TERKINI! Fatwa: Halal dakwat SPR di jari pengundi

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 8/08/2007 06:12:00 PM | 0 Pandangan »


TERKINI! : Fatwa: Halal dakwat SPR di jari pengundi
2007-08-08 15:34:03.0

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan untuk membenarkan penggunaan dakwat khas yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menanda jari pengundi pada pilihan raya umum akan datang kerana tidak melanggar hukum syarak.

Pengerusinya Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penjelasan dan hasil kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kimia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Katanya kajian mendapati bahan dakwat yang tidak dapat dipadamkan itu tidak mengandungi unsur najis, tidak menyekat air atau telap air sampai ke kulit dan tidak mengandungi kemudaratan yang jelas untuk dipakai di jari atau kuku.

"Oleh sebab itu, jawatankuasa yang bersidang hari ini meluluskan atau membenarkan penggunaan dakwat tersebut.

"Tidak ada halangan dari segi hukum dan tidak ada keraguan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini hari ini.

Dr Abdul Shukor berkata keputusan itu tidak membabitkan hukum atau fatwa baru tetapi untuk melihat dari aspek umat Islam dalam soal beribadat.

Katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memaklumkan secara rasmi dan serta-merta kepada SPR berhubung keputusan tersebut.

SPR sebelum ini mencadangkan untuk menggunakan dakwat khas itu untuk menanda jari pengundi bagi mengelakkan penipuan dalam pilihan raya.

Berikutan itu, Jakim menghantar sampel dakwat khas itu kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi memastikan dakwat yang kekal pada jari selama dua hingga tiga hari itu tidak mengandungi bahan najis yang boleh merosakkan ibadat umat Islam.

Semalam, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata keputusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan itu perlu bagi mengelakkan keraguan dan syak di kalangan umat Islam bahawa dakwat khas itu boleh menjejaskan ibadat.
- BERNAMA

0 Pandangan