BETAPA TINGGINYA HARGA MASA (BAGI MEREKA YANG MENGHARGAINYA)

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/11/2007 04:15:00 PM | 0 Pandangan »

Salam perjuangan teman-teman,
Sejak akhir-akhir ini, terasa bagaikan masa terlalu mencemburui diri ini. Atau, mungkin saya sendiri yang agak alpa dalam menguruskan masa dengan baik. Bila terkadang lewat mengambil tindakan terhadap amanah yang diberikan sehingga terpaksa ditunda beberapa tugas, terasa semakin berat untuk digalas kesemuanya.
Bukan salah amanah tersebut tetapi salahnya sudah tentunya terhadap insan yang menerima amanah tetapi tidak pandai untuk menguruskan amanah. Sepanjang minggu ini sahaja beberapa tugas terpaksa dilewatkan terhadap tindakan yang sepatutnya mampu untuk dibereskan.
Memeningkan kepada bila membaca tulisan ini? Hmm...begitu jugalah agaknya keserabutan yang ada dalam kepala saya ini. Apapun, itulah gunanya blog ni, blog inilah tempat untuk saya luahkan kandungan-kandungan keserabutan kepala ini.
Bukannya apa, kadang-kadang bila tugas sebagai seorang pemimpin, suami, ayah, anak dan sebagai seorang pelajar terpaksa dihadapi dalam masa yang sama dan kesemuanya memerlukan kita memberikan penumpuan dalam tempoh masa tersebut. Memang jika ingin dibandingkan dengan orang lain, apa yang saya hadapi ini 'kacang' sahaja tetapi inilah lumrah kita sebagai manusia yang kerdil yang tidak dapat elak daripada diuji olehNya.
Sebagai petugas sepenuh masa dalam PAS, peruntukan masa untuk hal-hal yang bersifat peribadi amat minimum, justeru lebih perhatian perlu diberikan kepada hal jamaah dan perjuangan.
Apabila isteri tersayang diarahkan untuk menghadiri kursus selama 3 hari di Shah Alam, pengurusan anak-anak yang kesemuanya masih bersekolah akan diselesaikan oleh suami. Walaupun sudah terbiasa dengan urusan kerja-kerja rumah tetapi berbeza sedikit bila ummi kepada anak-anak saya tiada.
Dalam masa yang sama, assignments sebagai pelajar USM perlu disiapkan sebelum berangkat menunaikan umrah hari Sabtu ini. Kesian pada kawan-kawan sekuliah yang sedang menunggu-nunggu tugasan yang telah diamanahkan kepada saya.
Tugas sebagai Ketua DPPNJ juga agak berat sebenarnya cuma saya bukanlah dikategorikan pemimpin yang sering berceramah sehingga ada sahabat-sahabat yang kata suara saya 'suara emas' kerana susah untuk meluangkan masa sebagai penceramah. Malam inipun sepatutnya saya berceramah di Johor Bahru tetapi kerana bertembung dengan menyuarat PAS Kawasan Kluang maka saya tidak ke Johor Bahru.
Hujung minggu ini Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) DPP Pusat diamanahkan untuk terlibat dalam satu program di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh satu NGO. Pada mulanya agak 'kelam-kabut' juga untuk menerima arahan ini kerana saya baru sahaja menerima jawatan ini dan jawatankuasa pun baru diwujudkan tetapi sokongan daripada sahabat-sahabat LPN DPPP yang memerikan komitmen untuk menjayakan pameran ini melegakan saya.
Hmm...mencoretkan serba sedikit keserabutan dalam blog inipun telah mengurangkan 'stress' dalam kepala ini sebenarnya. Setakat itulah sahaja yang saya ingin coretkan. Semoga teman-teman bloggers dapat mendoakan saya untuk terus istiqamah dalam perjuangan ini.
Wassalam.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

0 Pandangan