Dewan Rakyat: JMC tingkat pembangunan WPI
Laporan Abdul Razak Raaff dan Norliza Wasilan
Jawatankuasa khas pemudah cara, lancar pelaksanaan keputusan kerajaan: PM
KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Khas Peringkat Menteri (JMC) antara Malaysia dan Singapura bertujuan meningkatkan kerjasama untuk mempercepatkan pembangunan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Perdana Menteri berkata, jawatankuasa khas itu berfungsi sebagai pemudah cara dan melancarkan pelaksanaan keputusan kerajaan di WPI dan bukan penasihat, penggubal dasar atau entiti perunding."
Jawatankuasa khas ini tidak akan membuat keputusan mengenai pelaburan kerana Pihak Berkuasa Tempatan Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) bertanggungjawab mengenainya (WPI)."Irda bertanggungjawab membuat keputusan mengenai cadangan pelaburan asing," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini semalam.
Salahuddin ingin mengetahui bidang kuasa jawatankuasa itu untuk memantau, memudahkan aliran pelaburan dan kerjasama pelancongan serta persekitaran di WPI.Abdullah berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa itu untuk meningkatkan kerjasama dua hala serta memudahkan pelaksanaan pembangunan di wilayah berkenaan.
Penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri antara Singapura dipersetujui selepas pertemuan tidak rasmi antara Perdana Menteri Malaysia dan rakan sejawatnya dari Singapura pada 15 Mei lalu, di Langkawi, Kedah.
"Bidang kerjasama yang dikenal pasti untuk dibincangkan dalam JMC, termasuk usaha meningkatkan kemudahan pengangkutan antara WPI dan Singapura."Perbincangan akan memberi tumpuan kepada kaedah meningkatkan keberkesanan urusan Jabatan Imigresen (antara Johor dan Singapura) dan promosi sektor pelancongan serta alam sekitar," katanya.
Abdullah berkata, jawatankuasa itu juga akan mengenal pasti bidang lain yang berpotensi dalam mewujudkan kerjasama dua hala yang boleh membantu pembangunan WPI.
Katanya, JMC akan membantu menyelaras perbincangan dan pelaksanaan aktiviti kerjasama antara agensi berkaitan berdasarkan cadangan yang dibuat jawatankuasa itu.Katanya, dari segi keanggotaan, JMC dicadangkan mengandungi sekurang-kurangnya empat ahli dan dipengerusikan bersama seperti yang dipersetujui kedua-dua negara.
Sementara itu, Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, rundingan untuk mencari rakan strategik Proton masih diteruskan.
"Pemegang saham Proton masih lagi mengadakan rundingan secara berterusan dengan syarikat Volkswagen AG dan General Motors," katanya kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).
Lim meminta penjelasan penentuan rakan kongsi asing Proton dan kriteria diperlukan serta usaha mengukuhkan kedudukan pengeluar kereta nasional itu.
Abdullah berkata, antara kriteria utama rakan strategik pengeluar kereta nasional adalah kesediaan membangunkan jenama Proton dalam keluarga jenama yang sedia dimilikinya.
"Mereka harus menyokong peranan Proton membangunkan bidang kejuruteraan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan," katanya.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
0 Pandangan
Post a Comment