Pembatalan Konsert Inul Satu Rahmat Untuk Rakyat Johor

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/21/2008 12:31:00 AM | 1 Pandangan »







Semalam, rata-rata akhbar di Malaysia menyiarkan berita pembatalan konsert Inul Daratista di Johor Bahru dengan memaparkan bagaimana betapa kecewanya Inul sehingga hampir pengsan apabila mendapat tahu bahawa konsertnya terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa di Johor.
.
Saya menerima panggilan telefon, SMS, email dan pesanan 'cbox' di dalam blog saya mengucapkan tahniah di atas komitmen Pemuda PAS Johor untuk memastikan konsert Inul dibatalkan. Saya tidak dapat untuk membuat apa-apa komentar kerana semalam dan hari ini saya berada di Ipoh untuk beberapa urusan. Malam ini ada peluang untuk saya mencoretkan pandangan terhadap keputusan pembatalan konsert ini.
.
Bagi saya, segala Puji hanyalah hanyalah bagiNya, Tuhan semesta 'alam. Saya mewakili DPPNJ hanya menjalankan tanggungjawab untuk menegakkan yang ma'aruf dan mencegah kemungkaran.
.
Saya telah dihubungi oleh sdr Salman Hussin, pemberita Harakah Johor untuk mendapatkan maklumat terkini tentang konsert tersebut pada hari Jumaat malam Sabtu. Saya telah menyatakan bahawa konsert tersebut telahpun dibatalkan kerana keputusan pihak berkuasa tempatan adalah muktamad, iaitu permit tidak akan dikeluarkan.
.
Namun, perkara yang saya cukup terasa apabila melihat bagaimana Inul begitu sedih tidak terkata sehingga hampir pengsan apabila mengetahui bahawa konsert tersebut dibatalkan. Bukan terasa kerana sedih tetapi disebabkan Inul tidak dapat menerima takdir bahawa konsert tersebut dibatalkan.
.
Jika kita lihat reaksi dan wajah Inul ketika sidang media tersebut, Inul seakan sudah tidak dapat menahan kesedihan dan sukar untuk menerima takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Inul bukannya calang-calang manusia, beliau telahpun menunaikan haji dan selayaknya digelar Hajah Inul namun apakah Inul tidak mahu melihat ianya adalah satu peringatan daripada Allah SWT?
.
Saya mendoakan agar Inul akan diberi hidayah oleh Allah. Bukan sekadar menunaikan haji tetapi perlu melihat dirinya sebagai seorang muslimah yang perlu mematuhi perintah agama. Setidak-tidaknya, Inul telah berjaya mengelak daripada mempersembahkan goyang gerudinya di Johor yang bakal mencatitkan dosa-dosa ke atas dirinya.
.
-------------------------------------------
Pemuda PAS Johor hargai keputusan MBJB batal konsert Inul - Harakahdaily
Salman Hussin Fri Jul 18, 08 1:03:39 pm MYT

BATU PAHAT, 18 Julai (Hrkh) - Pemuda PAS Johor menyambut baik keputusan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), tidak membenarkan konsert dangdut artis Indonesia, Inul Daratista, yang dijadual pada 19 Julai ini, di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, dekat sini.

"Keputusan MBJB tidak mengeluarkan permit kepada penganjur untuk mengadakan konsert ini adalah satu tindakan yang sangat tepat dan bertanggung jawab," kata Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan akhbar penganjur konsert ini, IMF Prima, berhubung pembatalan konsert ini.

Menurut Faizi, pada 11 Julai lalu, Pemuda PAS Johor telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, bagi membantah penganjuran konsert ini.

"Sehingga hari Selasa, kita dimaklumkan Pejabat MB masih tidak meluluskan permohonan bagi mengadakan konsert ini dan kenyataan akhbar pihak penganjur berhubung pembatalan konsert tersebut, amat melegakan kita.

"Kita juga difahamkan pada 10 Julai lalu, pihak penganjur telah mengemukakan rayuan kepada MBJB, tetapi rayuan mereka ditolak, bagaimanapun keputusan MBJB menolak rayuan ini telah menimbulkan tanda tanya kepada penganjur.

"Bagi kita ketegasan MBJB ini menunjukkan keperihatinan mereka terhadap kepentingan sosial rakyat terutama golongan muda.

"Berdasarkan kepada latar belakang artis dangdut yang membawa imej lucah dalam persembahannya sebelum ini, maka amat wajar sekali MBJB dan Kerajaan Johor, tidak membenarkan konsert ini diadakan di negeri ini.
.
"Kita juga mengharapkan keputusan sama diambil Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), terhadap konsert-konsert seumpama ini pada masa depan.

"PAS tidak sekali-kali menentang hiburan kerana kita faham ianya satu keperluan bagi setiap manusia, tetapi biarlah hiburan yang bersifat mendidik dan menjurus ke arah kebaikan dunia dan akhirat, bukan melalaikan atau menyesatkan manusia, lebih-lebih lagi umat Islam," ujarnya lagi. - mns_

1 Pandangan

  1. risyams // July 21, 2008 at 11:38 PM  

    assalamualaikum...
    alhamdulillah, perjuangan Saudara Faizi bersama sahabat2 lain dalam usaha mencegah kemaksiatan ini telah dimakbulkan ALLAH. Semoga ALLAH sentiasa mempermudahkan segala urusan...