Akhirnya Muhyiddin Bersuara...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/15/2008 08:17:00 AM | 0 Pandangan »

Apabila pelan peralihan kuasa diumumkan baru-baru ini, ramai yang tertanya-tanya terutamanya orang Johor kenapa Muhyiddin Yasin tidak membuat apa komentar terhadap kenyataan tersebut.

Pelan peralihan kuasa nampaknya akan berlaku setelah pemilihan parti dibuat. Seolah-olahnya, Pak Lah ingin memberitahu kepada ahli UMNO di semua peringkat bahawa dia pasti akan melepaskan jawatannya kepada Najib walaupun kedudukannya dan kedudukan Najib di dalam UMNO pada pemilihan parti belum diadakan lagi.

Mudah bicara, jika ahli UMNO berhajat untuk melihat bahawa janji Pak Lah akan berlaku maka mereka perlulah memilih Pak Lah dan Najib kekal pada kedudukan sekarang.

Ia berbeza semasa peralihan kuasa di antara Dr Mahathir dengan Pak Lah. Ketika itu sememangnya tidak berlaku pemilihan parti. Apabila Dr Mahathir bercadang untuk menyerahkan kuasa kepada Pak Lah bukanlah satu masalah kerana ketika perkara itu diumumkan dan ketika berlaku peralihan kuasa, Dr Mahathir adalah PM dan Pak Lah adalah TPM serta tidak ada apa-apa pemilihan parti ketika itu.

Namun, Pak Lah yang berada di dalam kedudukan paling genting ketika ini menyeru agar ahli UMNO menghormati keputusannya ini. Jika itulah kira-kira Pak Lah, maka tidak perlulah pemilihan UMNO di buat sebab jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO adalah jawatan yang sudah dipastikan siapa pemenangnya.

Najib sudah tentulah setuju dengan keputusan ini kerana beliau sememangnya bukan kaki lawan dan takut untuk melawan. Takut jika melawan nanti beliau akan tumbang di dalam pemilihan.

Maka, yang terasa diperbodohkan adalah Muhyiddin Yasin. Mungkin Muhyiddin sendiri mengimpikan untuk sekurang-kurangnya bertanding jawatan Timbalan Presiden tetapi apabila Pak Lah sudah umumkan bahawa beliau akan serah jawatan kepada Najib pada 2010 maka sudah tentu Timbalan Presiden UMNO adalah Najib.

Sudah pasti, kedudukan Muhyiddin tergugat sama sekali. Bertanding sebagai Naib Presiden belum tentu akan memberikan laluan yang mudah kepada beliau. Silap-silap tercicir daripada kedudukan menang. Maka, kemana Muhyiddin hendak membawa diri?

Sebab itu Muhyiddin telah bersuara terhadap pemilihan parti. Jika Muhyiddin menang dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden maka sudah tentu dialah yang bakal menjadi PM menggantikan Pak Lah. Mana boleh Najib pula yang diberikan mandat jika perkara itu berlaku.

Saya sarankan Muhyiddin perlu bertindak segera. Kerana beliau pun belum lagi memberikan kenyataan jawatan mana yang beliau akan tawarkan diri untuk bertanding. Istihar sahaja bertanding kerusi Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini. Saya yakin dengan isu yang berlaku terhadap Najib Tun Razak dan kecemerlangan Muhyiddin menaikkan taraf pertanian di Malaysia ketika menjadi Menteri pertanian, Muhyiddin sudah tentu dapat memenangi hati ahli UMNO di semua peringkat.

Ayuh Muhyiddin, tunjukkan bahawa anda sememangnya 'anak jantan' dan anak jati Johor. Inilah masa dan peluang terbaik sekiranya anda ingin bergerak lebih jauh dalam UMNO dan seterusnya membawa anda ke puncak pemerintahan kerajaan Malaysia!
---------------------------------------------------------------

Jawatan Presiden, Timbalan perlu dipertandingkan - Utusan

KUALA LUMPUR 14 Julai – Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO masih perlu dibuka untuk dipertandingkan pada Disember ini walaupun sudah ada pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, demi menyuburkan demokrasi dalam UMNO, kedua-dua jawatan tertinggi itu perlu bersifat lebih terbuka untuk dipertandingkan.

Beliau berkata, kini pun sudah wujud satu halangan iaitu sistem kouta bagi merebut jawatan-jawatan berkenaan oleh itu tidak perlu lagi ada halangan lain untuk mereka yang mahu bertanding jawatan terbabit.

0 Pandangan