GERAK : DARI SEREMBAN KE PUTRAJAYA

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 9/08/2007 09:28:00 PM | 0 Pandangan »

Saya menerima email ini daripada Setiausaha GERAK Negeri Sembilan sdr Norazizi A. Aziz yang menghantar berita dan maklumat berkaitan dengan Konvoi GERAK bermula daripada Negeri Sembilan sehinggalah ke Putrajaya.

Bermakna, selesai sudah tugas terawal sdr Zainuddin Ghazali dalam kembara solonya mengelilingi seluruh semenanjung untuk menyampaikan memorandum berkaitan dengan rasuah daripada GERAK.

Semoga GERAK akan terus teguh dalam memerangi RASUAH. Saya pastinya akan terus memberikan sokongan kepada GERAK di atas usaha yang telah dilakukan dan bakal dilakukan.
-------------------------------------------------------
KONVOI KEMERDEKAAN "BELIA BENCI RASUAH" DI NEGERI SEMBILAN
OLEH : NORAZIZI A. AZIZ
Cuaca agak mendung ketika Zainudin sampai di bumi Adat Perpatih ini pada jam 1015 pagi. Ketibaan Zainudin disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh para peserta konvoi. Sebanyak 30 buah kereta serta 50 buah motor yang lengkap dengan pelekat ”Belia Benci Rasuah” dan bendera Jalur Gemilang siap siaga menanti di Tol Seremban.
Turut hadir ketika itu ialah Pesuruhjaya PAS NS, Sdr. Zulkifli Omar, Ketua DPP Negeri Sembilan, Hj Taufek Abd. Ghani, Pengerusi GERAK NS, Ust Suhaimi Kassim, Eks. Koordinator GERAK Malaysia, Sdr. Badrul Hisham Shahrin (CheguBard) dan beberapa orang penyokong dari PAS, UMNO dan KeADILan. Jelas bahawa GERAK adalah merupakan sebuah badan NGO yang memperjuangkan isu rasuah tanpa ada halangan kepada mana-mana parti politik untuk turut serta dalam usaha melawan rasuah.
Walaupun agak keletihan setelah 10 hari menjelajah seluruh semenanjung, namun Zainudin masih mampu mengukir senyuman tanda semangatnya yang kental untuk meneruskan misi ”BELIA BENCI RASUAH”
<>

<>

<>




Hujan makin lebat, namun tidak sedikit pun mematahkan semangat para peserta konvoi untuk meneruskan perjalanan ke Putrajaya. Tepat jam 3.00 petang, dengan lafaz Basmalah, CheguBard melepaskan peserta konvoi ke Putrajaya. Para peserta konvoi telah mengambil masa sejam setengah untuk sampai di Tol Kajang. Lebuhraya Utara-Selatan jadi meriah dengan kehadiran para peserta konvoi.


Memorandum “ Merdekakan Negara Dari Rasuah” telah berjaya disampaikan oleh Zainudin Ghazali kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Tuan Haji Mohammad Yaakob.

<>


Setelah upacara penyerahan memorandum selesai, satu sidang akhbar telah diadakan di depan Bangunan Jabatan Perdana Menteri di mana Sdr. Ezam Md. Noor di dalam ucapan beliau telah menobatkan Zainudin Ghazali sebagai ikon "BELIA BENCI RASUAH". Program petang itu diakhiri dengan laungan keramat "Merdeka!" , "Belia Benci Rasuah!" dan "Allahu Akhbar!"

0 Pandangan