PERTEMBUNGAN ANTARA KAUM/AGAMA AKAN BERLAKU LAGI?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/20/2007 10:27:00 AM | 0 Pandangan »

RUKUN NEGARA

Sebelum Rukun Negara diperkenalkan, telah berlaku rusuhan antara kaum pada 13 Mei 1969. Ketenteraman negara telah terjejas akibat kejadian itu. MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) telah mengambil alih pentadbiran negara. MAGERAN telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MPN) untuk membincangkan dan menilai isu perpaduan Negara. MPN telah memperkenalkan ideologi negara iaitu Rukun Negara.

MATLAMAT DAN PRINSIP RUKUN NEGARA.
i) Matlamat Rukun Negara

mengukuhkan perpaduan, memelihara corak hidup demokratik, mencipta sebuah masyarakat yang adil, menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai, membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi.
ii)Prinsip-prinsip Rukun Negara

a)Kepercayaan kepada Tuhan

Agama merupakan pegangan utama rakyat Malaysia, rakyat yang beragama mudah diurus, perlembagaan menetapkan Islam adalah agama rasmi tetapi agama lain bebas diamalkan.
b)Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Semua rakyat dituntut setia kepada raja dan Negara, Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri, Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi, penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.
c)Keluhuran Perlembagaan

Perlembagaan merupakan undang-undang utama, perlembagaan dianggap luhur, suci dan unggul, rakyat dituntut supaya menerima, mematuhi, menyanjung dan mempertahankannya
d)Kedaulatan Undang-Undang

Rakyat dituntut menghormati undang-undang dengan tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang, rakyat akan hidup dalam keamanan apabila kedaulatan undang-undang terpelihara, rakyat bertanggungjawab memastikan undang-undang negara sentiasa didaulatkan dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak.
e)Kesopanan Dan Kesusilaan

Rakyat Malaysia dituntut bersopan dan bertatasusila, ia merupakan nilai-nilai murni yang melambangkan keperibadian seseorang individu, amalan ini akan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni, penyayang dan saling menghormati.
------------------------------------------------
Khairul Faizi : Sejak kebelakangan ini, saya melihat bahawa keadaan ketidakpuasan hati cukup ketara apabila kita membicarakan perkara yang melibatkan agama dan perkauman. Rasa tidak puas hati, curiga, sangsi dan ragu sering dapat dilihat dalam penulisan di dalam internet.

Dalam isu keselamatan yang melibatkan bandaraya Johor Bahru sehingga tertangkapnya dua aktivis SUARAM di perkarangan kediaman Menteri Besar Johor baru-baru ini juga cuba dikaitkan dengan isu perkauman oleh pihak-pihak tertentu.

Kes yang melibatkan Azlina Jelani (Lina Joy) yang gagal dalam usaha menukar agamanya secara rasmi di dalam kad pengenalan juga turut mendapat kecaman yang hebat.

Dalam blog ini, saya ada memaparkan keratan akhbar berkaitan dengan isu permohonan kerja di Metro-Kajang dan diulas dalam harakahdaily.

Saya siarkan Rukun Negara dalam blog ini kerana ia diwujudkan oleh kerajaan dalam usaha untuk menyatupadukan rakyat selepas peristiwa 13 Mei 1969. Ada ulasan lebih terpeinci terhadap isu integrasi dan perpaduan nasional ini, insya Allah saya akan siarkan dalam blog ini nanti.

0 Pandangan