Pemuda PAS Terus Mengorak Langkah

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 9/30/2007 08:55:00 PM | 0 Pandangan »

Laporan daripada Sdr Nazman Che Ibrahim,
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional DPPNJ.
Malam tadi, saya bersama 12 orang ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Johor hadir dengan kapasiti sebagai Lujnah Perpaduan Nasional DPPNJ ke Freedom Film Festival di Jotic Auditorium, Johor Bahru. Maklumat lengkap mengenai program ada di dalam entry yang di post beberapa hari yang lepas.

Malam ini, kami berkesempatan menonton 3 buah video pendek yang kesemuanya berbentuk anti perkauman (non-racisme), hak samarata dan sejarah yang disembunyikan. Filem pertama yang bertajuk I Love Malaya mengisahkan bagaimana perjuangan ahli-ahli Parti Komunis Malaya yang diketuai oleh Chin Peng untuk pulang ke tanah air mereka, iaitu Malaysia.

Bilangan mereka ini cukup ramai dan sekarang menetap di Selatan Thailand. Hampir 50 tahun mereka berada di sana dan dinafikan hak untuk pulang ke Malaysia atas perkiraan bahawa mereka mungkin akan kembali berjuang untuk menegakkan ideologi komunis di negara ini. Mungkin ya dan mungkin tidak. Cuma, apa yang pasti adalah kesemua daripada mereka sudah pun berumur 80 tahun dan ke atas.

Ada yang ingin pulang ke Malaysia, ataupun dahulunya Malaya kerana rasa cinta yang mendalam terhadap tanahair . Kata mereka, Malaya menjadi tempat mereka berjuang menentang penjajahan Jepun dan juga British. Maka sudah pasti semangat patriotik mereka juga amat mendalam. Keduanya, kesemua sanak saudara dan rakan-rakan mereka masih berada di sini.


Bersama Brother Ong Boon Keong, pengarah bagi filem pendek yang memperjuangkan nasib penduduk setinggan di Penang.
Namun, ada juga yang ingin terus menetap di Selatan Thailand kerana di sana, mereka telahpun diberikan kerakyatan oleh Kerajaan Thai dan dihadiahkan tanah serta rumah kediaman. Dan, mereka juga melihat akan kesukaran yang dihadapi oleh golongan yang memohon untuk kembali pulang ke Malaysia yang mana mereka hanya diberikan sedikit elaun untuk beberapa bulan dan, thats it, itu sahaja. Ramai antara mereka yang pulang ke sini, merempat sahaja hidupnya.

Aduh, agak kasihan melihatkan nasib mereka yang dihalang daripada pulang ke tanah air ini. Ya, memang benar bahawa mereka dahulunya ada melakukan kekejaman kepada rakyat Malaya, namun sukar sangatkah kita untuk memaafkan mereka? Jika Jepun yang pernah melakukan kesalahan dengan menjajah negara kita, membunuh dan memancung rakyat kita, menyiksa mereka dengan meminum air sabun dan kemudian dipijak perutnya, mengerahkan kerja buruh paksa di landasan keretapi maut, merogol dan mencabul anak gadis tempatan dan sebagainya mampu untuk kita lupakan, kenapa tidak kepada mereka yang memiliki faham komunis ini? Bahkan pada hari ini, orang kita cukup suka dengan Jepun, belajar di sana, menonton ribuan jenis anime mereka saban hari, filem dan drama bersiri Jepun, bahkan diwujudkan Dasar Pandang Ke Timur!

Lantas, jika benar mereka sudah berubah dan insaf atas semua perbuatan yang dahulu, maka benarkanlah mereka pulang. Mereka juga rakyat negara kita, yang pernah suatu ketika dahulu mengangkat senjata menentang Tentera Jepun.

"Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka"

Begitu bunyinya filem yang terakhir kami tonton malam tadi. Ia mengisahkan perjuangan rakyat sepuluh tahun sebelum 1957 dengan mengambil sudut dan dimensi yang berbeza daripada apa yang kita dengar dan lihat sehari-hari.

Sebenarnya, sejarah yang ada pada hari ini agak kabur 'jalan ceritanya'. Sejarah perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan hanya diceritakan secara serius bermula dengan penubuhan UMNO semata-mata. Dan, rakyat dididik bahawa UMNO-lah yang menjadi pejuang yang tunggal dalam menuntut kemerdekaan. Semua peranan yang dimainkan oleh mereka yang bukan UMNO diletakkan di sisi gelap sejarah Malaysia. Jasa orang lain selain UMNO dinafikan! Buku teks sejarah sejak puluhan tahun 'menipu' rakyat sendiri.

Ingin saya memetik kata-kata Ustaz Hasrizal mengenai sejarah negara kita yang agak membosankan ini;

"Di dalam kelas Islam and the West minggu lalu, saya berjaya mendapatkan penjelasan yang memuaskan hati, mengapa sejarah Malaysia membosankan.

“When you read the History of Malaysia, you will see Malaysian, not human being!”
, kata Prof Abdullah al-Ahsan ketika mengulas soalan saya.
Tepat sekali.
Ia bukan sahaja masalah Malaysia tapi di kebanyakan tanah air lain juga. Golongan negarawan (nasionalis) telah menjadikan sejarah sebagai alat untuk membentuk dan mengacu rakyatnya mengikut keperluan, kepentingan dan kehendak negara tersebut. Maka sejarah dalam kerangka nasionalis hanya mahu berusaha mewujudkan rasa cinta, kagum, dan penghargaan rakyat kepada negara. Ia dinamakan patriotisma, lanjutan daripada La Patrie ala Napoleon Bonaparte.
Apakah patriotisma itu? Ia adalah rasa kebersamaan rakyat yang berkongsi penderitaan dan kejayaan yang sama.
Maka sejarah Malaysia atau negara mana sekali pun, diolah penuh dengan catatan derita dan kejayaan. Berapa ramai tokoh dan hero yang dibentangkan dalam sejarah kita? Berapa emosinya kisah itu diceritakan? Namun ia hanya bertujuan menghasilkan perasaan dramatik lantas rasa terhutang budi pada yang menabur, rasa ingin berbakti bagi yang menggelegak perasaannya. Ia adalah demi melahirkan seorang warga Malaysia!
Apakah ini matlamat sejarah?"

Fahami sejarah, jangan tertipu

Selepas selesai sesi tayangan video ini, kami memberikan tepukan gemuruh kepada Saudara Fahmi yang menjadi pengarah dan penerbit kepada video tersebut. Dan, dalam dialog yang diadakan selepas itu, saya menerangkan kepada para hadirin bahawa sisi sejarah yang di "anak tiri" kan seperti inilah yang harus kita tahu dan fahami.

Bersama Fahmi Reza, pembikin filem Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka

Seharusnya, kita mengetahui bahawa sejarah perjuangan rakyat untuk menuntut kemerdekaan bukannya bermula setakat sepuluh tahun sebelum merdeka, bahkan dua puluh tahun, seratus mahupun 500 tahun sebelum merdeka. Kita harus ingat bahawa Tanah Melayu buat pertama kalinya dijajah dek kuasa asing oleh Raja Rajendra Chola dari India pada tahun 1025. Kemudiannya, secara ringkas ingin saya sebutkan di sini, kita dijajah pula oleh Siam, kemudian Portugis, Belanda, British, Jepun dan British kembali sehinggalah negara kita merdeka. Kita terjajah hampir 450 tahun dan keterpurukan di bawah kuasa asing selama setengah alaf ini menjadikan orang Melayu ketinggalan dan jiwa mereka kekal terjajah.

Dan, lebih memburukkan keadaan apabila UMNO membukukan ataupun mendokumentasikan sejarah mengikut acuan mereka. Dalam klip video ini dibongkarkan bagaimana gerakan yang berhaluan kiri hasil gagasan PUTERA-AMCJA telah berjaya memobilasikan rakyat di seluruh pelusuk negara untuk melakukan Hartal.

Perjuangan kemerdekaan tidak dimainkan oleh UMNO semata-mata. Peranan Putera-AMCJA juga adalah amat besar dan tidak mampu disangkal lagi. Cuma, ianya telah digelapkan oleh pemerintah demi kepentingan mereka. Undang-undang darurat yang diperkenalkan pada tahun 1948 atas nama ingin memerangi komunis adalah karut dan palsu semata-mata!

Darurat diumumkan oleh British kerana mereka bimbang akan kebangkitan rakyat melalui hartal yang telah dijalankan di seluruh negara pada waktu itu. Masakan tidak, apabila batch pertama yang ditangkap oleh kerajaan di bawah ordinan darurat pada waktu itu adalah hampir 10,000 pemimpin Melayu yang berhaluan kiri yang telah menggerakkan hartal tersebut. Dan, batch kedua yang ditangkap adalah pemimpin kesatuan buruh yang juga menjadi agen utama yang menjayakan hartal. Kemudiannya, batch ketiga tangkapan barulah terdiri daripada pimpinan Parti Komunis Malaya. Nah, anda sendiri ada jawapannya sekarang iaitu darurat atas nama komunis adalah palsu semata-mata!

20 tahun sebelum merdeka?

Ingin juga saya kongsikan bersama di sini akan peranan tokoh lain dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Secara mudahnya, ingin disebut di sini bahawa ulama'-lah yang telah menjadi pendorong utama orang Melayu untuk bangkit menuntut kebebasan daripada semua penjajah asing bermula daripada zaman penjajahan Portugis (cerita lengkap boleh dirujuk di dalam buku Ulama Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan, karya Riduan Mohamad Nor).

Sedikit petikan daripada buku ini (m/s 142) menyebut;

"Bagi meredakan tuntutan Dr Burhanuddin ini, Jepun telah mengarahkan Dr Burhanudin supaya menyediakan satu piagam atau perlembagaan bagi Tanah Melayu merdeka. Dr Burhanuddin kemudiannya telah menyusun satu piagam yang dinamakan "Piagam Taiping" sebagai draf perlembagaan Tanah Melayu merdeka pada 1945 bersama Mustapha Hussein berasaskan perlembagaan Amerika Syarikat. Draf ini walau bagaimanapun tidak dapat dikesan pada hari ini tetapi kisahnya dirakamkan oleh Mustapha Hussein dalam memoirnya. Dipercayai usaha ini serentak dengan tindakan Sukarno membawa usul supaya Tanah Melayu dimasukkan bersama-sama dalam perlembagaan Indonesia kepada Badan Penyelidik Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia pada 28 Mei 1945". (petikan daripada buku ini di scan seperti di bawah)

Apa maksudnya saudara?

Sebenarnya, banyak cerita sebenar tentang sejarah Malaysia telah digelapkan oleh pihak pemerintah kita sendiri. Kisah dan tragedi 13 Mei 1969 sebagai contoh banyak yang diselewengkan faktanya. Lihat sahaja sekarang ini apabila pihak kerajaan secara wewenang akan menakut-nakutkan rakyat tentang bahaya berulangnya tragedi ini. Sudahlah sejarah sebenar ditutup, rakyat pula diugut dan ditakutkan dengan peristiwa ini. Kaum Cina khususnya telah menjadi mangsa ugutan pihak kerajaan apabila bercakap soal peristiwa ini. Mereka diingatkan agar tidak mengundi pihak lain di dalam pilihanraya kerana 13 Mei pasti akan berulang dengan tindakan sedemikian. Buku bertajuk "May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969" oleh Dr Kua Kia Soong dari Suaram cukup bagus untuk kita baca dan mendapat gambaran dari perspektif yang lain daripada apa yang kita dengar daripada teks rasmi Sejarah Malaysia.

Rakyat Malaysia harus rajin membaca dan membuat analisa atas setiap apa yang mereka dengar saban hari. Jangan hanya menerima berita dan khabar daripada sebelah pihak sahaja kerana ianya akan menimbulkan perasaan berat sebelah dan syak wasangka. Rajin-rajinlah menelaah sejarah lampau daripada pelbagai kacamata yang wujud pada ketika ianya berlaku. Mudah-mudahan kita menjadi warganegara yang lebih celik akan hak dan tangungjawab sendiri.
-------------------------------------------

Melalui Lajnah Perpaduan Nasional, pemuda PAS akan terus cuba mendekati pelbagai golongan yang ada dalam negara ini. Mungkin menjadi satu perkara yang agak janggal dengan pendekatan yang dilakukan oleh LPN tetapi kami yakin bahawa dengan pendekatan seperti ini akan memudahkan golongan lain untuk memahami PAS yang sebenarnya.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil - Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional DPPP.

0 Pandangan