Surat layang ini telah disebarkan kepada penduduk di DUN Sungai Balang sempena Himpunan Pemuda PAS Johor baru-baru ini. Sila klik gambar untuk membaca surat tersebut.
----------------------------------------
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah dimaklumkan oleh Pemuda PAS Muar bagaimana tindakan pihak tertentu yang cuba menghasut penduduk di dalam Dun Sungai Balang supaya tidak menerima apa-apa sumbangan daripada PAS kawasan Muar yang dikatakan hanya memberikan sumbangan setahun sekali berbanding dengan kerajaan pimpinan UMNO.
Surat yang ditujukan khas kepada seluruh penduduk Sungai Balang ini telah diserahkan oleh salah seorang penduduk yang mendakwa menerima surat tersebut dan difahamkan telah disebarkan ke serata tempat untuk menanamkan rasa kebencian kepada PAS.
Di dalam surat ini juga telah dinyatakan bahawa PAS juga akan mengadakan ceramah pada sebelah malam 29 September 2007 dengan membariskan penceramah Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Azman Shafawi.
Surat layang ini telah melarang penduduk Sungai Balang daripada mendengar ceramah tersebut kerana "biasanya orang yang pernah mendengar ceramah PAS akan merasa seronok untuk mendengarnya lagi. Sah, mereka ini memang pakai SYAITAN dan IBLIS untuk pukau para pendengar."
DPPNJ melihat bahawa tindakan menyebarkan surat layang ini menunjukkan bahawa UMNO semakin tertekan untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat khususnya di kalangan orang melayu yang semakin meragui kemampuan UMNO untuk membela nasib mereka.
Dengan pelbagai isu yang sedang melanda rakyat pada hari ini seperti kenaikan harga barang yang melampau tanpa dapat dikawal oleh kerajaan, kadar jenayah yang semakin menjadi-jadi, isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang bakal meragut hak dan kedaulatan rakyat khususnya orang-orang melayu di Johor dan isu kehakiman yang semakin diragui kebebasannya telah menyebabkan rakyat semakin terhimpit.
DPPNJ yakin dan percaya usaha yang telah dilakukan oleh PAS di semua peringkat telah semakin diperakui oleh rakyat secara umumnya.
Semoga rakyat tidak akan selama-lamanya diperbodohkan oleh kerajaan pimpinan UMNO/BN selama-lamanya. Rakyat semakin peka dengan perkembangan yang berlaku terhadap mereka dan rakyat jugalah yang akan menentukan siapa yang akan menjadi pilihan mereka sebagai kerajaan pada pilihanraya umum yang akan datang.
Penyebaran surat layang seperti ini tidak akan dapat membantutkan usaha DPPNJ terhadap kerja kebajikan dan penerangan malah DPPNJ akan terus melipatgandakan usaha seperti ini pada masa akan datang.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
0 Pandangan
Post a Comment