Mantan Ketua Pemuda MIC dan Rakan-rakan Diseru Menyertai Kelab Penyokong PAS

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/30/2008 10:33:00 PM | 0 Pandangan »


Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Pusat

Tajuk

Mantan Ketua Pemuda MIC Diseru Menyertai Kelab Penyokong PAS

Pergolakan dalaman MIC berterusan apabila Ketua Pemudanya, S.A Vigneswaran mengumumkan keluar daripada MIC setelah diarahkan supaya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda MIC oleh Presidennya, Datuk Seri S Sammy Vellu kerana alasan sudah melebihi usia 40 tahun.

Walaupun sebelum ini Vigneswaran enggan melepaskan jawatan tersebut kerana menyedari bahawa beliau dipilih oleh perwakilan tempoh jawatannya hanya akan berakhir pada tahun hadapan tetapi mengambil keputusan bukan sahaja untuk melepaskan jawatan tersebut tetapi mengambil keputusan drastik dengan keluar daripada parti kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Samy Vellu.

Kekecewaan jelas terbayang apabila Vigneswaran mempertikaikan bahawa arahan yang telah dikeluarkan oleh Samy Vellu tidak menepati perlembagaan parti tetapi lebih kepada kehendak Presiden MIC tersebut.

Sebagai tanda kemarahan pemuda MIC terhadap keputusan Samy Vellu ini, pada 27 Jun 2008, Ketua Pemuda MIC Kedah, R. Nantha Kumar bersama Setiausaha Pemuda MIC Kedah, T. M Ganesan, Bendahari, M. Selvan serta Ketua Penerangan.

S.Somasunther meletakkan jawatan kerana membantah keputusan MIC tersebut. Bukan sekadar meletakan jawatan, mereka telah mendesak agar Samy Vellu meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC kerana kebanyakan masyarakat India kini sudah hilang kepercayaan ke atas kepimpinan beliau.

Nantha Kumar mendakwa arahan yang dikeluarkan Samy Vellu itu jelas tidak adil dan dipercayai wujud komplot diperingkat tertinggi untuk menjatuhkan Vigneswaran.

Pada 28 Jun 2008 yang lalu, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC yang dilantik sebagai Penyelaras Pemuda MIC S. Ramis hari ini berkata peletakan jawatan oleh beberapa pemimpin dalam sayap itu tidak sama sekali akan menjejaskan pergerakan Pemuda parti itu.


Namun, tindakan Nantha Kumar dan rakan-rakannya bukan sahaja terhenti di situ tetapi telah mula diikuti oleh pemuda MIC yang lain. Terbaru, lima lagi ahli jawatankuasa Pemuda MIC Kedah mengikuti langkah ketuanya, R Nantha Kumar, dengan melepaskan jawatan masing-masing kerana membantah arahan Presiden MIC tersebut.

Saya yakin dan percaya bahawa ramai lagi pemimpin dan ahli MIC sudah mula berkira-kira untuk meninggalkan parti yang mewakili kaum India ini kerana mereka sudah bosan dengan pergolakan dalaman dan sudah tidak dapat lagi menerima kepimpinan Samy Vellu. Tindakan keluar parti bukanlah perkara yang pelik kerana pada 31 Mei 2008 yang lalu, Presiden MIC sendiri telahpun membuat kenyataan bahawa kira-kira 22 peratus daripada 630,000 anggotanya telahpun meninggalkan parti sebelum menghadapi pilihanraya umum yang ke 12.

Bermakna, seramai 138,600 ribu ahli MIC telahpun berpaling tadah daripada MIC. Sebahagian daripada bekas ahli MIC telahpun mengambil keputusan untuk bersama PAS dan keputusan yang mereka lakukan adalah tepat pada masanya.

Dengan perkembangan ini, saya yakin bahawa semakin ramailah ahli MIC khususnya di kalangan pemudanya akan mengambil keputusan untuk menamatkan keahliannya di dalam parti yang mewakili kaum India di Malaysia.

PAS sudah tentu mengalu-alukan kehadiran mantan Ketua Pemuda MIC S.A Vigneswaran, mantan Ketua Pemuda MIC Kedah R. Nantha Kumar dan rakan-rakan yang lain pemuda MIC yang lain untuk bersama menyertai Kelab Penyokong PAS di semua peringkat. Marilah kita bersama berganding bahu untuk memperjuangkan keadilan untuk semua kaum di dalam negara yang kita cintai ini.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Pusat
1 Julai 2008, 8.17 pagi

0 Pandangan