Rakyat Singapura Paling Gembira Dengan Kenaikan Harga Minyak Di Malaysia

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/05/2008 09:56:00 PM | 1 Pandangan »


Saya telah membaca berita Muktakhir daripada Berita Harian Online sebentar tadi yang mana berita ini dipetik daripada Bernama.

Apa yang sedang saya fikirkan sekarang ialah keputusan kerajaan pada awalnya melarang penjualan minyak petrol/diesel kepada warga Singapura yang berkuatkuasa pada 9 Jun yang akan datang sehingga menyebabkan pelbagai pandangan dilontarkan kepada kerajaan terhadap isu ini.

Ada yang mencadangkan agar bukan sekadar stesen pam minyak yang jaraknya 30 - 50 km daripada sempadan sahaja dilarang menjual minyak kepada warga asing malah larangan tersebut diperketatkan di seluruh negara.

Ada juga yang mencadangkan agar kerajaan menyediakan dua harga kepada pengusaha minyak, satu untuk warga Malaysia dan satu lagi untuk warga asing.

Banyak lagi cadangan yang diberikan namun kerajaan menyatakan bahawa ditetapkan bahawa 9 Jun akan datang adalah tarikh dikuatkuasakan larangan tersebut.

Maka, berbondong-bondonglah rakyat Singapura dan Thailand yang datang ke Malaysia khususnya di Johor, Perlis dan Kelantan untuk mengisi penuh kenderaan mereka. Ada yang datang beberapa kali ke Malaysia untuk mengisi penuh tangki kenderaan mereka untuk dijual di negara mereka terutamanya di Thailand.

Saya percaya bahawa setiap warga Malaysia sangat-sangat bersetuju dengan keputusan ini kerana subsidi minyak adalah untuk warga Malaysia. Namun, akhirnya apa yang terjadi? Tiba-tiba harga minyak dinaikkan bukannya untuk warga luar tetapi termasuklah warga Malaysia yang terpalit sama.

Saya terfikir, adakah kenaikan harga minyak ini ada kaitannya dengan desakan daripada negara luar khususnya Singapura? Berita yang saya baca ini membuktikan bahawa rakyat Singapura melahirkan rasa gembira dengan penarikan semula larangan penjualan minyak petrol/diesel kepada mereka sedangkan yang tidak gembira adalah rakyat Malaysia!

Saya juga terfikir, kenapa sebelum ini kerajaan sibuk sangat menggembar-gemburkan isu pembelian petrol/diesel oleh rakyat asing sehingga beberapa keputusan telah dibuat tetapi akhirnya harga minyak dinaikkan?

Kecelaruan dalam membuat sesuatu keputusan ini sudah cukup untuk mengambarkan bagaimana lemahnya Pak Lah memimpin kerajaan Malaysia pada hari ini dengan dibantu oleh pemimpin-pemimpin yang menjadi Pak Turut, mengiakan sahaja apa yang diputuskan oleh Pak Lah.

Sebab itu, sehingga ke hari ini hanya rakyat Singapura sahaja yang gembira dengan keputusan kerajaan BN ini tetapi bukannya rakyat Malaysia.

Jangan terkejut ataupun buat-buat terkejut sekiranya rakyat akan turun ke jalanraya kerana rakyat semakin lama semakin susah di bawah kepimpinan lemah Pak Lah Badawi.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
5 Jun 2008, 10.15 malam
--------------------------------------------------------------------
Rakyat Singapura sambut baik langkah kerajaan tarik balik larangan beli minyak

JOHOR BAHARU: Rakyat Singapura menyambut baik keputusan kerajaan menarik semula larangan pembelian bahan api kepada pemilik kenderaan asing di kawasan sempadan semalam.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak di sini hari ini mendapati rakyat Singapura mengisi minyak seperti biasa. Pengurus kilang, Peter Lee, 61, berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menarik larangan membeli minyak yang sepatutnya berkuat kuasa 9 Jun depan.

"Tidak mengapa kalau harga petrol sudah mahal sikit. Yang penting saya dapat isi minyak tanpa pergi jauh-jauh seperti ke Kulai,” katanya. Lee yang kerap berulang alik ke Johor Baharu berkata keputusan kerajaan itu dianggap sesuatu yang wajar demi meningkatkan ekonomi dan industri pelancongan di bandaraya ini.

Kerajaan menaikkan harga petrol 78 sen dan RM1 bagi diesel berkuat kuasa tengah malam tadi sekali gus membatalkan larangan ke atas pemilik kenderaan asing membeli bahan api itu dalam kawasan 50 kilometer dari sempadan.

Seorang pekerja pelabuhan, Ali Ahmad, 50, berkata, “Jika dibandingkan harga minyak di negara saya dengan Malaysia, di sini amat murah dan tiada sekatan pengisian minyak di sini. Jika tidak, mungkin kami terpaksa berulang alik dari Masai atau Kulai semata-mata untuk mengisi minyak sebelum kembali ke bandar untuk membeli belah,” katanya.

Pemandu van, Mohd Akob Ali, 43, berkata beliau bersyukur kerana kerajaan Malaysia masih memberi peluang terhadap rakyat Singapura untuk terus mengisi minyak di sini.

"Semua barang yang dijual di Malaysia terutama barang makanan mampu dibeli kerana dijual pada harga yang murah. Saya juga kerap ke Johor Baharu kerana melawat saudara mara dan kawan-kawan di sini.

"Masa mula-mula menerima khabar bahawa rakyat Singapura tidak boleh isi minyak di sekitar pusat bandar, saya rasa terkilan juga. Jadi, dengan harga sekarang ini saya rasa adil dan boleh diterima, asalkan kami tak perlu isi minyak jauh-jauh sampai ke Kulai,” katanya. - Bernama

1 Pandangan

  1. Gembira // June 6, 2008 at 12:16 PM  

    larangan untuk bangsa asing terpaksa ditarik balik sebab singapura ugut akan tawan johor, thailand ugut hentikan penjualan beras kepada malaysia.