Suhakam Tidak Dapat Adakan Siasatan Awam

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/09/2007 08:30:00 PM | 0 Pandangan »

Batu Buruk: Suhakam tidak dapat adakan siasatan awam
Oct 9, 07 6:41pm
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memutuskan tidak akan mengadakan siasatan awam berhubung kejadian rusuhan di Batu Buruk, Terengganu bulan lalu, atas alasan perundangan.
Keputusan itu dibuat walaupun maklumat yang dikumpulkan dalam siasatan awal Suhakam mendapati terdapat bukti keganasan polis dan pelanggaran hak asasi manusia sewaktu kejadian tersebut.
Dalam taklimat mengenai hasil siasatan awal itu di Kuala Lumpur hari ini, Suruhanjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam berkata, suruhanjaya itu "tidak mempunyai kuasa" untuk menyiasat rusuhan tersebut kerana ada kes mengenainya di mahkamah.
Khair Muzakkir Ali, 22, telah didakwa di mahkamah atas tuduhan merosakkan hartabenda awam dan gagal menunjukkan kad pengenalan diri kepada polis sewaktu kejadian rusuhan tersebut.
Siva berkata, Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 melarang suruhanjaya itu daripada menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia apabila kes berkaitan sedang dibicarakan di mahkamah.
“Jika undang-undang membenarkan, kita pasti menimbang (untuk mengadakan siasatan awam)," katanya ketika ditanya jika suruhanjaya tersebut akan mengadakan siasatan awam jika tiada lagi kes mengenainya didengar di mahkamah.

0 Pandangan