6 remaja langgar, rogol direman 6 hari

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 8/06/2007 02:46:00 PM | 0 Pandangan »


JOHOR BAHRU: Enam remaja termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang merogol wanita berusia 30 tahun secara bergilir-gilir berulang kali, selepas melanggar dan ‘menculik’ mangsa selama sembilan jam, ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan polis.

Semalam, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan polis menahan reman enam remaja lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun itu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Majistret, Salawati Djambari membenarkan permohonan polis menahan remaja yang tidak bersekolah itu selama enam hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan perintah itu dikeluarkan di Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Che Yussof Che Ngah, berkata semua remaja yang mempunyai rekod juvana itu ditahan di rumah masing-masing, kelmarin, beberapa jam selepas melakukan perbuatan terkutuk itu di satu lokasi di Pasir Gudang, dekat sini, Jumaat lalu.
Menurutnya, atas maklumat orang ramai semua remaja terbabit berjaya ditahan di kawasan perumahan di Taman Kota Masai, Masai, dekat sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Che Yussof enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 365 dan 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menculik dan merogol.

Harian Metro difahamkan, semua suspek tinggal bersama keluarga masing-masing di kawasan perumahan berkenaan.

Salah seorang daripada enam remaja itu dipercayai bekerja dengan syarikat pembekal gas memasak dan menggunakan lori majikannya dalam kejadian berkenaan.

0 Pandangan