Najib : Pilihanraya Dah Dekat Dah!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 11/06/2007 07:51:00 AM | 0 Pandangan »

BN mampu ulangi kejayaan p'raya 2004, kata Najib - Malaysiakini
Nov 6, 07 7:18am


Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, yakin dapat mengulangi kejayaan dengan majoriti lebih dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang berasas kepada kekalahan parti pembangkang dalam lima pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, Umno telah menewaskan PAS dalam pilihanraya kecil Kuala Berang dan Pengkalan Pasir, DAP di kerusi Machap, PKR di Ijok manakala calon Bebas kehilangan deposit di Batu Talam.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno supaya melipatgandakan persiapan untuk menghadapinya.

Beliau menegaskan bahawa realiti politik di negara ini menghendaki kemenangan dengan majoriti dua pertiga untuk memerintah dengan berkesan dan memastikan kestabilan.

Berucap merasmikan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Putra malam tadi, Najib berkata Umno menang dengan majoriti besar kerana sokongan rakyat yang mantap kepada parti itu dan BN.

Sehubungan itu, Najib mahu pendekatan 4M dijadikan formula kesiapsiagaan menghadapi pilihanraya kali ini, iatu merapatkan barisan Umno dan parti komponen BN, menambah anggota dan pengundi, mesra rakyat dan menyelesaikan segala masalah serta rungutan rakyat dengan cekap.


"Ada dua kaedah utama untuk menarik hati rakyat iaitu dengan melakukan perkara yang rakyat suka dan menghindarkan perkara yang mereka benci.


"Khidmat yang baik kepada rakyat tidak mengira masa; siang, malam, pagi, petang, subuh mahupun senja. Apabila hati rakyat sudah tertambat - umpama dara dan teruna yang sedang berkasih akan membawa ke jinjang pelamin - nescaya sokongan rakyat kita dapat," kata Najib.


Beliau juga menasihatkan orang Melayu supaya tidak berpecah kerana perbezaan politik ia turut menjejaskan umat Islam di negara ini yang dianggap contoh oleh negara-negara Islam seluruh dunia.


Najib turut menyentuh tindakan Pemuda Umno menjadikan keris sebagai simbol untuk dikucup dan dihunus, yang tidak wajar dijadikan isu oleh pembangkang kerana pergerakan itu bukan mengisytiharkan perang.


Sebaliknya, kata beliau, Ia menegaskan perjuangan membela nasib bangsa dalam ruang lingkup hak serta perlembagaan negara dan tidak seharusnya dikelirukan sehingga boleh menjejaskan perpaduan.


Menurutnya, ketika Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan tarikh kemerdekaan dalam program khas di Bandar Hilir Melaka pada 20 Februari 1956, Wanita Umno telah menyerahkan sebilah keris berumur 100 tahun yang dihunus sebagai tanda kejayaan perjuangan dan disaksikan oleh semua kaum.


Najib juga meminta diambil iktibar daripada kisah penderma dan penerima jantung baru-baru ini yang merentas sensitiviti antara kaum di negara ini, dengan merujuk pemindahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 15 Dis 2005 melibatkan Muhammad Fikri Nor Azmi, 17. Fikri telah menerima jantung dari seorang penderma bukan Melayu dan kini berada dalam keadaan sihat dan hidup normal seperti remaja lain.


Kes terbaru membabitkan Tee Hui Yee, 14, yang menjalani pembedahan jantung pada 5 Oktober lalu, setelah menerima jantung yang didermakan oleh seorang remaja Melayu dan kemudian jantung seorang remaja Cina yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya.


"Inilah dua kisah benar yang menyentuh hati, menjadi lambang perpaduan yang amat unik dan bersejarah. Kisah ini elok kita jadikan teladan yang berupaya merapatkan hubungan kaum dan amat baik untuk dijadikan resipi dalam mengangkasa tamadun bangsa," katanya.


Beliau juga mahukan anggota Umno supaya merakyatkan perjuangan parti dan meminta agar gerakan menambah anggota Umno diteruskan menerusi Kempen Keluargaku Ahli Umno.


Najib berkata data terkini menunjukkan anggota Umno mencecah 3,345,612 orang dari 20,391 cawangan, 191 bahagian di 13 buah negeri.

0 Pandangan