahnya adalah antara 40,000 to 50,000.
"Jika Abdullah boleh bercakap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai revolusi sami Burma September lalu, dan pekerja Burma boleh berhimpun menganjurkan bantahan awam menyokong revolusi tersebut.
"Paling tidakpun apa yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia ialah mengakui legitimasi sungutan perhimpunan aman Bersih dan contoh 40,000-50,000 orang berkelakuan baik, walaupun terdapat provoksi dan penggunaan kekerasan melampau pihak polis dalam beberapa kejadian, termasuk menembak air dan geas pemedih mata -- dan memberi pertimbangan serius terhadap desakan pembaharuan dalam sistem pilihanraya itu," katanya
0 Pandangan
Post a Comment