Kenyataan Media DPPNJ - Isu Feri Terbakar

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/17/2007 07:43:00 PM | 0 Pandangan »

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang telah maut dalam tragedi kebakaran sebuah feri penumpang Seagull Ekspress kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman itu.

Empat mangsa yang maut dipercayai lemas dikenali sebagai Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur; Hong See Tiew, 53 dan Teh Siew Lian, 52, masing-masing dari Klang dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Peristiwa yang berlaku pada 13 Oktober 2007 bersamaan 1 Syawal 1428 itu telah menggemparkan negara kerana ianya berlaku pada saat umat Islam sedang menyambut Hari Raya Idil Fitri yang pertama dan langkah keselamatan yang begitu rapi diberikan tumpuan di jalanraya bagi kenderaan darat.

Kemalangan ini yang melibatkan tiga anak kapal dan 103 penumpang feri Seagull Express turut mengakibatkan beberapa penumpang cedera parah ialah Yong Sai Yoon, 26; Lee Jhi Yin, 35; Chong Wing Yi, 7 dan Nga Lee Ling, 14 manakala tiga yang masih hilang ialah Wong Sing Ling, 37; Chong Yong Kim, 43, kedua-duanya dari Klang dan Wong Han Wan, yang umur dan alamatnya belum diketahui.

Pelbagai gambaran dan maklumat awal terhadap kejadian ini telah disiarkan oleh media. Kejadian berlaku ketika feri itu dalam perjalanan dari Jeti Mersing ke Jeti Genting Tioman. Diantaranya;

i. Jabatan Laut mengesahkan feri itu beroperasi secara haram dan tidak memiliki sijil untuk mengangkut penumpang. Maklumat terkini, Dua pegawai Jabatan Laut di Mersing berpangkat merinyu kapal telah digantung tugas berkuatkuasa serta merta, sementara menunggu siasatan tragedi malang feri terbakar dan karam di perairan Pulau Tioman Sabtu lepas.

ii. Pejabat Pelabuhan Mersing mengakui feri berkenaan pernah ditahan awal tahun ini kerana melakukan beberapa kesalahan dan masih belum dibenarkan beroperasi semula kerana gagal mematuhi syarat ditetapkan.

iii. Kapten feri bersama dua krewnya telah terjun awal tanpa mengambil apa-apa tindakan terhadap kebakaran feri tersebut. Feri tersebut juga dikatakan tidak mempunyai jaket keselamatan yang mencukupi dan berada dalam keadaan yang uzur.

Namun begitu, pengurusan Seagull Express menafikan pelbagai dakwaan terhadap ferinya yang terbakar dan karam dalam kejadian berhampiran Pulau Tioman, Pahang itu. Pengarahnya, Liew Ah Hua berkata bahawa;

i. Semua feri milik syarikatnya mempunyai lesen dan permit yang sah untuk menyediakan perkhidmatan penumpang ke Pulau Tioman dan pulau peranginan lain di negeri ini.

ii. Kejadian feri terbakar itu adalah kali pertama terjadi kepada syarikatnya juga menafikan ia membawa muatan berlebihan.

iii. Pihaknya hanya membawa kira-kira 100 penumpang pada hari berkenaan walaupun kapasiti feri ialah 120 penumpang.

iv. Feri Seagull menempatkan 150 jaket keselamatan di ruangan atas pada kiri dan kanan kabin.

v. Dua bot penyelamat yang ditempatkan di belakang feri.

vi. Kapten feri telah membuat pengumuman pada masa kejadian mengarahkan semua penumpang mendapat dan memakai jaket keselamatan tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana terlalu panik.

Begitu juga kenyataan daripada kapten feri tersebut, Wan Fahrorozi Wan Naman yang menafikan bahawa beliau dan pembantu-pembantunya telah terjun awal ke laut sambil menegaskan beliaulah orang terakhir mencecahkan diri ke dalam air laut.

Apa yang membimbangkan adalah, setiap kali berlakunya bencana dan malapetaka maka barulah arahan tegas dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Apabila berlaku tanah runtuh maka arahan supaya setiap projek pembangunan dicerun-cerun bukit diperiksa supaya mematuhi syarat serta spesifikasi yang ditetapkan, apabila berlakunya kemalangan dan kematian yang melibatkan bas ekspress maka semua bas ekspress diperiksa sama ada mematuhi syarat serta spesifikasi yang ditetapkan dan begitulah juga kepada apa jua yang berlaku.

Persoalannya, adakah kita perlu menunggu sehingga saat berlakunya kemalangan dan kematian barulah penguatkuasaan diperketatkan? Ini adalah fenomena yang ‘normal’ dalam negara kita.

DPPNJ menegaskan bahawa unsur rasuah dan penyelewengan sudah pasti menjadi topik utama dalam peritiwa ini. Petuduhan oleh pihak berkuasa dan penafian oleh pihak pengusaha feri perlu diambil kira untuk menentukan siapakah yang bersalah terhadap isu ini.

Jika benar feri tersebut telah beroperasi secara haram dan tidak memiliki sijil untuk mengangkut penumpang serta pernah ditahan pada awal tahun ini masih boleh beroperasi tanpa sebarang tindakan maka sudah tentu terdapat kelemahan dalam penguatkuasaan yang sudah pasti dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan.

DPPNJ juga menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius terhadap keselamatan rakyat yang ketika ini sudah semakin tidak selamat berada dimana-mana pada setiap ketika. Jika sebelum ini keselamatan di jalanraya diberikan perhatian serius maka keselamatan penumpang dijalan laut juga perlu mendapatkan keutamaan.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
019-7701830
----------------------------------
Kepada Pak Lah : Bangunlah daripada tidurmu…

0 Pandangan