2 Ditahan ISA sebar SMS Perkauman - Utusan

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 8/30/2007 03:13:00 PM | 0 Pandangan »

2 ditahan ISA sebar SMS perkauman
Utusan Malaysia, 30 Ogos 2007

JOHOR BAHRU 29 Ogos – Polis menahan dua lelaki di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terbabit dalam penyebaran khabar angin berunsur perkauman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd Shariff berkata, kedua-dua lelaki itu yang masing-masing berusia 25 dan 29 tahun ditahan semalam selepas mendapat maklumat orang ramai.

‘‘Kes ini disiasat di bawah Seksyen 28 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menjadi kesalahan membuat penyebaran laporan-laporan palsu yang boleh menimbulkan kecemasan awam.

‘‘Polis Johor sememangnya tidak akan bertolak- ansur ke atas mereka mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan SMS dan e-mel yang berbau perkauman,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencetuskan ketegangan kaum.

Kata beliau, negara boleh rosak sekiranya wujud golongan yang sengaja mengeluarkan kenyataan melampau tanpa mengambil kira sensiviti rakyat pelbagai kaum.

Menurut Mohd. Mohktar, Mahkamah Majistret Johor Bahru telah membenarkan suspek yang berusia 25 tahun itu dikenakan tahanan reman selama tujuh hari manakala suspek yang berusia 29 tahun tersebut ditahan reman enam hari.

Katanya, polis kini menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kes tersebut dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya mendapati masih ada lagi pihak yang terlibat.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan keadaan keselamatan serta keamanan di negeri itu adalah terkawal.

“Saya juga menggesa dan menyeru orang ramai agar menghubungi pihak polis dengan segera seandainya menerima apa jua SMS atau e-mel yang boleh mencetuskan ketegangan kaum di negeri ini.

“Saya juga meminta orang ramai agar memberhentikan penyebaran SMS yang berbau perkauman dan jangan menggunakan teknologi ICT (teknologi komunikasi dan maklumat) untuk mewujudkan suasana bimbang dan takut masyarakat,” katanya.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih ke atas keprihatinan orang ramai memberi maklumat sehingga tertangkapnya mereka yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan khabar angin tersebut.

0 Pandangan