Harakahdaily Report - Himpunan BERSIH

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 11/12/2007 04:36:00 PM | 0 Pandangan »






Unit Amal PAS terpaksa 'rempuh' sekatan FRU
Roy Rasul Foto Nasir Sudin Sat Nov 10, 07 7:31:30 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Perhimpunan aman rakyat anjuran Gabungan pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang bermula tengah hari ini iaitu selepas selesai solat Zohor, menyaksikan pasukan Unit Amal Malaysia (tentera merah) sebagai 'jaguhnya'.

Pasukan tersebut yang berbaju Tshirt merah hati dengan semangat jitu berjaya merempuh sebuah trak water canon yang menghala kepada orang ramai yang berkumpul di stesen LRT Masjid Jamek.

Walaupun dengan dianggotai kira-kira dua puluh ahli mereka berjaya memasuki ke persimpangan Jalan Sultan Abdul Samad dan Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk menuju ke Dataran Merdeka.

Bagaimanapun rempuhan mereka yang dibentuk ala aksi permainan rugby dihadang oleh pasukan FRU yang bersiap sedia mengawal di kawasan berkenaan.

Ketika itu kumpulan tersebut yang masih utuh dengan pembentukan kumpulannya ditendang oleh anggota FRU. Mereka terus dikepung dan terhenti di situ.

Dalam keadaan kelam kabut dan hujan pula lebat pasukan polis menghalau pihak media dan orang ramai yang berada di persekitaran situ.

Ketika ini orang ramai berlari semula ke stesen LRT kerana semburan gas pemedih mata di hala kepada mereka.

Laungan takbir dan ucapan Lailahalillah terus bergema.

Penulis dan beberapa rakan media lain yang berada di kaki lima Bank HSBC turut terkena semburan gas tersebut.

Sementara itu Ketua Unit Amal Malaysia, Jamsari Mat Som mendakwa dua orang daripada kumpulan tersebut ditahan polis iaitu Muhamad Zat dari Wilayah Persekutuan dan Nawawi Ludin dari Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu perhimpunan rakyat yang menuntut pilihan raya bersih menyaksikan gerombolan gelombang kuning menjadi kenyataan.

Bahkan persekitaran Masjid Jamek sesak dengan lautan manusia sejak awal tengah hari.

Tidak kira lelaki dan perempuan malah ada yang membawa anak ke perhimpunan itu yang boleh dimasukkan dalam lipatan sejarah negara.
Kesesakan tersebut juga berlaku di dalam Masjid Jamek apabila masuk saja waktu solat Zohor.
Pasukan polis dan Unit dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal di segenap penjuru kawasan tersebut.

Jalan di ibu kota juga sesak kerana beberapa jalan utama seperti Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan LRT Putra dan Star di Stesyen Masjid Jamek ditutup. - mr

------------------------------------------
Hak rakyat untuk berhimpun secara aman - Suhakam
Rizal Tahir Sun Nov 11, 07 7:01:44 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 11 Nov (Hrkh) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhujah rakyat sepatutnya dibenarkan mengadakan perhimpunan secara aman kerana itu adalah hak mereka.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Simon Sipaun berkata, lagi pun telah termaktub dalam perlembagaan yang membenarkan rakyat berhimpun atau berdemontrasi secara aman.

"Mereka berhimpun cuma hendak menunjukkan apa yang mereka hendak dan ia dituju kepada sasaran mereka. Apabila mesej disampaikan, mereka akan bersurai tanpa apa-apa masalah.

"Jika tidak boleh diadakan di Dataran Merdeka, kerajaan boleh memberi pilihan seperti di Stadium Bukit Jalil," katanya kepada pemberita selepas program Suhakam bersama masyarakat di Perdana Resort di sini, hari ini.
Suhakam diminta mengulas keengganan polis membenarkan perhimpunan aman dianjurkan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara semalam.

Puluhan ribu yang hadir terpaksa berdepan dengan tindakan keras pasukan polis apabila melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air berasid.

Perhimpunan tersebut dianggap berjaya biar pun diberi amaran keras Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sehari sebelum perhimpunan berlangsung.

Kehadiran puluhan ribu itu hanya digambarkan media pro kerajaan Barisan Nasional hanya sebanyak 4,000 orang sahaja hadir. Media harian utama berbahasa Melayu hari ini langsung tidak menyiarkan gambar lautan manusia pada perhimpunan tersebut.

Simon berkata, Suhakam telah mensyorkan kepada kerajaan supaya membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam menasihatkan kepada mereka yang telah dikasari pihak polis pada perhimpunan itu tampil membuat laporan kepada Suhakam.

"Setakat yang kami tahu pihak polis melakukan tangkapan secara bersih tanpa kekasaran. Selain mengunakan gas pemedih mata dan water cannon. Pihak kami setakat ini belum menerima apa-apa laporan kekasaran yang dilakukan anggota polis." katanya.

Menurutnya Suhakam membuat pemantauan semasa demontrasi berlangsung dan mendapati pihak polis bertindak setelah ada unsur-unsur provokasi dilakukan.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik berkata, larangan demontrasi melalui undang-undang yang dibuat menunjukkan sikap tidak demokrasi pemimpin negara ini.

"Siapa yang buat undang-undang sekat demontrasi secara aman diadakan. Ini menunjukan sikap tidak demokrasi pemimpin negara. Kita bukan di bawah pemerintahan tentera seperti Pakistan atau pun Myanmar," katanya.

Tambah beliau kalau hendak buat tangkapan biarlah mereka yang melawan secara fizikal seperti merusuh atau melontar batu sahaja ditangkap.

"Nak tangkap, tangkaplah mereka yang melakukan kekacauan seperti merusuh ataupun melontar batu. Tetapi selagi tidak ada provokasi dari pihak-pihak tertentu, saya yakin para peserta demontrasi berhimpun secara aman," ujarnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pesuruhjaya Suhakam, Ustaz Mohamad Uthman El'Muhamady. Dewan Duyung tempat berlangsung program tersebut penuh sesak dengan kehadiran orang ramai.

----------------------------------------------
Azalina dan Umno 'dayus' - Ustaz Mujahid
Mohd Sabri Said Mon Nov 12, 07 7:52:45 am MYT

PULAU PINANG, 12 Nov (Hrkh) - Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Azalina Othman Said diminta menarik balik kenyataannya yang mengatakan rakyat yang berhimpun secara aman menuntut pilihan raya yang bersih dan adil sebagai 'dayus' kerana tidak menghormati undang-undang negara.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa berkata Azalina sebenarnya 'dayus' kerana bersekongkol dengan orang yang tidak faham undang-undang walhal beliau mempunyai latar belakang berkaitan perundangan.

'Dayus' katanya bererti tidak berani, sekarang ini siapa yang tidak berani mengatakan hak rakyat atau beliau sebagai menteri dalam kabinet.

"Tarik balik perkataan 'dayus' yang digambarkan terhadap rakyat yang turun berhimpun menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Mereka bukan 'dayus' bahkan berani bersuara dan bertindak bukan macam kepimpinan Umno yang takut menegur walaupun tahu ianya salah," ujarnya.

Jika sekiranya rakyat dayus kenapa mereka sanggup berhimpun melebihi sasaran 100,000 dalam hujan lebat dan dihalangi pihak keselamatan.

Agak malu kata Ustaz Mujahid, bekas Ketua Puteri Umno yang mewakili generasi akan datang begitu cetek keperluan melindungi demokrasi di Malaysia.

Andainya Azalina bukan golongan 'dayus' dalam erti kata sebenar beliau pasti bersama-sama golombang kuning untuk memastikan sistem pilihan raya di Malaysia berjalan dengan adil dan jauh dari penipuan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Amizudin Ahmat ketika mengulas kenyataan yang sama berkata, yang 'dayus' ialah Umno termasuk Azalina kerana tidak berani menegur kepimpinan yang ada khususnya semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Di mana perginya suara Umno terhadap isu Altantuya, kenaikan tol, kenaikan harga barangan seharian, kes melibatkan pelantikan Ketua Hakim Negara, kes membabitkan Ketua Polis Negara dan sebagainya.

"Sepatutnya beliau antara golongan paling dayus kerana tidak bertindak bersuara bagi rakyat yang ingin tahu siapakah dalang terhadap semua kes yang melibatkan maruah negara, " tambahnya.- mks.
--------------------------------------------------

"RTM minta kami sebut Himpunan 10 November ganggu peniaga"
Helmi Khalid Mon Nov 12, 07 10:07:24 am MYT

ALOR STAR, 12 Nov (Hrkh) - "Ada empat orang lelaki yang mengaku mereka dari RTM datang kepada kami dan minta kami sebut bahawa Himpunan 10 November di Kuala Lumpur telah menimbulkan gangguan kepada peniaga dan semua orang takut bila ada himpunan seperti itu," demikian pengakuan Saw Lean Kiaw dari Alor Star.

Katanya, sekumpulan empat lelaki tersebut datang di tempat kerjanya di sebuah bangunan berdekatan sebuah IPTS di Jalan Langgar, dekat sini pada waktu tengahari (11 November) dan dilihat hanya memilih orang awam bukan Melayu untuk ditemuramah.

"Saya dan beberapa rakan dari kaum Cina tidak mahu ikut cakap mereka, kalau dia nak minta kami ulas tentang himpunan itu kami mahu, tetapi mereka 'ajar' untuk kutuk himpunan rakyat tersebut, kalau keluar TV bermakna ia bukan komen kami yang sebenarnya," sambung Kiaw.

Bagaimanapun menurutnya, mereka sempat merakamkan temubual bersama seorang lelaki India.

Ditanya sama ada beliau tahu nama wakil RTM terbabit, Kiaw memberitahu mereka hanya memperkenalkan diri sebagai wakil RTM tetapi tidak memperkenalkan nama.

Ketika pertemuan dibuat sekitar jam 8.00 malam tadi bersama Kiaw, kebetulan sambil menonton siaran berita RTM, ternyata 'perancangan' tersebut benar-benar direalisasikan RTM yang menyiarkan kononnya orang ramai mengutuk himpunan itu atas alasan telah menimbulkan kacau bilau serta menakutkan para peniaga di Kuala Lumpur.

Kiaw menyatakan, masyarakat Cina di Alor Star tidak menganggap himpunan aman itu sesuatu yang menimbulkan gangguan jika ia bertujuan untuk mengembalikan keadilan dalam pilihan raya negara ini.

--------------------------------------------------

Memo Bersih : PM perkecil raja-raja
Wan Nordin Wan Yaacob Mon Nov 12, 07 10:40:17 am MYT
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Hrkh) - PAS membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan pembangkang mengheret raja-raja ke kancah politik dengan menyifatkan ianya sebagai usaha memperkecilkan pemikiran dan kedudukan raja-raja.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar yang menghubungi Harakahdaily pagi tadi berkata, kenyataan Perdana Menteri itu memperlihatkan bahawa Umno kini berada dalam situasi tertekan setelah melihat himpunan rakyat pada sabtu lalu cukup berjaya.

Beliau yang turut kesal dengan kenyataan Perdana Menteri itu menyatakan jika sebelum ini Perdana Menteri menggunakan media untuk mencabar rakyat berhimpun, kini memanipulasikan semula himpunan itu dengan menuduh pembangkang mempolitikkan raja-raja.

Beliau mengulangi pendirian bahawa PAS dan pembangkang lain dalam Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) tidak pernah mempolitikkan raja-raja.

Memorandum tuntutan Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu lalu adalah suara rakyat yang mana mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan perjalanan pilihan raya di negara ini.

Sebagai institusi yang bertanggungjawab melantik SPR, raja-raja Melayu adalah tempat yang sesuai dan tepat bagi melahirkan suara rakyat terhadap memperbetulkan kepincangan yang ada.

Sementara itu Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat turut menyelar kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung himpunan 100,000 rakyat anjuran Bersih.

Menurut Kamarudin, kenyataan Najib bahawa Umno pun boleh mengadakan himpunan yang sama seperti pembangkang, memperlihatkan ketakutan yang amat sangat pemimpin nombor dua Umno itu terhadap himpunan yang diadakan oleh Bersih.

Amat malang sekali setelah media-media pro Umno memperkecilkan himpunan anjuran Bersih dengan hanya menyatakan 4000 sahaja yang sertai himpunan itu, hari ini TPM pula menyatakan 10,000 yang menyertai.

Kata Kamarudin, rakyat kini tidak boleh diperbodoh atau dicabar lagi, dan natijahnya sabtu lalu kemarahan rakyat dijelmakan dalam himpunan 100,000 rakyat di hadapan Istana Negara.

Agong ada hak tangguh pilihan raya?
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Guaman dan Hak Asasi PAS, Hanipa Maiden yang diminta mengulas bidang kuasa raja-raja dalam isu ini berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menangguhkan pembubaran Parlimen.
Ia boleh dilakukan sekiranya berdasarkan penelitian yang dibuat bahawa SPR masih gagal untuk memastikan sistem pilihan raya berjalan dengan adil dan telus, katanya yang juga seorang peguam.

Jelasnya, walaupun Perdana Menteri meminta izin untuk berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong bagi memutuskan tarikh pembubaran Parlimen, Baginda mempunyai kuasa untuk menangguhkan pilihan raya sehingga baginda benar-benar berpuas hati dengan kredibiliti dan ketelusan SPR

Hal ini adalah seiring dengan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dalam memorandum yang diserahkan kepada Agong 10 November lalu, agar baginda bertindak untuk memastikan perjalanan pilihan raya pada kali ini berlangsung dengan adil dan telus, katanya.

Terdahulu Perdana Menteri menyifatkan tindakan pembangkang menyerahkan memorandum berhubung dengan beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia kepada Istana Negara sebagai cubaan mengheret institusi raja terutama Yang di-Pertuan Agong ke dalam kancah politik.

"Bagaimanapun, saya percaya Yang di-Pertuan Agong lebih matang dan tidak terperangkap dengan taktik politik mereka (parti pembangkang)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konges ke-22 Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan di Hongkod Koisaan KDCA, semalam.

"Tentu sekalilah. Apabila mereka bertindak begitu, mereka cuba mengheret raja dan Yang di-Pertuan Agong atau memerangkap (Yang di-Pertuan) Agong dalam politik mereka," kata Abdullah.

Sabtu, seramai 10 wakil termasuk Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang; ; Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; dan beberapa pimpinan NGO menyerahkan memorandum itu kepada Istana Negara.
Dianggarkan lebih 100,000 rakyat berhimpun di merata tempat sekitar Kuala Lumpur setelah pihak polis bertindak menghalang himpunan dari pelbagai arah menuju ke himpunan besar di Istana Negara.

Seramai lebih 40 peserta himpunan ditangkap dan dibebaskan pada hari yang sama.Polis telah menggunakan 'water cannon' dan gas pemedih mata untuk menghalang himpunan di Dataran Merdeka yang mahu meneruskan himpunan ke Istana Negara.

---------------------------------------------

Sokong tuntutan Bersih, PAS cadang pakai baju kuning setiap Sabtu
Azamin Amin Mon Nov 12, 07 10:53:50 am MYT

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Hrkh) - Dalam Mesyuarat PAS Pusat semalam mencadangkan supaya ahli,para penyokong PAS dan rakyat Malaysia amnya memakai baju kuning 'Bersih' setiap hari Sabtu sebagai tanda sokongan terhadap tuntutan rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya adil dan demokrasi negara dipulihkan.

Ini adalah sebagai satu lanjutan kepada perhimpunan rakyat yang telah berjaya diadakan pada 10 November lepas sehingga Kuala Lumpur diwarnai landskap manusia berbaju kuning yang menyatakan sokongan terhadap tuntutan Bersih itu.

Mengulas lanjut isu tersebut Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar berkata cadangan itu telah dibangkitkan oleh salah seorang AJK PAS Pusat namun cadangan tersebut akan diputuskan tidak lama lagi.

"Cadangan tersebut amat positif. Pemakaian itu sebagai satu simbol sokongan rakyat yang mahukan perubahan dalam demokrasi negara yang semakin pincang dan mahukan supaya tuntutan pilhanraya yang bersih dan adil dapat dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Ia masih di peringkat cadangan dan kita akan putuskan tidak lama lagi." katanya lagi.

Dalam pada itu aktivis politik Ruhanie Ahmad dalam blognya juga turut mencadangkan supaya 'Gelombang Kuning' dengan pakaian kuning setiap Sabtu.

"Gelombang kuning perlu terus digelorakan di seluruh pelusuk tanahair tercinta. Bukan dengan perarakan ke Istana Negara di Kuala Lumpur sahaja," katanya dalam blognya Kuda Kepang.

"Tapi, hanya dengan memakai pakaian - baju, baju-t, tudung, necktie, selendang, kot, jubah, serban, seluar, skirt atau topi berwarna kuning pada setiap hari Sabtu," katanya

Katanya pemakaian warna kuning pada setiap Sabtu mulai hujung minggu ini sebagai simbol kasih dan sayang kita kepada Raja dan Negara dan tindakan ini amat bersesuaian dengan prinsip kedua Rukun Negara di mana rakyat mengikrarkan kesetiaan kepada Raja dan Negara pada setiap masa.

"Kita juga kenakan pakaian warna kuning setiap Sabtu untuk memperingati Sabtu 10:11 atau Sabtu 10 November 2007, tarikh bermulanya gelombang kuning di negara ini," cadangnya lagi. - mks.

0 Pandangan