Pemuda PAS Bantah Konsert Inul

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/24/2008 01:08:00 AM | 0 Pandangan »

Konsert Inul: Pemuda PAS Wilayah serah memo pada Datuk Bandar
Roy Rasul Foto Nasir Sudin Wed Jul 23, 08 4:04:28 pm MYT

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, menghantar satu memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Abdul Hakim Borhan di atas pemindahan konsert Inul Daratisha ke Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Julai ini.

Memorandum tersebut yang diserahkan oleh Ketua Pemudanya Kamaruzaman Mohamad kepada Dato' Bandar, di ibu pejabatnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Walaupun memorandum tersebut diterima pegawai khasnya Shaari Ahmad Junid kerana Datuk Bandar mempunyai urusan lain tetapi Shaari berjanji akan memberikannya kepada Datuk Bandar.

Sementara itu, Kamaruzaman semasa bercakap dengan Shaari berkata, pemindahan konsert Inul daripada Stadium Larkin Johor Bahru ke Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur adalah sesuatu yang tidak tepat.

Ini katanya, Majlis Ulama Indonesia (MUI) pernah melabelkan imej Inul sebagai penari lucah dan menghairahkan di atas gelek gerudinya.

"Namun dalam masa sepuluh hari iaitu dari 17 Julai hingga 27 JUlai ini DBKL meluluskan pula konsert itu setelah dibatalkan di Johor pada 17 Julai lalu.

"Ia seolah-olah tidak ada pertimbangan bagi meneruskan konsert Inul ini," katanya.

Sehubungan itu tegasnya, Pemuda PAS Wilayah meminta supaya konsert tersebut dibatalkan bahkan katanya DBKL perlu meneliti baik buruknya konsert-konsert seperti itu diadakan di ibu negara.

"Kita sedia maklum di Kuala Lumpur ini masalah sosial terlalu teruk jadi apakah relevannya konsert Inul dibawa ke sini," katanya sambil meminta DBKL lebih tegas meluluskan konsert-konsert terutamanya artis dari luar negara.

Dalam pada itu semasa bercakap kepada wartawan, beliau berkata, memorandum itu turut menggesa supaya DBKL mengikut garis panduan hiburan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) apabila mahu meluluskan sebarang konsert.

"Sepatutnya ia diimplimentasi supaya rakyat Malaysia disajikan dengan konsert hiburan yang benar-benar bermanfaat kepada rakyat.

"Bukannya menyajikan persembahan yang boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat," katanya.

Beliau juga berkata, sekiranya konsert Inul diteruskan Pemuda PAS Wilayah akan mengedarkan lima hingga sepuluh ribu risalah di stadium berkenaan bagi memberi kesedaran mereka yang hadir.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang turut sama dalam penyerahan memorandum tersebut berkata, beliau kesal dengan tindakan DBKL meluluskan konsert tersebut di Bukit Jalil nanti.

Ini katanya, kerajaan negeri Johor tidak dapat menerima konsert Inul.

"Ini bermakna kerajaan Johor memperhalusi sebab-sebab pembatalan apabila tidak mengizinkan konsert Inul di Johor," katanya.

Katanya, kerajaan Johor mengambil masa yang panjang kerana permohonan dibuat dua bulan sebelum konsert dibuat .

Namun katanya, di DBKL pula menggambarkan mereka mengambil keputusan yang sangat drastik.

"Jika kerajaan Johor membuat satu keputusan bahawa konsert Inul tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat di Johor.

"Sudah tentu DBKL harus melihat kepada keputusan yang dibuat kerajaan Johor.


"DBKL sepatutnya merujuk kepada Majlis Bandaraya Johor Bharu dahulu sebelum
meluluskannya," katanya lagi. - mks. _

0 Pandangan