Pemuda BA serah memorandum kutuk kekejaman junta

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/02/2007 04:11:00 PM | 0 Pandangan »


Nyza Ayob Tue Oct 02, 07 3:18:57 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Sungguhpun dihalang oleh kira-kira 50 orang anggota polis termasuk Polis Simpanan Persekutuan (FRU), Pemuda Barisan Alternatif (BA) berjaya menyerahkan Memorandum Bantahan Terhadap Regim Junta di pekarangan Kedutaan Myanmar hari ini.

Memorandum yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin itu diterima oleh Kaunselor Menteri, Kedutaan Myanmar, Win Myint di pekarangan kedutaan disaksikan oleh anggota polis yang kelihatan cuba mengawal keadaan.

Turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut ialah Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua.

Antara lain memorandum tersebut menyatakan Pemuda BA mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan oleh junta Myanmar di atas serangan terhadap peserta demonstrasi pada minggu lepas yang menyebabkan kecederaan dan kematian.

Mereka juga mendesak junta supaya mengembalikan Myanmar ke arah negara yang lebih demokratik melalui proses pilihan raya yang bersih dan adil, bagi membolehkan rakyat negara itu menentukan kerajaan mereka.
Di samping itu, kerajaan junta didesak agar membebaskan Aung San Su Kyi yang cuba membawa perubahan dan proses demokrasi di Myanmar.

Selain itu, memorandum tersebut menyatakan Asean sepatutnya mengambil peduli cadangan yang pernah diutarakan oleh bekas Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1997 yang mendesak ASEAN campur tangan dalam isu ini. Jika cadangannya diterima dan disokong oleh anggota yang lain seperti Thailand dan Filipina, pasti banyak nyawa boleh diselamatkan.

Dalam pada itu, Pemuda BA turut menekankan agar Menteri Luar, Dato' Syed Hamid Albar supaya menyingkirkan Myanmar daripada Asean sekiranya kerajaan junta masih berdegil dan bertindak kejam.

"Kami juga mengharapkan agar isu di Myanmar ini akan menjadi isu utama yang akan dibincangkan dalam Persidangan Asean yang dijadualkan berlangsung di Singapura, November ini.

"Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mendesak sayap pemuda dalam Asean agar memberi tekanan kepada kerajaan mereka untuk menyingkirkan Myanmar dalam Asean," kata Salahuddin.

Sehubungan itu, Salahuddin menyatakan, memorandum bantahan itu juga akan diserahkan kepada sekretariat Asean di Jakarta. Salahuddin juga akan mengemukakan usul mengenai isu tersebut agar dibahaskan di sidang Dewan Rakyat pada 22 Oktober akan datang. - mks.

0 Pandangan