JENAYAH DI JOHOR BAHRU SERIUS?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/17/2007 04:09:00 PM | 1 Pandangan »

Saya terbaca dalam ruangan The Star Online yang mana berita ini dipetik daripada Bernama yang bertajuk 100,000 tandatangan tidak puas hati jenayah JB serius.

Berita ini memaparkan bagaimana Persekutuan Tionghua Johor Bahru yang menerajui usaha untuk mengumpulkan tandatangan penduduk Johor Bahru mulai 16 Jun 2007 dan akan berakhir pada 24 Jun 2007. Tindakan persekutuan ini adalah kerana ingin menyatakan bahawa kadar jenayah dan gejala sosial yang mereka dakwa semakin meningkat di bandar raya ini setiap hari.

Hasrat Persekutuan Tionghua JB ini disokong oleh beberapa persatuan yang lain seperti Persatuan Hokkien, Persatuan Teochew, Persatuan Hakka, Persatuan Kantonis dan Persatuan Hainan, Johor Baru dan mereka bercadang untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Johor dan PDRM Johor.

Sememangnya, kes jenayah di Johor agak meruncing sejak akhir-akhir ini. Terbaru, pada 15 Jun 2007 Ketua Polis Johor, Datuk Hussin Ismail telah kenyataan bagaimana tertangkapnya 13 lelaki dan seorang gadis disekitar bandaraya JB bagi membantu siasatan kes samun dan rogol pada 22 Mei 2007 dan 11 Jun 2007 yang lalu.

Begitu juga dengan berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 3 Jun 2007 bagaimana Polis Johor telah menahan seramai 158 rakyat Indonesia dan 2 lelaki rakyat tempatan dalam operasi jenayah bersepadu selama tiga hari di Permas Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru semua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30-an dipercayai pernah melakukan jenayah pecah masuk rumah di sekitar Permas Jaya. Operasi itu dilancarkan selepas mendapat aduan daripada penduduk yang bimbang peningkatan kes jenayah di situ. Didapati juga, warga asing yang ditahan itu dipercayai bekerja sebagai buruh dan kebanyakannya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Semasa lawatan kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 6 Jun 2007 yang lalu, walaupun perbincangan tersebut lebih kepada membincangkan masalah Mat Rempit tetapi Timbalan Ketua Polis Johor telah melahirkan kebimbangan terhadap kadar jenayah yang berlaku di Johor. Sebab itulah apabila DPPNJ tampil untuk memberikan pandangan dan kerjasama terhadap tindakan menangani isu Mat Rempit diterima dengan penuh keterbukaan oleh mereka.

Kadar jenayah bukan sahaja meningkat di Johor Bahru sahaja malahan diseluruh Negara. Dalam Ucaptema DPPNJ yang telah dibentangkan pada 5 Mei 2007 yang telah menyatakan bagaimana peningkatan kadar jenayah yang cukup membimbangkan.

" VCD dan bahan lucah semakin tidak terkawal. Penjualan bahan lucah amat mudah didapati di mana-mana seperti mana didedahkan bagaimana seorang bapa terkejut apabila mendapati tiga anaknya yang berusia antara tiga sehingga sembilan tahun leka menonton cakera padat video (VCD) lucah yang dijual secara terbuka di pasar malam berhampiran kediamannya di Taman Perling, Johor Bahru. Rampasan demi rampasan telah dilakukan tetapi masalah penjualan VCD lucah semakin tidak terkawal. Tahun 2006 sahaja sebanyak 73,653 keping VCD lucah dalam 1357 kes yang telah dirampas oleh PDRM di bawah Akta Penapisan Filem.
Jenayah yang melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) pernah mendedahkan bahawa perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak atau pelajar bukan sahaja kesalahan ringan seperti mencuri atau pecah rumah malah jenayah berat termasuk bunuh, rogol, samun bersenjata api dan keganasan, malah dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2005 sahaja, kanak-kanak terbabit dengan 27 kes rogol, bunuh (3), keganasan yang menyebabkan kecederaan parah (76), kesalahan yang menyebabkan kecederaan ringan (33), samun berkumpulan (2), samun bersenjata api (1) dan 10 kes samun tanpa senjata api. Selain daripada itu, 246 kes membabitkan kes curi kenderaan, curi malam hari (112), curi siang hari (29), ragut (18) dan 188 kes jenayah lain.
Statistik juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ini seawal usia tujuh tahun. Dalam tempoh tujuh bulan pertama, 76 kes melibatkan mereka yang berusia 7 tahun, 668 kes melibatkan di antara 13 dan 15 tahun manakala 1,008 kes melibatkan pelajar yang berusia 16 sehingga 18 tahun. Daripada 1,591 kes yang dilaporkan, 1,295 kes atau 79 peratus melibatkan pelajar melayu dan majoriti kes ini berlaku di dalam negeri Johor.
Jenayah seperti bunuh, rogol dan samun semakin meruncing keadaannya. Sepanjang tahun 2006 terdapat 604 kes bunuh, 2,435 kes rogol dan 18,446 kes samun/ragut tanpa senjata api telah berlaku diseluruh negara sedangkan pada tahun 2005 hanya terdapat 497 kes bunuh, 1,887 kes rogol dan 13,210 kes samun/ragut yang berlaku.

Kes kecurian kenderaan pada tahun 2006 yang melibatkan motosikal (64,858 kes) dan kereta (11,101 kes) berbanding pada tahun 2005 yang jumlah kecuriannya adalah lebih rendah iaitu motosikal (51,709 kes) dan kereta (9,711 kes). Kes pecah rumah pula dicatatkan bahawa terdapat 27,313 kes yang berlaku pada tahun 2006 berbanding 24,465 kes pada tahun 2005."

Petikan Ucaptema DPPNJ
Oleh itu, DPPNJ menyokong tindakan Persekutuan Tionghua Johor Bahru dan bersedia untuk bekerjasama bagi mengumpulkan 100 ribu tandatangan daripada pelbagai kaum di Johor Bahru dan menyerahkan bersama dengan memorandum kepada kerajaan negeri Johor.

Semoga usaha ini akan membantu mengurangkan kadar jenayah di Johor Bahru dan Negeri Johor pada masa akan datang.

Sekian

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Ketua Lajnah Integrasi Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat
http://minda-kembara.blogspot.com/
019-7701830

1 Pandangan

  1. blackpurple @ jowopinter // June 20, 2007 at 1:24 PM  

    Salam.

    Harap-harapnya juga usaha memeranagi jenayah ini tidak berfokus di JB sahaja nanti, tapi di semua tempat.