Perlunya PAS melahirkan peguam Seperti Hanipa Maidin

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/28/2007 11:01:00 AM | 0 Pandangan »

Presiden PAS dapat keadilan di London
Mohamed Hanipa Maidin
Fri Oct 26, 07 2:25:52 pm MYT
Pada 1 May 2007 yang lalu, akhbar the Daily Mirror telah menerbitkan gambar Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai sebahagian daripada siri artikel mereka berkaitan perancangan untuk melancarkan serangan pengganas di United Kingdom.
Perancangan itu termasuklah untuk mengebom Pusat membeli belah Bluewater di Kent. Gambar Ustaz Hadi muncul di akhbar tersebut dengan tajuk "AL-QAEDA - Abdul Hadi" dan dinyatakan bahawa beliau adalah pemimpin nombor 3 Al-Qaeda dan sedang ditahan di Guantanamoa Bay.

PAS mengetahui berita tersebut melalui rakyat Malaysia yang berada di UK yang telah memaklumkan kepada Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS. Ustaz Nasaruddin kemudiannya telah menghantar artikel itu menerusi e-mel kepada saya.

Semasa mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, di atas kapasiti sebagai Pengerusi Lajnah Guaman dan Undang-Undang PAS Pusat, saya telah mencadangkan agar Ustaz Hadi memfailkan saman fitnah ke atas akhbar tersebut. Cadangan itu telah dipersetujui sebulat suara oleh PAS Pusat. Pada bulan Julai yang lalu saya dan Ustaz Hadi bergegas ke London untuk berjumpa peguam. Kami telah disarankan oleh beberapa orang kawan di sana untuk menggunakan khidmat firma Carter Ruck - firma yang paling 'top' di London malahan di Eropah di dalam menangani kes fitnah.

Firma tersebut juga mewakili beberapa tokoh pemimpin gerakan Islam di dunia seperti Sheikh Yusuff Al-Qaradhawi, Rachid Ghanoussi (pemimpin parti Islam Al-Nahdah, Tunisia ), Yusuf Islam, Khursid Ahmad dan beberapa tokoh Islam yang lain.

Sebaik sahaja kami melangkah ke firma tersebut, kami dibawa bertemu dengan peguam mereka iaitu Adam Tudor, peguam lepasan Universiti Oxford. Hasil pertemuan yang memakan masa hampir dua jam itu, firma tersebut bersetuju mewakili Ustaz Abdul Hadi kerana jelas berita yang disiarkan oleh Daily Mirror adalah satu fitnah yang amat jahat kepada Ustaz Abdul Hadi.

sokong Hamas

Semasa pertemuan dengan Adam Tudor, beliau begitu yakin bahawa Ustaz Abdul Hadi akan menang kes ini tetapi berasa sedikit bimbang kerana Daily Mirror akan menggunakan ucapan-ucapan Ustaz Hadi yang menyokong Hamas (khususnya berkaitan dengan pengebom berani mati) untuk menyerang Ustaz Abdul Hadi.

Semasa pertemuan tersebut, Ustaz Abdul Hadi disoal oleh peguam beliau sendiri dan soalan-soalannya menyerupai soalan-soalan di rancangan 'hard talk' yang disiarkan oleh BBC. Soalan tentang Hamas, Yahudi, perlaksanaan syariah dibangkitkan di pertemuan tersebut dan ini menjadikan perbincangan itu sangat hangat tetapi hidup. Nyata Adam telah bersedia lebih awal.

Pada 27 Julai 2007 Firma Carter Ruck menulis kepada Daily Mirror dan meminta antara lain agar Daily Mirror meminta maaf kepada Ustaz Hadi dan menerbitkan kata-kata maaf tersebut di akhbar tersebut; memohon kemaafan di hadapan Hakim di Mahkamah Tinggi London; membayar ganti rugi kepada Ustaz Hadi dan membayar semua kos guaman Ustaz Hadi. Apa yang menakjubkan, pada hari yang sama akhbar Daily Mirror melalui peguamnya, Partington telah bersetuju dengan segala tuntutan Ustaz Hadi.

Pada mulanya pihak Daily Mirror meminta supaya kata-kata maaf tersebut yang akan disiarkan oleh akhbar itu mengandungi juga kata-kata Ustaz Abdul Hadi menyokong Hamas dan Jihad Islam dan apabila hal tersebut dimaklumkan kepada kami, saya bagi pihak Ustaz Hadi telah memaklumkan Adam bahawa rujukan kepada Hamas dan Jihad Islami adalah tidak relevan bagi kes ini.

Adam juga bersetuju dengan kami dan menyatakan jika rujukan itu dibuat, ia tidak akan memulihkan imej Ustaz Hadi di kaca mata orang Barat. Akhirnya Daily Mirror bersetuju rujukan kepada Hamas dan Jihad Islami hendaklah dibuang.

Tetapi perlu dinyatakan di sini tindakan pihak Daily Mirror bersedia meminta maaf dengan segera kepada Ustaz Hadi dan juga memenuhi tuntutan-tuntutan Ustaz Hadi yang lain menunjukkan tahap profesionalisme dan akauntabiliti yang tinggi akhbar tersebut khususnya di dalam mengakui kesilapan yang mereka telah lakukan.

Hal ini jarang atau hampir mustahil berlaku di Malaysia. Saya pada masa ini mewakili Ustaz Misbahul Munir yang difitnah oleh akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan berita bahawa beliau berucap di Muktamar PAS yang lalu dan menghentam ulama PAS. Ia jelas satu fitnah kerana Misbahul Munir langsung tidak berucap di Muktamar tersebut. Firma saya telah menulis kepada pihak Utusan untuk antara lain menuntut mereka memohon maaf tetapi sehingga kini tiada sebarang maaf daripada pihak Utusan. Lihatlah perbezaannya.

bela tokoh-tokoh Islam

Saya juga menyaksikan tahap profesionalisme yang tinggi juga dipamerkan oleh firma-firma guaman di London dalam menyelesaikan satu-satu kes. Meskipun firma Carter Ruck tidak langsung mempunyai seorang peguam beragama Islam, mereka dengan senang hati bersedia mewakili anakguam mereka yang beragama Islam seperti Ustaz Hadi meskipun mereka arif bahawa Ustaz Hadi adalah tokoh gerakan Islam dan juga Presiden Parti Islam di Malaysia!

Saya sempat bertanya kepada Adam adakah beliau tidak takut membela tokoh-tokoh Islam seperti Ustaz Hadi. Beliau mengakui tidak langsung berasa takut malahan gembira mewakili Ustaz Hadi. Adam juga menyatakan bahawa beliau semakin mengenali Islam dan pengikutnya selepas berpengalaman mewakili tokoh-tokoh gerakan Islam.

Di Malaysia para peguam agak takut untuk mewakili tokoh-tokoh pembangkang khususnya PAS kecuali peguam-peguam yang dikaitkan dengan pembangkang. Saya masih ingat pernah anakguam saya dari Pahang yang terpaksa mendapatkan khidmat firma saya di Kuala Lumpur bagi menyaman satu institusi yang ada hubungan dengan Kerajaan Pahang.

Anak guam saya itu memaklumkan kepada saya, meskipun beliau telah menghubungi beberapa peguam di Kuantan namun banyak yang tidak bersedia mewakili beliau kerana tidak berani 'melawan' Kerajaan Pahang yang diterajui Umno.
Alhamdulillah pada 19 Oktober yang lalu saya sempat bersama-sama Ustaz Hadi dan juga Dr Dzulkifli Ahmad hadir di Mahkamah Tinggi di London bagi menghadiri prosidng yang dipanggil 'statement in open court' di hadapan Yang Arif Hakim Eady, Hakim Mahkamah Tinggi di London.

Semasa di London kami sempat juga berjumpa Khursid Ahmad, tokoh Jamaat Islami Pakistan dan Rachid Ghanoussi (pemimpin parti Islam Al-Nahdah, Tunisia) yang amat bergembira dengan kejayaan Ustaz Hadi tersebut.

Rachid Ghanoussi yang hidup dalam buangan di London, secara bergurau menyatakan Ustaz Hadi marah dengan Daily Mirror kerana dikaitkan dengan pemimpin nombor 3 al-Qaeda dan bukannya pemimpin nombor 1 gerakan tersebut!

0 Pandangan