Dalam ucaptema Ketua DPPNJ sempena Muktamar DPPNJ kelmarin, saya telah menyebut tentang kepentingan untuk mewujudkan blog dikalangan pemuda PAS di Johor. Walaupun pada peringkat awalnya ada yang merasakan bahawa kewujudan blog ini akan menyebabkan pemuda akan kurang turun padang kerana masa dihabiskan di hadapan blog dan sekiranya blog diwujudkan tetapi tidak dikemaskini akan menyebabkan blog akan bertukar menjadi 'goblok' namun setelah dijelaskan oleh Ust Ibrahim Masran, para perwakilan telah jelas apa yang sebenarnya saya maksudkan.
.
Saya telahpun berbincang dengan Ust Zulhilmi Rohani, Pengerusi Lajnah IT untuk mengadakan satu pertemuan ataupun taklimat berkaitan dengan blog termasuklah berkaitan dengan kepentingan blog, cara membuat blog, cara untuk 'maintain' blog dan cara untuk memastikan blog tersebut dirasai kewujudannya oleh masyarakat khususnya di alam maya.
.
Pertemuan ini akan diadakan dalam tempoh sebulan daripada hari ini dan seboleh-bolehnya diadakan sebelum daripada Muktamar DPP Pusat yang akan datang.
.
Berikut adalah sedutan daripada Ucaptema Ketua DPPNJ dalam muktamar DPPNJ kali ke 36 yang disampaikan kelmarin.
-----------------------------------------------------------
SEORANG PEMUDA SEBUAH BLOG
.
Para perwakilan sekelian,
.
Apabila pakatan pembangkang berjaya menidakkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan berjaya menawan empat buah negeri serta mempertahankan Kelantan untuk penggal ke lima, pemerhati politik melihat bahawa ia berpunca daripada perolehan maklumat yang mudah didapati daripada laman blog.
.
Sebuah rencana yang disiarkan di dalam media arus perdana pernah menyatakan bahawa serangan terhadap kerajaan melalui laman-laman blog dan Internet sudah wujud sejak pilihan raya 1999, tetapi strategi itu gagal membantu kemaraan pembangkang dengan berkesan, malah tidak efektif langsung dalam pilihan raya 2004.
.
Blog dan laman web hanya menjadi satu medium komunikasi yang berpengaruh pada 2008 apabila mood rakyat terhadap kerajaan bertukar ekoran kenaikan harga minyak selepas pilihan raya 2004.
.
Fellow Penyelidikan Kanan Institut Kajian Dasar (IPS) Singapura, Tan Tarn How berkata, republik tersebut telah menunjukkan kesungguhan untuk melihat sejauh mana media blog telah mempengaruhi arah aliran pengundian dan sokongan pengundi di Malaysia 8 Mac lalu kerana pada umumnya Singapura mempunyai landskap yang sama dengan Malaysia.
.
Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin turut menyentuh tentang kemunculan komuniti elektronik , sektor baru dalam politik negara ini tetapi tidak dipandang serius oleh parti kerajaan.
.
Di Sarawak, Pensyarah Kajian Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr. Jeniri Amir meramalkan bahawa dengan kewujudan media alternatif seperti blog dijangka memberi kesan kepada pilihan raya di negeri itu dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang setelah rakyat mula menyedari pentingnya penggunaan Internet.
.
Kita dapat melihat bagaimana selepas pilihanraya umum yang lalu, pimpinan UMNO/BN sudah mula mewujudkan blog peribadi mereka sendiri.
Kita dapat melihat bagaimana selepas pilihanraya umum yang lalu, pimpinan UMNO/BN sudah mula mewujudkan blog peribadi mereka sendiri.
.
Di antaranya, Tun Dr Mahathir, Dr Mohd Khir Toyo dan Datuk Mohd Ali Rustam yang pada awalnya mereka jugalah di kalangan pemimpin UMNO yang melabelkan blog sebagai pemecahbelah keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
.
Maka, di dalam muktamar ini saya ingin menyeru supaya para perwakilan pemuda perlu segera mewujudkan blog peribadi dengan tema ”Seorang Pemuda Satu Blog” disamping pemantauan terhadap blog dan laman web DPPK. Saya mensasarkan pada muktamar DPPNJ pada tahun hadapan, sekurang-kurangnya terdapat lima ratus pimpinan dan ahli pemuda PAS di Johor akan tampil dengan sebuah blog yang mampu menarik minat anak muda di Johor.
.
Perlantikan Ustaz Zulhilmie Rohani sebagai Pengerusi Lajnah IT DPPNJ yang baru diharapkan dapat membantu mewujudkan blog-blog ini dan seterusnya dapat memantau aliran maklumat diseluruh negeri Johor.
0 Pandangan
Post a Comment